13 July 2012

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret

Penerbangan 2 jam 35 minit saya ke Kota Kinabalu pagi semalam di temani dengan buku terbaru buah tangan Tuan Zabidi, Kisah Penglipur Lara Sang Majistret. Sebaik saja saya melabuhkan punggung di dalam pesawat AK5102 itu, baris demi baris ayat dalam buku ini terus saya telusuri. Ini kali kedua saya menghadamnya.

Penulis telah berjaya mengarap kisah lucunya sebagai majistret dengan begitu berkesan. 

Illustrasi pada kisah pertama itu sudah cukup membuatkan pembaca tertanya-tanya. Lucukah? Ngerikah?

Kisah pertama itu sebenarnya pada saya sedikit saja yang lucu. Itu kisah ngeri sebenarnya. Penulis telah berjaya membawa khalayak pembaca melihat bagaimana hukuman rotan ini dijalan kepada pesalah rogol. Semestinya pembaca dapat melihat berapa besarnya rotan itu. Saya seakan-akan terdengar bunyi rotan yang melibas pinggul mereka. Jerit pekik banduan itu juga terngiang-ngiang di telinga saya. Saya dapat membayangkan bagaimana perasaan dua majistret wanita itu. Sejujurnya, saya sendiri tidak akan pernah sanggup melihat hukuman rotan itu dilaksanakan. 

Saya kagum dengan kecekapan penulis menguasai loghat Kelantan dalam kisah yang kedua. Sesetengah perkataan yang digunakan agak jarang digunakan sekarang. Saya tersenyum sendiri bila penulis sehabis baik mengeja bahasa Kelantan supaya sama dengan sebutannya. Rasanya orang Kelantan sahaja yang tahu menyebutnya dengan betul.

Cerita karkun dalam Kisah Lucu Seorang Pensyarah di Mahkamah mengajak pembaca berfikir panjang tentang hikmah di sebalik setiap musibah yang menimpa kita. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebetulnya ini kali pertama saya mendengar istilah karkun itu dan sedikit sebanyak mengetahui sejarah Jemaah Tabligh. Terima kasih kerana memberikan saya ilmu. Dalam setiap buku yang kita baca, pastinya ada saja ilmu baru yang kita akan perolehi.

Rasanya buku ini elok benar kalau pelajar-pelajar saya membacanya. Membacanya secara santai, terkadang tersengeh sendirian tetapi ada info tersirat yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran mereka.

Di muka surat 4, rasanya seksyen yang dimaksudkan penulis bukan 306 tetapi 376 Kanun Keseksaan dan terdapat sedikit kesilapan ejaan di muka surat 196 baris kedua.

Terima kasih kepada penulis kerana menghadiahkan saya buku ini. Saya cukup gembira.



Sabah Oriental Hotel
6.00pm

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan