30 October 2011

Tolong Beritahu Si Dia


Tolong beritahu si dia, aku ada pesanan buatnya
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cintaNya
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa

Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa
Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya

Tolong ingatkan si dia, aku terpikat kerana imannya bukan rupa
Tolong ingatkan si dia, aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta
Tolong ingatkan si dia, aku kasihinya kerana santunnya

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya

Tolong sedarkan si dia, aku milik Yang Maha Esa
Tolong sedarkan si dia, aku masih milik keluarga
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya

Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta
Tolong sabarkan si dia, bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya

Tolong pesan padanya, aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya
Tolong pesan padanya, aku tak mahu menjadi punca kegagalannya
Tolong pesan padanya, aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya

Tolong khabarkan pada si dia, aku tidak mahu melekakan dia
Tolong khabarkan pada si dia, aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku

Tolong sampaikan pada si dia, aku mendambakan cinta suci yang terjaga
Tolong sampaikan pada si dia, cinta kerana Allah tidak ternilai harganya
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa
Tolong sampaikan kepada si dia, kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...

Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia.. Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia.. Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya..
 
Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti..
 
'alaihi tawakaltu
 
 
P/s: Ini saya petik dari page Jom Berdakwah di FB. Terima kasih kepada pemiliknya.

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

28 October 2011

Mak Da & Kak Jah

Usai berbuka puasa dan solat maghrib semalam, saya dikejutkan oleh satu panggilan telefon.

"Ja, kau dah tau dah pasal sedara kau?" Tanya Adilah, sahabat saya.

"Sedara aku yang mana satu? Tak tau apa-apa pun. Tak de lagi sapa-sapa yang cerita kat aku. Kenapa?"

"Sepupu kau, Kak Jah meninggal dunia mahrib tadi."

"Ha? Kak Jah? Bukan mak saudara aku?" Saya terkedu sebentar. "Rasanya mak aku pun belum dengar lagi berita ni."

Kak Jah sepupu saya. Usianya hampir sebaya dengan kakak sulung saya. Anak kepada kakak mak saya yang saya panggil Mak Da. Mak saya anak bongsu dari 12 adik beradik dan mak saya satu-satunya anak berlainan ibu. Kini yang tinggal cuma mereka empat beradik sahaja, Mak Nik, Mak Da dan Mak Su. Lapan sudah tiada dan saya berkesempatan bertemu dengan empat yang lain.

Setiap lebaran, mak saya tidak pernah lupa mengajak kami adik beradik menziarahi Mak Da. Dulu Mak Da selalu bertandang ke rumah kami. Dengar sahaja berita yang Mak atau arwah ayah saya tidak sihat, Mak Da pasti datang menziarah. Dari elok berjalan sehingga berpimpin tangan, beliau berusaha sedaya mungkin untuk datang. Kali terakhir Mak Da singgah ke rumah saya, beliau sudah teramat sukar untuk naik dan turun tangga, sampai terpaksa mengengsot. Itu rasanya dua atau tiga tahun lepas.

Lebaran tahun ini, sebagaimana tahun-tahun lepas, awal-awal lagi mak saya sudah memaklumkan kepada saya dan adik. "Esok selepas solat sunat hari raya, kita ziarah Mak Da, Mak dah lama tak tengok dia". Itu kata mak pada kami.

Salam bersambut. Sayup-sayup kami dengar suara Mak Da menjemput kami naik. Mak Da masih lagi boleh mengecam suara saya dan adik. Air mata saya bergenang melihat Mak Da yang terbaring di atas tilam. Wajah tua yang berkedut itu saya renung dalam. Tangannya saya kucup perlahan. Matanya tertutup rapat. Mulutnya sahaja yang riuh bercerita. Dulu,  beliau masih lagi boleh bergerak dengan mengengsot di dalam rumah. Matanya masih lagi cerah. Kini, nikmat mata Mak Da telah ditarik sedikit demi sedikit. Dulu, Kak Jah hanya perlu meletak lauk pauk di pinggan Mak Da. Bila penglihatan Mak Da makin teruk, Mak Da akan memakan nasi yang di gaul terus lauk pauknya. Kini, penglihatan Mak Da hampir hilang sepenuhnya.

"Kak Jah ke masjid ni, aku bukan demam pun, tu yang Kak Jah tinggalkan aku sekejap ni."

"Aku tak tahu la Kak Jah sempat kemas dapur atau pun tidak. Dia sibuk menjahit baju raya tu. Banyak tempahan orang. Kau pergi la buat air. Cari sendiri makanan kat dapur tu". 

Itu kata-kata Mak Da pada kami.

Kami sudah sedia maklum, Kak Jah, di samping menjaga Mak Da, mengambil tempahan menjahit baju.

"Tadi aku panas, aku tak nak pakai baju, kau cari la baju untuk aku".

Saya pantas mencari baju untuk Mak Da. Adik saya membantu membangunkan Mak Da dan Mak Da berusaha memakai bajunya sendiri. Mak Da duduk sekejap dan adik saya mengurut belakangnya.

" Lenguh ni badan aku ni. Asyik terbaring je ni". Mak Da mengomel lagi.

"Mak Da puasa tak?" Saya bertanya.

"Puasa la Isnin Khamis".

Saya dan mak berbalas pandang. Ingatan Mak Da pun nampaknya sudah bercampur baur.

"Sampaikan salam kami pada Kak Jah, kami terpaksa balik. Lagi pun tiada sesiapa kat rumah". Pesan saya pada Mak Da.

Kami pulang tanpa sempat bertemu Kak Jah.

Dan semalam saya dikejutkan dengan berita yang Kak Jah telah pulang ke rahmatullah. Kak Jah yang baik hati, penyayang, pemurah dan kuat pegangan agamanya dan amat rapat dengan mak saya. Setiap kali bertemu mak saya, pasti Kak Jah akan meninggalkan mak saya dengan tangan berisi . Bukan nilainya yang menjadi ukuran tapi ingatan Kak Jah pada mak saya. Sakitnya cuma sekitar 20 hari. Penyakit lamanya kembali lagi. Tekanan perasaan yang melampau saya rasa menyebabkan Kak Jah sasau. Apapun, itu hanya sebab sahaja. Yang paling penting, masa Kak Jah telah tiba. Siapakah yang mampu berdolak dalik dengan janji Allah?


Kata mak, Mak Da sedikit pun tidak menangis dengan kehilangan Kak Jah. Saat Kak Jah di kafankan, Mak Da di usung ke tempat Kak Jah. 


"Siapa yang akan menjaga aku selepas ini?" Ini mengundang airmata anak-anaknya yang lain.

Saya turut berduka dengan pemergian Kak Jah. Hati saya menangis sedih. Dan tanpa sedar, pipi saya basah dek airmata yang luruh.

Al-fatihah.

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

23 October 2011

Sebuah Harapan dan Impian

Walau tidak dibasahi hujan
Namun tempiasnya menyegarkan
Biarpun rembulan tidak di ribaan 
Namun cahayanya cukup menerangi bayangan 
Harumlah cinta duniawi 
Sewangi kasturi syurgawi 
Semoga bahagia jadi milik kita 
Nan abadi selama-lamanya...
 
Sahabat saya Nor Hayati Abdul Gani yang telah men tagkan khusus lirik di atas buat saya dan sahabat Moon Maharom serta Nur Idris di Facebook.
Terima kasih sahabat, saya sungguh terkesan. 
Semoga bahagia jadi milik kita.  

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

22 October 2011

Cinta Fansuri

A.Samad Said.

Siapa yang tidak kenal nama ini. Nama yang hebat. Karya beliau cukup mengkagumkan dan saya terpanggil untuk membaca kisah Fansuri ini.


Fansuri.

Seakan Hamzah Fansuri.


"Aku bukanlah Hamzah Fansuri. Barangkali cintaku tidaklah sekudus cinta Hamzah Fansuri, tapi cintaku pasti satu - dan segala-galanya. Ia kebahagian; ia kesengsaraan..tapi ia tetap satu...." Itulah kata Fansuri.


"Cinta bagimu terlalu tinggi sehingga sukar untuk kuisi..." Ini yang keluar dari mulut Ratna Murni.

Langit keruh, aku terpengaruh?







P/s Cinta mempunyai wajah dan hati yang aneh, diyakini tidak berkasta, tidah berbangsa.



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

09 October 2011

Kek gula hangus

Kek gula hangus..

Ini kali ketiga saya membuat kek ini. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya. Tahniah untuk diri saya sendiri.

Sejujurnya saya tidak pandai membuat kek. Tidak pernah menyentuh oven apatah lagi membakar kek. Entah apa mimpinya, saya membeli oven. Saya kena pandai membuat kek. Itu azam saya dalam diam. Lantas saya mencari resipi di internet. Senang saja membuat kek gula hangus rupanya, bahan-bahannya pun senang di cari. Setakat telur, susu pekat, gandum dan soda bikarbonat, senang saja saya mencarinya. Itulah kata hati saya.

Saya ke Giant dengan hajat mahu mencari soda bikarbonat.

"Tak de la pulak benda alah ni". Bisik hati saya. " Beli je la serbuk penaik ni, sama je kot".

Hati saya berkobar-kobar mahu membuat kek gula hangus. Nak buat jugak.

"Soda tak sama dengan serbuk penaik". Kata Kak Norsiah.

"Kalau letak jugak, macamana Kak?".

"Kek akan jadi apam". 

Hmmm, tak sama rupanya. Saya geram sendiri.

Percubaan pertama, kek yang saya bakar hangus sebab saya tidak pandai menggunakan oven. Rasanya masa dan suhu sudah betul, sama dengan apa yang saya baca di internet. Susah juga ya. Saya kecewa.

Saya mencubanya sekali lagi. Percubaan kedua, gula yang saya cairkan hangus. Saya mengeluh. Susah-susah beli je la. Itu yang bermain di fikiran saya. Tapi alhamdulillah, hasil percubaan kedua tidak mengecewakan.

"Kek ni sedap, lembab, dah nampak sarang kat bawah, dah kira menjadi tapi sedikit hangus kat bawah". Itu komen seorang sahabat.

"Dah jadi ni, tapi You kena buat sekali lagi, pastikan betul-betul jadi, baru boleh beralih buat kek lain pulak". Ini komen Kak Midah. Saya senyum sendiri. Saya sebenarnya sudah berangan mencuba resipi kek coklat pula. Bahan-bahannya sudah pun saya beli. Tak jadi la nampaknya.

Malam ini percubaan saya untuk kali ketiga. Saya boleh berbangga dengan hasilnya. Sedap! Nanti bolehlah saya beralih ke kek lain pula.

Hilang diet kawan-kawan saya kat ofis.

Maaf, kalian jadi mangsa saya.





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

03 October 2011

Sambal machang

Sambal machang, antara yang menjadi kegemaran saya dan sukar di temui di mana-mana sekitar Shah Alam ataupun Kuala Lumpur. Setakat ini yang saya temui ialah kerabu mangga. Terkadang hati tertanya sendiri, sedap ke kerabu mangga ni? Tapi bila di congak-congak, di hitung-hitung, lidah saya lebih menggemari sambal machang. Sedap dengan tekak saya sahaja barangkali. Biarlah, ini kan makanan orang kampung sahaja.

Dulu di belakang rumah saya ada sebatang pokok machang. Ini nama yang dipanggil di kampung saya saja. Bila pohon machang ini berbuah muda, kami akan mengaitnya. Buah yang muda dan masih belum bersabut lagi bijinya sedap kalau di buat jeruk. Kadang-kadang kami akan membuat sambal. Sambal machang, sedap sebab ianya tidak terlalu masam. Ikan, bawang merah, bawang putih dan lada hidup yang semuanya di bakar ditumbuk bersama buah machang yang dicincang halus dan ditambah dengan sedikit garam. Ah, memang enak sekali bila dimakan bersama nasi panas untuk juadah tengahari. Lebih menyelerakan andai di temani sayur lemak terung yang dicampur dengan bayam. Ini sudah cukup untuk kami sekeluarga.

Saya teringin sekali tapi mana mahu dicari buah machang muda di Sham Alam. Bila terpandang sahaja buah pauh di pasar pagi ahad lepas, saya terus membelinya. Pauh muda itu menjadi pengganti buah machang. Dan, itulah hasilnya. Cukup untuk mengubat rindu saya pada sambal machang. Seperti biasa saya akan sakit perut kerana tidak tahan pedas dan masam pauh yang melampau itu.

Hmmm, itulah risikonya.





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

02 October 2011

Rapuh-Opick


detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka 

tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu






P/s Awak, hati saya tersentuh bila mendengar lagu ini. Saya rasa kalau awak dengar, awak pun mesti suka gak kan? Saya jiwang ek? Tak kan...

 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan