01 June 2014

Saya Tunggu Awak

Saya secara tidak sengaja melihat foto bonda Ummu Hani yang sedang memegang buku ini di suapan berita facebook saya. Nama penulisnya sering juga disebut-sebut oleh Tuan Zabidi Mohamed di facebook. Cuma saya sering bertangguh untuk memilikinya.


Saya tergerak untuk menghubungi penulisnya melalui facebook messenger. Rasanya saya mahu membeli terus dari penulisnya. Alhamdullah, penulisnya yang baik hati sudi mengeposkannya kepada saya.

Saya Tunggu Awak karya Bonda Nor ini saya peram seminggu di atas meja tulis. Saya mahu membacanya saat saya betul lapang-lapang. Kebetulan, saya sendirian di hujung minggu kali ini dan saya mengambil peluang menatapnya baris demi baris.

Saya Tunggu Awak mengangkat tema rumahtangga yang tidak pernah saya baca sebelum ini. Bonda Nor bijak mengolah konflik jiwa watak-watak utama novel ini dan berjaya membawa pembaca menyelami watak-wataknya. Setiap watak yang muncul walau sekejap dalam novel ini mempunyai signifikan yang amat besar. 

Hanna Mardhiyah, nama yang cukup cantik, secantik tuannya, seindah akhlaqnya. Punya pendidikan tinggi, seorang ustazah yang disegani, kaunselor yang hebat, isteri yang sentiasa menjaga diri, ibu yang penyayang dan juga sahabat yang amat memahami. Perwatakannya yang warak, tegas, dan sekaligus kelakar sememangnya mudah membuatkan lelaki yang mengenalinya jatuh cinta walau hakikatnya beliau sudah bersuami.

Kecerdikan ustazah Hanna terserlah apabila beliau bijak menyusun kata mematahkan hujah kak Damia dan hujah pelajar-pelajarnya. Nasihat yang diberikan kepada sahabatnya Dr Suriana juga menunjukkan beliau begitu pandai memujuk. Begitu juga kewibawaannya sebagai kaunselor juga terbukti apabila beliau berjaya meyakinkan Rafiq dalam membuat keputusan, melembutkan hati Maira dan memberi nasihat pada Liza.

Penulis juga menyelitkan perbincangan kitab Bidayatul Hidayah karya Imam Al-Ghazali  yang membuat saya sendiri terpegun. Ia mengingatkan pada setiap diri yang lupa.
"Semakin banyak ilmu, sepatutnya kita semakin dekat dengan Allah, semakin gerun kita dengan azab-Nya, dan semakin kita rindu pula untuk bertemu dengan-Nya. Jangan sesekali kita merasa dengan bertambahnya ilmu kita, bermakna kita semakin bagus, semakin kita mampu meraih manfaat dunia, semakin kita mahu menagih perhatian dan sanjungan manusia. Jika itu yang kita rasa dan jika itu yang kita harapkan, maka jadilah kita manusia yang telah berjaya disesatkan syaitan dengan tipu dayanya."
(hlm 184-185)

Inilah rumusan Syeikh Shirazi yang buat saya termenung panjang. Saya merasakan saya membaca buku ini pada waktu yang tepat, saat saya memerlukan cahaya penunjuk jalan.

Bonda Nor juga secara halus cuba memahamkan pembaca dengan isu politik tanahair. Tidak susah untuk menghadamnya sekiranya kita berlapang dada. Membaca yang tersurat dan menyerap makna tersirat buat saya tersengeh seorang diri.

Saya juga kagum dengan Farhan, suami ustazah Hanna yang sanggup membuang ego dan mengaku kesilapan beliau sebagai seorang suami. Farhan juga tidak kurang ilmunya tapi kelulusan di atas kertas tidak menyebelahinya. Teguran beliau kepada isterinya sentiasa berhikmah. Kelebihan Ustazah Hanna yang satu itu tidak menjadikannya dia lebih hebat di rumah.  Suaminya dicintai setulusnya, dihormati selayaknya dan dia sentiasa menjaga maruahnya sebagai seorang isteri.

Novel ini betul-betul mendidik jiwa, mengisi hati serta mengingatkan diri yang lupa. Setiap bab ada ilmunya yang tersendiri. Penulis membincangkan tanggungjawab isteri terhadap suami, urusan mengajar anak-anak, berbuat baik sesama insan, cita-cita untuk syahid dan juga urusan ajal maut. Ini juga satu pendekatan dakwah yang pastinya berjaya menyentuh hati pembaca.

Membaca buku ini membuatkan saya terbuai dalam emosi, cuba memahami kemelut rasa ustazah Hanna, bebanan di bahu Farhan juga derita jiwa seorang Rafiq Aqlan.

Penulisnya mengakhiri bab dengan tafsir ayat-ayat suci al-Quran, sabda baginda nabi dan mutiara kata dari ulama besar yang tidak asing lagi. Ya benar, ini novel tarbiah.

Di akhir bab 21, penulis mengakhirinya dengan mutiara kata ini,

"Aku tidak pernah menguruskan sesuatu yang lebih sukar sepertimana aku terpaksa menguruskan hati dan jiwaku sendiri. Adakalanya, ia menyokongku dan adakalanya ia menentangku"
(Imam Al-Ghazali) 

Sekali lagi saya terpempan.


P/s. Saya terpaku seketika dengan coretan tulus dari Puan Bonda Nor. Ah, mata saya basah.

Dan Saya Tunggu Awak punya makna tersendiri buat saya. 

.
Terima kasih atas doanya



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment