26 April 2014

Diari April 2014: Berpesta di PWTC

Ini acara tahunan. 

Saya biasanya mewajibkan diri untuk ke pesta ini. Pesta ini sahaja yang saya tunggu-tunggu setiap tahun. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Seperti biasa, walau perasaan malas menghasut diri, saya gagahkan juga kaki ini. Antara sabtu dan ahad, saya memilih sabtu, dengan harapan esok saya boleh berehat secukupnya. 

Seawal 9.05 pagi, saya sudah tercongok menunggu komuter. Wah, bukan main ramai lagi orang di stesen komuter Batu Tiga ini. Ini mesti semua nak ke PWTC, bisik saya sendirian. Memang tepat telahan saya, jam 10.20 pagi, PWTC sudah dibanjiri manusia. Bas sudah berderet di tepi jalan bertentangan dengan The Mall yang menghala ke Hentian Putra. Matlamat saya hari ini hanya untuk menghabiskan RM200 baucer buku yang saya simpan sekian lama. Akan saya gunakan sebaiknya memandangkan gaji belum masuk. Saya bukan mencari novel hari ini. Saya mencari buku akademik yang saya idamkan berbulan-bulan. Saya terus ke Dewan Tun Razak 3 di Aras 3.

"Akak, anak umur berapa?" itu suara yang menyapa saat saya melintas booth Grolier dan mata melilau mencari booth ITBM dan Dewan Bahasa. Pantas saya mengeleng. Saya terus melangkah.

"Kak, umur anak akak berapa?". Sapa seorang lagi promoter. Saya geleng kepala lagi.

Saya ke ITBM semata-mata mahu menjenguk Sofa Putih. Sofa Putih kosong. Saya sedikit kecewa. Ingatkan ada penulis pujaan hati sedang berbicara.  Staff ITBM pula sedang menjerit-jerit, "happy hour! happy hour! 40 percent diskaun". Saya tersengeh sendirian. Saya ingatkan Jakel dan kedai tudung Seksyen 7 di Shah Alam je ada happy hour

Saya keluar dari booth ITBM tanpa membeli apa-apa. Dengan tangan memegang peta lantai PWTC yang saya capai di pintu masuk tadi, mata saya ligat mencari DBP. Matlamat saya hanya satu, mencari buku sifu saya. Melihat buku itu di rak, saya lega. Alhamdulillah. Sudah lama saya mengidamkannya. Bukan mahal mana pun, RM20 sahaja. Memandangkan baucer tidak boleh dipulangkan bakinya, saya mencapai satu antologi cerpen berunsurkan islam dan sebungkus Dewan Masyarakat Januari-Disember 2013 yang berharga RM10. Bila nak baca, saya pun tak tahu. Bag galas di bahu sudah terasa berat. 

Berat pun angkat jugak

"Kak, ada anak tak?". Satu suara bertanya pada saya.

"Ada, anak tekak. Anak kucing kat rumah." Itu jawapan yang hanya bergema dalam kepala. 

"Tak de, terima kasih." Itu pula jawapan yang keluar dari mulut saya.

Saya bergegas mencari MPWS pula. Buku Dr Othman Talib yang saya buru. Saya menjejak kembali email yang dihantar MPWS. Yes! memang di Aras 3. Saya tawaf mencari booth 3006-3007. Rupa-rupanya ia terletak di luar pintu masuk Aras 3. Tangan terus mencapai buku yang saya mahukan dan saya juga terpaksa mencukupkan RM50 lagi. Buku Dr OT ini harganya RM40. 

"Mug ni berapa dik?" 

"RM15 kak, kalau akak beli lebih dari RM100, akak dapat free mug tu".

Saya mencongak dalam kepala. Ada lagi buku lain yang saya idamkan.

"Tak pe la dik, akak ambik buku ni dan mug. Akak topup lagi RM5, boleh?

Mug yang saya pegang itu buat saya tersengeh. 

Beg makin berat. Saya melangkah ke tangga bergerak menuju ke Aras 4. Saya mahu ke booth McGraw Hill pula. Aras 4 sedikit lengang. Kebanyakannya buku akademik ada di sini. Saya singgah di Lexis Nexis dan membelek buku beberapa buku undang-undang. Buku yang saya cari tiada.

Kaki saya sudah lenguh. Beban di bahu  makin memberat. Buku yang saya cari tidak nampak di mana-mana. Sebenarnya saya mencari di satu rak sahaja. Saya sudah malas mencarinya. 

"I am looking for Ismail Bahari's book." Saya menyapa seorang petugas yang sibuk bersembang. 

Ada depan mata saya rupanya. Sehelai baucer lagi terbang di sini. Saya top-up RM0.30 sahaja di sini.

Saya keluar dari Dewan Merdeka Aras 4 dan mencari tempat duduk. Rata-rata penuh. Tiada ruang untuk saya melepaskan lelah. Pelajar-pelajar sekolah menengah memenuhi ruang. Mereka duduk di lantai dan makan bekal mereka. Itu pandangan biasa setiap kali PWTC berpesta.
 
Melihat gelagat pelajar yang ralit dengan buku

Jam sudah 12.30 tengahari. Saya melilau ke beberapa buat booth lagi. Singgah di Indieke dan sempat memegang karya terbaru Faisal Tehrani, Bagaimana Anyss Naik ke Langit. Buku kecil itu tidak ada dalam senarai budget saya kali ini. Mahu menggunakan baucer saya terpaksa mencukupkan RM50 lagi, sedangkan tiada lagi buku lain yang memikat hati saya.

Saya bertemu Galeri Ilmu. Ah, saya memang mengidamkan buku Prof Kamil dan Puan Roza. Dua buah buku ini saya kebas di sini. Alaaa..tak cukup RM50 jugak, Lantas, buku Ustaz Pahrol pula saya capai. Saya top-up RM10 di sini. Saya terus mencari pintu keluar. Penulis yang sedang berbicara berhubung kewangan itu terpaksa saya abaikan. Saya sudah tidak larat menahan telinga sambil berdiri. 

Balik. Itu sahaja yang saya ingat. Tangan sudah lenguh dan perut menjerit mintak di isi. Jam 2.00 petang saya sudah berada di dalam komuter menuju Batu Tiga. Kereta saya parkirkan di sana pagi tadi.

Alhamdulillah, semua yang saya nak saya dapat hari ini. Opps, jangan simpan dalam kotak nanti. 

Baca tau! 

Tahniah untuk saya kerana telah berjaya menghabiskan RM200 baucer buku. Sehelai lagi? Nanti la, saya sudah ada perancangan untuk menghabiskannya. 


Diari diri, 











memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

19 April 2014

Email buat Solehah III

From: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
To: solehahmohd<@gmail.com> 
Sent: Saturday, April 19 , 2014 10:28 PM
Subject:


Assalamualaikum adik manis,


Pertama-tamanya akak mintak maaf dik. Tidak dapat meluangkan masa untuk menitipkan khabar buatmu. Alasan sibuk rasanya tidak munasabah kan? Pasti 24 jam sehari yang Allah berikan cukup andai akak pandai membahagikan masa. Tapi sungguh akak sibuk dik!

Akak dah cakap hari tu kan akak dah kerja full time balik. Kebetulan dengan semester pendek yang baru bermula dan kami kebanyakkannya diberikan beban mengajar yang agak banyak, kelam kabut jadinya kami.  Pada akak, 18 jam mengajar seminggu tu dah memang banyak. Ada kawan akak yang terpaksa mengajar sampai 24 jam seminggu. Kesian diorang. Di tambah dengan tugasan lain yang menanti, rasanya akak dan kawan-kawan dah lelah mengejar deadline. Harus kena asma kalau macam ni gayanya. 

Akak diberikan subjek Company Law dan juga Criminal Law. Agak mencabar untuk memahamkan subjek Criminal Law kepada pelajar yang tidak mempunyai asas undang-undang langsung. Zero. Silibus Criminal Law yang diberi merangkumi Criminal Law I dan Criminal Law II yang biasanya di ajar dalam 2 semester. Lagi haru bila diajar dalam semester pendek yang hanya ada 8 minggu. Nak memahamkan actus reus dan mens rea pun dah mengambil masa 2 jam. 

Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar Company Law akak banyak menceriakan akak. Kerenah mereka dalam kelas membuatkan akak tergelak besar. Nakal mereka menghiburkan hati. Pendek kata nak marah pun tak jadi dengan diorang ni. Mereka baik, sopan pun sebenarnya. Yang paling membahagiakan akak, mereka semua mendengar kata. Nasib kenal mereka sekejap cuma, kalau tidak, harus mereka dirindui. Dalam whatsapps pun still diorang nak kenakan akak tau. Hehehe...
Cantik kan??

Opps dik, sebelum terlupa, permohonan akak untuk berehat telah diluluskan minggu lepas. Akak dah cerita kan hari tu sebab musababnya.  Dalam masa tiga hari je, akak dah dapat jawapan dari pihak pengurusan. Akak dah buat akujanji akan membantu kalau khidmat akak diperlukan.  Doakan semoga Allah permudahkan urusan akak. 

Intip fb akak ya? hehee..tak de apa la dik, akak saje je mengarang. Biasa la, kita kan manusia, kadang-kadang ada pasang dan ada surutnya..macam laut kan? 

Ok la dik, cam lapar lak, nak kena cari makanan ni. Rasanya nugget ada lagi dalam peti ais tu. Jom join akak..hehe..

Hingga jumpa lagi.


Salam sayang,
Hasliza






memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

11 April 2014

Terima kasih

Terima kasih
Pada dia yang sentiasa ada
Menemani saat suka dan duka

Terima kasih
Kerana sudi menghulurkan tangan
Bila diri ini hampir tenggelam

Terima kasih
Kerana sudi meminjamkan kekuatan
Saat diri hampir hilang keyakinan

Terima kasih
Kerana sentiasa ada
Setiap masa dan ketika

Terima kasih


 


memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

Email dari Solehah V

From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Tuesday, March 25, 2014 08:15 AM
Subject: 


Assalamualaikum wbt,

Lamanya saya tidak menulis email buat akak. Kita lebih banyak berbual di facebook messenger kan kak? Bukan main status akak sekarang ni ya? Asyik berpuisi je..


Kak, ada cerita yang nak saya kongsikan dengan akak. Akak ingat lagikan cerita saya tentang sahabat saya yang dulu kan? Dia kenalkan saya dengan girlfriendnya dan mereka berdua datang bertemu saya beberapa kali sampai kawan-kawan saya membuat andaian yang bukan-bukan. Secara peribadi, dia gadis yang sopan, lemah lembut dan mudah dibentuk rasanya. Dan di hujung pertemuan, kami bertukar nombor telefon. 



Mereka berdua senyap beberapa ketika. Ada la sekali dua menghantar sms bertanya khabar dan bercerita. Saya terus terang menyuruh mereka cepat-cepat bernikah. Kata saya,

 " Buat apa bercinta lama-lama, kalau dah suka kawin je la kan?" Itu lagi mudah rasanya. 

" Susah rasanya dengan dia ni.." Keluhnya. 

"Kenapa?" 

"Entah la kak, saya suka dia tapi tak yakin untuk hidup dengan dia".

"Ha?"

"Jangan buat main anak dara orang, kesian dia nanti".

Dia diam. Sms saya selepas itu tidak berjawab. Saya pula sibuk dengan kerja yang bertimbun. Tup-tup, girlfriendnya mengirimkan sms pada saya. 


"Salam, Kak, busy ya? Nak jumpa akak boleh? Ada benda nak tanya akak".

"Bila? Malam ni rasanya tak boleh la".

"Please kak, saya ada hal penting nak jumpa akak, sekejap pun jadi la".

Serba salah saya jadinya kak. Saya memang betul-betul sibuk masa tu. Mana mungkin saya bazirkan masa emas saya sedangkan saya sendiri hampir gagal mengejar masa. Dua puluh empat jam rasanya tidak cukup untuk sehari. Ah, zalimnya rasanya saya kalau saya tidak boleh memberikan dia sepuluh minit saya sedang saya tahu dia amat terdesak waktu itu. Saya dapat mengesan sendu dalam smsnya kak. 

Hati berdetik, naper pulak budak ni?

Malam itu, saat mata kami bertaut, saya sudah dapat mengesan ada sisa airmata di pipinya. Tangan yang dia hulur saya gengam erat. Sejuk. Hati saya sudah dapat menelah ada cerita luka bersulam duka. 


Mulut saya lancang bertanya, "Kenapa nak jumpa akak ni? Jangan nangis, cuba cerita dengan akak apa halnya ni".

"Saya nak tanya satu je kak, dia dah kahwin ke kak?"

Saya terkedu.

"Akak tak tahu la dik, dia tak pernah cerita pun kat akak, lagipun dan berbulan dia tak kontek akak."

"Akak jangan tipu."

"Betul dik akak tak tipu, buat apa akak nak tipu, akak betul-betul tak tahu."

"Saya kena buat keputusan kak, nak tunggu dia atau nak terima pilihan keluarga."

Bagaimana harus saya aturkan kata menenangkan gadis di sebelah yang sedang teresak-esak. Saya tidak dapat membantu. Tidak juga mampu memberi cadangan atau membuat keputusan.

"Ini keputusan yang empunya badan kena buat sendiri. Akak rasa, akak tak boleh campur. Takut dipersalahkan kemudian hari. Kalau tanya akak, istikharahlah jalan yang terbaik dik. Mudah-mudahan Allah tunjukkan jalan.

Itu sahaja yang boleh saya nasihatkan dia saat kepala saya juga sedang berserabut. Pertemuan 20 minit yang cukup bermakna buat kami.

Sampai hari ini, saya tidak tahu kisah mereka dan saya juga tidak berminat untuk ambil tahu. Biarlah.

Kak, 

Akak ok ke? Saya dah lama tak dengar cerita hati akak. Kadang-kadang saya mengintip facebook akak dan saya jumpa puisi ini. 

Akak nak kongsi dengan saya?


Sampai di sini dulu kak.

Salam rindu.











memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan