27 June 2014

Diari 27 Jun 2014: Ramadhan 1435h

Hari ini jumaat terakhir syaaban tahun ini. Ini bermakna penghulu segala bulan akan menjengah kita lagi. 

Ramadhan.

Ia bulan rahmat, bulan pengampunan dan bulan dimana pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Ia bukan bulan untuk kita berlapar dan dahaga kerana puasa semata. Ia bulan melatih diri melawan nafsu.

Dan semoga kita beroleh takwa.

Jom kita jadikan bulan ramadhan sebagai permulaan untuk menjadi lebih baik. Muhasabah diri seketika.
Kita sentiasa berusaha untuk mendapat A dalam exam. Mengapa tidak kita berusaha untuk mendapat A juga dalam puasa. Pasti kita tidak mahu puasa kita menjadi sia-sia..

Penat-penat berpuasa, solat jangan dilupa. Bangun bersahur tapi terlepas subuh, tidak ada untungnya jugak.

Siang hari berpuasa, malam pula ke panggung wayang, amatlah canggung rasanya. Saat semua orang berlumba-lumba mengumpul pahala berganda, kita? 

Kita berlumba-lumba ke masjid, surau untuk solat sunat terawih. Itu pun tidak salah. Dalam masa yang sama solat 5 waktu, jangan kita abaikan. Jom sama-sama kita berusaha untuk solat di awal waktu. Antara yang sunat dan yang wajib, pasti wajib yang wajib kita diutamakan. 

"Kalau puasa tapi tak solat macamana pulak?" Saya pernah ditanya soalan ini lama dulu.

"Solat tiang agama. Kalau tanpa tiang, puasa mahu disandarkan kemana? Kalau puasa tak solat agak-agak dapat apa?". Soal saya balik.

Kalau sebelum ini, facebook jadi sahabat karib, jom kita jadikan Al-Quran teman paling akrab. Dah alang-alang bangun sahur, apa kata luangkan masa sekejap untuk solat tahajud. 10 minit je pun, bukan lama. Sikit pun amalan kita, kalau istiqamah, itu lebih baik di sisi Allah. 

Kalau dulu dalam kereta, sambil-sambil drive kita asyik dok dengar lagu yang entah apa-apa, rasanya lagi elok kita mengaji sorang-sorang. Tak perlu bukan Al-Quran beria. Baca surah Al-Ikhlas ni pun dah cukup. Tak kan tak ingat kan? Ulang dan ulang lagi sehingga sampai ke destinasi. Bukankah sekali membaca surah pendek ini seperti membaca 1/3 Al-Quran.



Bulan puasa juga bukan bulan pesta makan. Jangan diikutkan sangat nafsu bila ke bazar ramadan. Berpada-padalah dengan perut sendiri. Jangan  membazir. Kalau rasa duit banyak sangat yang lebih, beli banyak-banyak, sedekahkan kat masjid. 

Ah, tarikh mati kita makin dekat. Mungkin esok, mungkin lusa. Bila dan dimana, hanya Allah yang tahu. Kalau ditakdirkan kita mati, biarlah kita mati saat Allah paling redha dengan kita. 

P/s:  Semoga ini bukan ramadhan saya yang terakhir.


Diari diri,




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment