27 June 2014

Diari 27 Jun 2014: Ramadhan 1435h

Hari ini jumaat terakhir syaaban tahun ini. Ini bermakna penghulu segala bulan akan menjengah kita lagi. 

Ramadhan.

Ia bulan rahmat, bulan pengampunan dan bulan dimana pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Ia bukan bulan untuk kita berlapar dan dahaga kerana puasa semata. Ia bulan melatih diri melawan nafsu.

Dan semoga kita beroleh takwa.

Jom kita jadikan bulan ramadhan sebagai permulaan untuk menjadi lebih baik. Muhasabah diri seketika.
Kita sentiasa berusaha untuk mendapat A dalam exam. Mengapa tidak kita berusaha untuk mendapat A juga dalam puasa. Pasti kita tidak mahu puasa kita menjadi sia-sia..

Penat-penat berpuasa, solat jangan dilupa. Bangun bersahur tapi terlepas subuh, tidak ada untungnya jugak.

Siang hari berpuasa, malam pula ke panggung wayang, amatlah canggung rasanya. Saat semua orang berlumba-lumba mengumpul pahala berganda, kita? 

Kita berlumba-lumba ke masjid, surau untuk solat sunat terawih. Itu pun tidak salah. Dalam masa yang sama solat 5 waktu, jangan kita abaikan. Jom sama-sama kita berusaha untuk solat di awal waktu. Antara yang sunat dan yang wajib, pasti wajib yang wajib kita diutamakan. 

"Kalau puasa tapi tak solat macamana pulak?" Saya pernah ditanya soalan ini lama dulu.

"Solat tiang agama. Kalau tanpa tiang, puasa mahu disandarkan kemana? Kalau puasa tak solat agak-agak dapat apa?". Soal saya balik.

Kalau sebelum ini, facebook jadi sahabat karib, jom kita jadikan Al-Quran teman paling akrab. Dah alang-alang bangun sahur, apa kata luangkan masa sekejap untuk solat tahajud. 10 minit je pun, bukan lama. Sikit pun amalan kita, kalau istiqamah, itu lebih baik di sisi Allah. 

Kalau dulu dalam kereta, sambil-sambil drive kita asyik dok dengar lagu yang entah apa-apa, rasanya lagi elok kita mengaji sorang-sorang. Tak perlu bukan Al-Quran beria. Baca surah Al-Ikhlas ni pun dah cukup. Tak kan tak ingat kan? Ulang dan ulang lagi sehingga sampai ke destinasi. Bukankah sekali membaca surah pendek ini seperti membaca 1/3 Al-Quran.



Bulan puasa juga bukan bulan pesta makan. Jangan diikutkan sangat nafsu bila ke bazar ramadan. Berpada-padalah dengan perut sendiri. Jangan  membazir. Kalau rasa duit banyak sangat yang lebih, beli banyak-banyak, sedekahkan kat masjid. 

Ah, tarikh mati kita makin dekat. Mungkin esok, mungkin lusa. Bila dan dimana, hanya Allah yang tahu. Kalau ditakdirkan kita mati, biarlah kita mati saat Allah paling redha dengan kita. 

P/s:  Semoga ini bukan ramadhan saya yang terakhir.


Diari diri,




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

26 June 2014

Diari 26 Jun 2014: Kita Hanya Merancang

Saya terlepas pandang pada kemungkinan yang satu ini. Ia sedikit sebanyak akan mengubah perancangan hidup saya.

Sendiri.

Kawan yang satu pun akan pergi. Demi hidup yang jauh lebih baik. Saya akan diam tak terkutik lagi.

Mahu pindahkah? Hurrmm..tengoklah nanti.


Diari diri,







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

21 June 2014

Saya yang tidak punya apa-apa

Saat mereka punya segala
Saya masih bertatih melangkah
Mencari diri dalam diri
Mencari hati dalam hati

Saat mereka punya segala
Saya disini termenung sendiri
Menghitung nasib dalam nasib
Menghitung rahmat dalam hikmah

Saat saya tidak punya apa-apa
Pangkat, darjat juga wang berjuta
Saya di sini memujuk hati
Agar terus kuat mengatur langkah kaki

Saat saya tidak punya sesiapa
Teman bicara meluah rasa
Saya di sini memujuk hati
Dia ada sentiasa setia menemani



#PPAS Seksyen 13 Shah Alam#







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

20 June 2014

Diari 20 Jun 2014 : 4 S

"S kawin?" Laju saya bertanya teman serumah.

"Ya. Baru je lagi dia kawin tapi tak sure la bila."

Wah, cepatnya dia mengubat hati, menyembuh luka lama. Kurang 8 bulan bertemu pengganti. Alhamdullilah. Tahniah akak ucapkan. Moga bahagia sampai syurga. 

Rasanya baru semalam dia meluahkan rasa kecewa dengan isteri yang dinikahinya setahun lalu. Kecewa dengan karenah isteri dan mertuanya. Haknya sebagai ayah dinafikan bekas isterinya. Masih terbayang wajah duka beliau saat meluahkan rasa hatinya pada kami berdua. Pertama kali kami bertiga duduk di kedai makan sampai jam 12 tengahmalam. 

Dia pergi membawa hati. Pulang kepangkuan ayah bonda, Hilang dari Shah Alam tanpa bekas lagi. Bertanya khabar saya sekali dua. Saya cuba menghubungi tapi tidak berjawab. Rupanya nombor hpnya sudah bertukar.

Dia S yang kedua yang kenal di sini. Orangnya baik. Entah macamana saya rapat dengan dia. 

"S, tolong akak ambik kereta boleh?"

"Bila?"

"Esok petang."

Dan petang itu, dialah dengan sabar menerangkan satu persatu tentang kereta pada saya. Saya yang tidak tahu apa-apa hanya mengangguk sahaja. 

"Kak, yang penting sekali akak kena pandai lock kereta ni. Tak reti bawak dulu pun tak pe, takut nanti kereta hilang."

Saya tergelak.

"Nak start..macam ni kak, ni untuk wiper, ni signal, pusing macam ni lampu, tarik ni untuk air." Saya angguk lagi.

"Nah, akak bawak kereta, saya nak tengok akak pandai ke tak." Aduss.

 Dan entah apa-apa lagi pesan dia pada saya petang itu.

"Ada apa-apa akak bagi tahu je la saya ya." 

Itu antara budi  beliau yang saya tak termampu membalasnya. Banyak lagi jasanya pada saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

S yang pertama saya kenal selepas 2 bulan saya di Shah Alam. Kami dari daerah kelahiran yang sama. Ini mungkin menjadi sebab kami rapat. Isterinya pun saya kenal baik. Dia orang IT. Semuanya di hujung jari. Saya pula semasa mula bekerja kurang mahir dengan sistem yang digunapakai di sini. Dialah yang jadi cikgu saya dan kawan-kawan.

"S, tolong saya beli laptop boleh?'

"Boleh je. Jom kita ke Low Yat. Tapi saya tak biasa lagi jalan dalam KL ni, nanti saya ajak kawan saya."

"Ok."

"Awak ajaklah Hir sekali."

Dialah yang banyak membantu saya semasa saya mula-mula menapak di Shah Alam. Selepas 2 tahun dia di sini, dia beroleh kerja yang lebih baik. Kali terakhir saya berjumpanya 5 tahun lepas. Sesekali saya mengikuti perkembangan beliau di Fb. Bertegur sapa lama dahulu sebelum dia terbang ke German.

Semoga beliau terus sukses dalam kerjayanya.

S yang ketiga ialah bekas pelajar saya. Saya mengajar dia Commercial Law. Semester kedua saya di sini, saya ditugaskan mengajar grup pelajar yang sudah bekerja. Kelas sudah pasti malam. S inilah yang biasanya menawarkan diri menghantar saya pulang. 

"Jom miss, saya hantar miss balik. Bahaya ni nak jalan kaki sorang-sorang."

Kawan-kawan saya juga sudah berpesan tentang bahaya melalui lorong belakang yang gelap keseorangan. Walaupun jaraknya cuma 10 minit sahaja, pelbagai benda buruk boleh berlaku. 

Itu cerita 8 tahun dulu. Sejak dia menjadi rakan saya di Fb, ada juga gelagatnya yang membuatkan saya sedikit serba salah. Nak tegur pun, dah bukan student lagi. Lantas, saya biarkan sahaja.

Klimaknya, dia memberi komen pada satu status Fb saya yang membuatkan kawan-kawan saya naik angin. Saya tergelak besar bila membaca kritikan kawan-kawan saya yang sekaligus membela saya. Lama dia diam. Segan agaknya.

Terbaru, dia menghubungi saya juga melalui fb messenger, meminta saya mengisi referee form untuk permohonan masternya. 

InsyaAllah, saya akan bantu.

S yang keempat saya kenal secara tidak sengaja. Beliau bos yang tegas dan well respected person. Saya pun dia boleh arah macam staff dia. Huh, menyampah. Tapi dia baik. Sesekali menyapa saya, terus memberi arahan. Kalau dah bos tu..bos la jugak.

Mereka empat nama yang sama, yang pernah saya kenali.



P/s: Andai kalian terbaca, mohon maaf ya..:)
     

Diari diri,








memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

14 June 2014

Diari 13 Jun 2014: Bengkel dan Makan-makan

Saya berbengkel 2 hari, rabu dan khamis. Banyak ilmu baru yang saya pelajari. Banyak juga tip-tip yang saya perolehi.Bertemu orang-orang yang hebat yang sudi berkongsi ilmu. 

Baru saya sedar saya bagai kura-kura yang jauh ditinggalkan arnab. Selama ini saya berada di zon selesa. Owh, my own comfort zone. Saya seolah-olah takut untuk keluar dari comfort zone tersebut. 

Berpeluang berkenalan dengan Syikin. Banyak juga ilmu yang beliau kongsikan dengan saya. 

Temujanji saya dengan bos baru saya juga berjalan lancar. Alhamdulillah. Terus dapat kerja untuk dibawa pulang. Gaji? Lupa lak nak tanya. Sungguh saya lupa. Cukup untuk isi minyak pun dah cukup bagus bagi saya.

Malamnya, saya menikmati makan malam bersama mereka ini.


Terima kasih Izuan, Solehan, Izat dan Elyasarah.  



Diari diri,








memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

11 June 2014

Diari 11 Jun 2014: My Sifu

Ini saja kata-kata yang membuatkan saya bertahan setakat hari ini. Ianya berputar-putar ligat dalam kepala setiap kali saya rasa semangat saya hilang.

Ini nasihat ringkas dari sifu saya,


"Tahan je, tu biasa."

"Jangan give up dah la ya."



Diari diri,











memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

09 June 2014

Diari 9 Jun 2013: Taugeh?

Untuk mendapatkan sesuatu, harus kita korbankan sesuatu. Usaha sehabis daya. Kemudian, serahkan segalanya kepada Dia yang kuasa. 

Rasanya baru semalam nasihat ini yang saya lontarkan kepada pelajar-pelajar saya. Senang rasanya meyakinkan orang lain. Memberi motivasi pada diri sendiri rupanya tidak semudah itu. Memujuk hati sendiri menjadi kuat kadang-kadang mengundang airmata. 

Saya tidak mahu menjadi seperti taugeh. Segar hanya untuk beberapa hari. Rapuh. Tinggi? Ah, sejengkal pun belum tentu. 


Saya mahu menjadi helang yang terbang gah membelah angkasa raya. Saya mahu menjadi hujan yang menyirami rumput di bumi. Saya mahu jadi embun yang menyegarkan dinihari. 

Saya juga mahu menjadi padi yang sentiasa  merunduk ke bumi. 

Saya mahu menjadi saya seadanya saya.


P/s: Hati yang tidak tenang, pasti ayat juga tunggang langgang..:)



Diari diri,



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

05 June 2014

Diari 5 Jun 2014: Satu E-mail

Semalam sebelum pulang, email yang saya terima buat saya tidak keruan seketika. Hati berdebar-debar. Keyakinan diri sudah hanyut ke laut.

Email yang sebaris ayat sahaja. Pendek dan penuh makna.

"Berminat nak join?"

Hati saya berkata tidak. E-mail saya sign out tanpa memberi kata putus. Semalaman saya berfikir panjang. Semalaman juga saya bermonolog sendirian. E-mail yang wajib saya jawab. Mana mungkin saya menolak tawaran sebaik itu.

Mampukah saya menyiapkan dalam masa yang sebegitu singkat? Satu minggu? Itu soalan yang bertalu-talu datang dalam kepala saya. 

"Sempat, nanti akak bantu mana yang boleh". Itu jawapan kak midah apabila saya meluahkan kegusaran hati saya. 

Hari ini, saya balas e-mail tersebut.

"Saya cuba ya".

Saya tersengeh panjang. Saya sambut cabaran itu.





Diari diri,










memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

04 June 2014

Diari 4 Jun 2014: Tentang Rasa

Ini blog peribadi saya. Tidak ada yang istimewa di sini. Siapa sahaja yang singgah di sini dan mengenali saya secara peribadi akan melihat sisi lain dalam diri saya.

Saya menulis sekadar menghiburkan hati sendiri. Meluahkan rasa yang terpendam yang tidak terluah dengan kata-kata. Kadang-kadang yang mahu saya kongsikan tak dapat saya huraikan dengan ayat-ayat yang panjang berjela. Cukup hanya dengan beberapa baris puisi yang lahir dari hati saya. Ia cukup untuk mengungkap segala yang terpendam di jiwa.

Saya hanya menulis mengikut rasa saya sahaja. Ia lahir dari hati saya. Terkadang idea datang bagai air mengalir tapi tidak sebaris ayat terukir di sini. Terkadang bagai gema bertandang di sukma tapi tidak terungkap dengan patah kata. Lantas semua idea itu hilang lenyap dari kotak fikir saya.

Ingin saja saya titipkan

pada deru angin lalu 
pada damai tasik itu
pada sesiapa saja yang lalu

tentang rasa yang terbuku 
tentang hati yang tak tentu
tentang rindu yang kian membeku
kian kaku
tentang cemburu yang membelenggu
yang merantai kalbu

dan
saya di sini 
mencari dicelah timbunan buku
mungkin berbulan baru  bertemu
penawar hati pengubat rindu




Diari diri,












memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

03 June 2014

Diari 3 Jun 2014: Buat Pertama Kalinya

Hari ini hari kedua saya secara rasmi tidak ke ofis seperti biasa. Wah! saya jadi apa ni ya? 

Untuk bulan ini, saya hidup tanpa gaji. Langsai segala hutang piutang keliling pinggang, saya harus menghitung duit yang berbaki. Kelakar pun  ada rasanya. No more shopping. Macam la saya selalu shopping sakan. Jarang sangat saya bershopping pun. Membeli sekadar yang perlu sahaja. Selalunya yang saya beli buku sahaja. Hobi ini pun rasanya tidak boleh dirai buat masa sekarang ini.

Sukar rupanya mengubah rutin yang telah sebati dalam diri. Saya keliru sekejap dengan diri saya. Saya wajib mengubah rutin hidup saya. Ini bermakna saya mengubah segalanya. Sesukar mana pun halangan di hadapan, saya harus teguh melangkah. Saya sudah menghitung ranjau perjalanan hidup saya ketika saya membuat keputusan ini. Saya nekad kali ini.

Saya tahu saya akan keseorangan. Tiada lagi teman-teman yang meriah seperti dahulu. Tiada juga call, sms atau whatsapp dari pelajar-pelajar saya. Ah, saya betul-betul keseorangan.



حَسْبِيَ الله لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ.

Semoga ada sinar di hujung jalan.


Diari diri,











memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

01 June 2014

Saya Tunggu Awak

Saya secara tidak sengaja melihat foto bonda Ummu Hani yang sedang memegang buku ini di suapan berita facebook saya. Nama penulisnya sering juga disebut-sebut oleh Tuan Zabidi Mohamed di facebook. Cuma saya sering bertangguh untuk memilikinya.


Saya tergerak untuk menghubungi penulisnya melalui facebook messenger. Rasanya saya mahu membeli terus dari penulisnya. Alhamdullah, penulisnya yang baik hati sudi mengeposkannya kepada saya.

Saya Tunggu Awak karya Bonda Nor ini saya peram seminggu di atas meja tulis. Saya mahu membacanya saat saya betul lapang-lapang. Kebetulan, saya sendirian di hujung minggu kali ini dan saya mengambil peluang menatapnya baris demi baris.

Saya Tunggu Awak mengangkat tema rumahtangga yang tidak pernah saya baca sebelum ini. Bonda Nor bijak mengolah konflik jiwa watak-watak utama novel ini dan berjaya membawa pembaca menyelami watak-wataknya. Setiap watak yang muncul walau sekejap dalam novel ini mempunyai signifikan yang amat besar. 

Hanna Mardhiyah, nama yang cukup cantik, secantik tuannya, seindah akhlaqnya. Punya pendidikan tinggi, seorang ustazah yang disegani, kaunselor yang hebat, isteri yang sentiasa menjaga diri, ibu yang penyayang dan juga sahabat yang amat memahami. Perwatakannya yang warak, tegas, dan sekaligus kelakar sememangnya mudah membuatkan lelaki yang mengenalinya jatuh cinta walau hakikatnya beliau sudah bersuami.

Kecerdikan ustazah Hanna terserlah apabila beliau bijak menyusun kata mematahkan hujah kak Damia dan hujah pelajar-pelajarnya. Nasihat yang diberikan kepada sahabatnya Dr Suriana juga menunjukkan beliau begitu pandai memujuk. Begitu juga kewibawaannya sebagai kaunselor juga terbukti apabila beliau berjaya meyakinkan Rafiq dalam membuat keputusan, melembutkan hati Maira dan memberi nasihat pada Liza.

Penulis juga menyelitkan perbincangan kitab Bidayatul Hidayah karya Imam Al-Ghazali  yang membuat saya sendiri terpegun. Ia mengingatkan pada setiap diri yang lupa.
"Semakin banyak ilmu, sepatutnya kita semakin dekat dengan Allah, semakin gerun kita dengan azab-Nya, dan semakin kita rindu pula untuk bertemu dengan-Nya. Jangan sesekali kita merasa dengan bertambahnya ilmu kita, bermakna kita semakin bagus, semakin kita mampu meraih manfaat dunia, semakin kita mahu menagih perhatian dan sanjungan manusia. Jika itu yang kita rasa dan jika itu yang kita harapkan, maka jadilah kita manusia yang telah berjaya disesatkan syaitan dengan tipu dayanya."
(hlm 184-185)

Inilah rumusan Syeikh Shirazi yang buat saya termenung panjang. Saya merasakan saya membaca buku ini pada waktu yang tepat, saat saya memerlukan cahaya penunjuk jalan.

Bonda Nor juga secara halus cuba memahamkan pembaca dengan isu politik tanahair. Tidak susah untuk menghadamnya sekiranya kita berlapang dada. Membaca yang tersurat dan menyerap makna tersirat buat saya tersengeh seorang diri.

Saya juga kagum dengan Farhan, suami ustazah Hanna yang sanggup membuang ego dan mengaku kesilapan beliau sebagai seorang suami. Farhan juga tidak kurang ilmunya tapi kelulusan di atas kertas tidak menyebelahinya. Teguran beliau kepada isterinya sentiasa berhikmah. Kelebihan Ustazah Hanna yang satu itu tidak menjadikannya dia lebih hebat di rumah.  Suaminya dicintai setulusnya, dihormati selayaknya dan dia sentiasa menjaga maruahnya sebagai seorang isteri.

Novel ini betul-betul mendidik jiwa, mengisi hati serta mengingatkan diri yang lupa. Setiap bab ada ilmunya yang tersendiri. Penulis membincangkan tanggungjawab isteri terhadap suami, urusan mengajar anak-anak, berbuat baik sesama insan, cita-cita untuk syahid dan juga urusan ajal maut. Ini juga satu pendekatan dakwah yang pastinya berjaya menyentuh hati pembaca.

Membaca buku ini membuatkan saya terbuai dalam emosi, cuba memahami kemelut rasa ustazah Hanna, bebanan di bahu Farhan juga derita jiwa seorang Rafiq Aqlan.

Penulisnya mengakhiri bab dengan tafsir ayat-ayat suci al-Quran, sabda baginda nabi dan mutiara kata dari ulama besar yang tidak asing lagi. Ya benar, ini novel tarbiah.

Di akhir bab 21, penulis mengakhirinya dengan mutiara kata ini,

"Aku tidak pernah menguruskan sesuatu yang lebih sukar sepertimana aku terpaksa menguruskan hati dan jiwaku sendiri. Adakalanya, ia menyokongku dan adakalanya ia menentangku"
(Imam Al-Ghazali) 

Sekali lagi saya terpempan.


P/s. Saya terpaku seketika dengan coretan tulus dari Puan Bonda Nor. Ah, mata saya basah.

Dan Saya Tunggu Awak punya makna tersendiri buat saya. 

.
Terima kasih atas doanya



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan