26 August 2014

Diari 26 Ogos 2014: Puasa dan Raya II

Selesai solat isyak, saya tiba-tiba teringat akan guru al-quran saya seawal umur 5 tahun. Apa khabar guruku? Saya berkesempatan menziarahi beliau pada hari raya baru-baru ini. 

Saat saya bertanya khabar dia pada emak saya dua hari sebelum hari raya, mak saya terus bertanya, 

"Nak p tengok dia ke? Sekarang keadaannya makin uzur. Esok-esok kita p la."

"Nak nak...nanti kita p ya."

Alhamdulillah, kami bersama-sama menziarahi beliau pada hari raya ke-3. Usai kenduri rumah sepupu yang terletak di sebelah rumahnya, kami melangkah naik ke rumah beliau yang pintunya sudah sedia terbuka. Saya menjenguk melalui pintu depan, kelihatan beliau terbaring di atas tilam di satu sudut penjuru rumah. Cahaya matahari petang yang memancar terang menyebabkan rumah beliau sedikit silau di bias cahaya hijau dan kuning dari cermin jendela kaca yang tertutup.

Saya memberi salam sekali lagi. Kelihatan beberapa orang sepupu saya sedang duduk mengelilingi beliau. Jiran-jiran sekampung pun ada yang turut serta. Penuh di sekeliling beliau. Selesai bersalaman dengan mereka yang datang menziarah, saya mendekati beliau dari hujung kaki. Saya melabuhkan punggung dan bersimpuh di sebelahnya. Tangan beliau sudah tidak boleh bergerak seperti sedia kala. Saya pegang tangannya. Lantas tunduk mencium tangan yang sudah berkedut itu. Saya saat mengangkat muka, saya tahu airmata saya sudah tidak terbendung lagi. Nasib saya baik kerana muka saya sudah berpeluh kepanasan.

Sungguh saya sebak,  tangan tua itu saya pegang kemas. Tiada suara yang keluar. Melihat wajah tua yang sudah berubah, mulutnya sedikit herot, saya hampir teresak. Inilah sosok yang mengajar saya mengenal alif ba dan ta. Inilah wajah yang mengajar baris atas bawah dan hadapan. Inilah suara yang mengajar saya hukum lima. Inilah yang mentasmi' kan saya qunut dan tahayyat. Dari seawal usia, saya belajar mengaji dengan beliau sehingga khatam berkali-kali. Dialah yang membetulkan bacaan al-quran saya. Sampai kini, bacaan saya dipengaruhi cara bacaan beliau. Besarnya jasa beliau pada saya. Tidak mungkin mampu saya balas.

Lama tangan tua itu saya usap. Saya cuba mengawal emosi. Air liur saya telan berkali kali sambil mengusap peluh di muka kononnya. Tiada kata yang terkeluar dari mulut saya. Selepas beberapa lama, saya akhirnya bersuara dengan suara tertahan-tahan, 

" Boleh bangun tak?" Itu sahaja yang mampu saya ajukan pada anak keduanya.

"Tak boleh dah. Makan pun bersuap."

Saya mengusap muka lagi. Allah, besarnya ujian-Mu pada guruku ini. Bertahun terlantar. Di uji Allah dengan pelbagai penyakit.

"Ini Za. Mak kenal tak?" tanya anak beliau.

"Ha? Kenal." Jawab beliau perlahan.

Tiada lagi suara yang keluar dari bibir saya selepas itu. Selebihnya sepupu-sepupu saya dan jiran yang lain sahaja berbicara. Saya membatu di sisi beliau dan diam seribu bahasa. Wajah beliau saya tenung lama. Entah bila saya berpeluang menatap wajah ini. Itu yang terdetik dihati saya.

Ya Allah, kau ampunkan guruku ini, orang yang berbakti padaku selepas ayah dan ibuku. Kau permudahkanlah urusan dunia dan akhirat guruku ya Allah. Ilmu yang diberikan padaku adalah ilmu yang bermanfaat ya Allah ..yang aku manfaatkan setiap hariku. Moga ianya menjadi amal jariah berpanjangan dan pahala yang tidak putus-putus untuknya.

Ya Allah, kau ringankanlah sakitnya, kau senangkanlah perjalanan hidupnya. Sembuhkanlah dia kalau itu terbaik untuknya ya Allah.

Ini doaku untukmu wahai guruku.



Diari diri,













memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

22 August 2014

Diari 22 Ogos 2014: Sahabat lama

Secara tidak sengaja saya berjumpa ramai sahabat lama semalam. Sungguh ia mengujakan. Silaturrahim yang putus bersambung kembali. Bertanya khabar, berkongsi cerita memang saat yang sungguh indah. 

Namun, sebagai sahabat, rasanya kita harus peka dengan rasa sahabat yang lain. Berjumpa dengan yang celupar dan mulut tempayan kadang-kadang boleh mengguris rasa. Bercakap biar bertapis. Walau sudah dijangka tapi hati sedikit tersentuh.

Lantas, warna ceria gembira bertukar hambar.  

Saya bosan. Sungguh. 


Diari diri,




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

13 August 2014

Diari Puasa dan Raya 2014 I

Isnin 28 Julai, saya sudah berada dalam perjalanan balik ke kampung untuk berhari raya. Isnin petang, kami adik beradik berbuka puasa beramai-ramai di rumah bonda di kampung. Ini acara tahunan. Bila di hitung, anak buah saya di Putrajaya, Najah dan keluarga, akan bertolak balik pada hari khamis. Dia hilang dari senarai, selain Amy dan Nadia yang juga akan balik pada hari khamis dari asrama masing-masing. Meriah walau belum cukup korum. Opps, abang ipar saya pun tidak ada.

"Petang ni nak makn kueh apa?" Itu soalan adik saya saat kami berada di Lubok Jong dalam perjalanan balik.

"Nak beli akok". Itu jawapan saya.

"Sapa nk makan? Semalam beli tak de orang makan pun."

"Saya la." 

"Kat depan tu ada akok yang sedap". 

Lantas, kami berhenti di hadapan sebuah gerai di Lubok Jong. 

"Satu cukup?" 

"Dua la." Saya yang tamak laju je menjawab. Tapi permintaan saya yang ini ditolak. Adik saya beli satu je.

"Habiskan yang ni dulu. Esok beli lain kalau tak cukup."

Nampak tak menarik tapi sedap..:)

Bau akok yang panas-panas cukup mengoda saya. 

Ini kueh yang saya beli hampir setiap hari sepanjang keberadaan saya di kampung. Pelbagai versi akok yang saya beli. Yang pasti semua sedap.

Selasa, rabu dan khamis, kami berbuka puasa berdua sahaja, saya dan mak. Masak simple-simple sahaja tapi saya berselera sekali. Kalau di Shah Alam berbuka tak makan nasi, kat rumah, sepinggan macam tak cukup. 

"Balik raya ke ni?". Itu soalan yang terlepas dari mulut mak saudara saya.

"Awalnya balik." Sepupu-sepupu saya pulak menyampuk.

"Lamanya kak za cuti." Saya sengeh.

Khamis malam, anak buah saya yang sampai dari Putrajaya bertanya,

"Esok, jom berbuka ramai-ramai".

Untuk kali ini, semua anak cucu mak saya ada. Kami bertahlil untuk arwah ayah sebelum berbuka. Menu? Saya hanya menanak nasi dua periuk sahaja. Semua lauk pauk di tanggung beres. Itu pun rutin biasa. Yang datang akan mengangkut semua periuk belanga yang berisi lauk pauk yang hanya tinggal untuk dihidangkan sahaja. Semua licin. Saya takjub sekali. Alhamdulillah.

Sabtu 2 Ogos 2014, seperti biasa, 2 hari sebelum raya, hari untuk kami membuat tapai. Opps, saya lupa mengambil gambar tapai. Dulu, semasa arwah ayah masih ada, ini menu wajib kami. Ayah saya penggemar tapai. Setiap tahun, raya kami tidak sah tanpa tapai. Tapai mak saya sure la manis. 

Selain tapai, ketupat juga antara menu wajib kami.

"Tak payah la buat ketupat tahun ni. Tak larat nk buat." itu kata mak saya mula-mula saya balik.

"Kalau nak buat jugak, buat 2 kilo je. Kalau dua kilo, ok. lebih, tak nak." itu kata saya. 

Inilah ketupat kami tahun ini.

Ketupat palas
Diari diri,









memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan