10 February 2013

Diari 10 Februari 2013: Antara Dua

Dua minggu lepas, saya berkesempatan mendengar ceramah dari bekas Dekan kami yang tidak asing lagi, Dr Ab Jalil Ghazali @ Dr AJ. Ceramah ini untuk pelajar sebenarnya tetapi persoalan yang dibangkitkan oleh beliau menyebabkan saya lama merenung, berfikir dan sampai kini belum saya temui jawapannya.

KEJAYAAN.

Sepatah perkataan yang cukup membuatkan saya muhasabah diri. Antara soalan yang bermain dilubuk rasa ialah:

Apa itu sebuah kejayaan? 

Adakah saya sudah berjaya?

Kejayaan adalah sesuatu yang subjektif. Mungkin pada seorang pelajar, mendapat CGPA 4.0 dan bergraduat dengan Kelas Pertama adalah sebuah kejayaan padanya. Bila memasuki alam pekerjaan, mendapat pangkat menjadi orang teratas adalah kejayaan. Pada yang bercinta, bersatu dengan lafaz ijab dan kabul adalah kejayaan pada pasangan tersebut. Pada saya seorang pendidik, melihat anak murid saya berjaya adalah kejayaan yang membahagiakan saya sebenarnya. Tapi cukupkah itu buat saya?

Memadaikah?

Perjalanan hidup saya masih jauh. Saya bersyukur kerana beroleh kejayaan pada masa lalu. Cemerlang SPM, menjadi salah seorang pelajar terbaik sekolah, menjejakkan kaki ke menara gading, beroleh Degree dan Master, layak diterima sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dan kini bergelar Pendidik anak bangsa. Sekadar itu saja kejayaan saya pada masa ini.

Tewaskah saya?

Saya berkerja, beroleh gaji. Gaji yang cukup untuk saya meneruskan hidup tanpa menyusahkan siapa-siapa. Bukan banyak, tapi cukup. Cukup untuk saya berkongsi dengan bonda, cukup juga untuk saya bantu adik dan kakak kalau mereka memerlukan. Alhamdulillah! semoga Allah terus memberi saya rasa cukup ini, rezeki yang bermanafaat dan berkat.

Banyak lagi kejayaan yang saya impikan. Banyak lagi kejayaan yang mahu saya raih. Banyak lagi angan-angan yang belum tercapai dek tangan. Kejayaan bukan hanya dalam bidang akademik, tapi hidup saya seluruhnya.

Gagalkah saya?

Mampukah saya mengukir kejayaan lagi?

Dalam akademik?

Dalam hidup?
Sungguh saat ini saya buntu.
Ya Allah, beri saya petunjuk, beri saya jalan, jalan yang terbaik menuju redha-Mu. Agar setiap apa yang saya lakukan hanya kerana-Mu, Lillahi Taala.







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

09 February 2013

Email buat Solehah II

From: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
To: solehahmohd<@gmail.com> 
Sent: Monday, February 9 , 2013 09:09 PM
Subject:


Salam dik,

Maaf kerana lewat membalas emailmu. Akak pindah. Itu yang menyebabkan rutin harian sedikit berubah. 

Faham je la bila pindah ni, angkat barang dari rumah lama ke rumah baru pun akak dah lelah. Rasanya barang akak sikit je. Boleh caya ke? Tapi bila dah mengemas, buku pun dah berbelas kotak, itu belum lagi kain baju.

Tujuh tahun lebih kat situ, lama kan? Cepatnya masa berlalu. Pejam celik tujuh tahun macam tujuh hari sahaja. Nanti bila balik Malaysia, boleh la singgah rumah akak. Rumah ini dah boleh menerima tetamu. Walau hanya flat, tapi rasanya kami dah cukup selesa. Pemandangannya  depan rumah ni pun cantik. Akak tinggal berdua dengan ofismate akak, Fiza namanya.

Kedua-dua email dah akak baca dan hadam. Allah mencipta rasa dalam hati kita. Dengan rasa itu, kita mengutip pengalaman hidup. Kita pasti diuji. Caranya mungkin berbeza. Banyak lagi yang bakal kita tempuh dihadapan kita. Simpan la rasa itu sebaiknya. Kita hanya hamba pada DIA kan? 

Akak rasa akak ingat lagi lelaki yang Hah ceritakan dulu. Berkawan biar seribu tau, bercinta hanya satu je. Hehe..Akak dah faham apa yang tersirat disebalik yang tersurat. 

Ok ya dik, akak belum habis mengemas lagi ni tau. Hujung minggu ni je rasanya leh mengemas. Barang dah letak merata. Yang di cari semuanya tak jumpa. 

Akak mintak diri dulu.

Bye. 
Mentari terbenam di rumah baru, cantik kan??

  
 

 


 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan