31 December 2014

31 Disember 2014: Akhirnya

2014 akan menutup tirainya malam ini. Berlabuh dengan pelbagai kisah suka duka untuk kita. Rasanya terlalu banyak kisah duka buat negara tercinta.

Benar sekali kata Imam Al-Ghazali, yang paling jauh ialah masa yang telah berlalu meninggalkan kita. Walau sederas mana pun kita mengejar, ia tetap berlalu pergi meninggalkan kita bersama jejak-jejak semalam.

Buat saya secara peribadi, hidup saya biasa-biasa sahaja. Tiada banyak kenangan indah tahun 2014 rasanya. Cuma saya rasakan saya makin kuat berangan. Berangan eh? Bukan berfikir ke..atau saya makin pelupa.

Minggu lepas saya sendirian di rumah. Fiza ke JB atas urusan keluarga. Dalam perjalanan balik, saya memasang angan untuk memasak malam itu. Menu apa ya? Saya mencari menu yang paling mudah dan cepat.

"Goreng kuey teow je la, 10 minit dah boleh siap." Bisik saya sendirian.

Singgah di kedai runcit seksyen 8, saya membeli daun kucai, tauge, bebola ikan, telur dan sudah pasti kuey teow sebungkus. Cukup la untuk makan malam saya.

Malam itu, saya dengan penuh yakin menjerang kuali, menumis segala rencah yang perlu, dan hanya menunggu untuk masukkan kuey teow sahaja dalam kuali. Saya mengeledah plastik yang saya jinjit naik tadi mencari kuey teow. Kuey teownya tidak ada. 

"Rasanya sudah saya ambil di kedai tadi." Hurrm, saya terlupa atau tertinggal di rak semasa saya mengambil telur.

"Habis rencah yang sedang mendidih tu nak letak apa? Nak tukar jadi nasi goreng, pasti tak sedap." Saya merungut sendirian.

Aduh, macamana boleh saya lupa ni. Perut yang berkeroncong sudah minta di isi. Saya sudah nyanyuk rupanya. 

**
Sikap suka berangan saya juga makin ketara.

Di suatu pagi dua bulan yang lepas, saya seperti biasa menghidupkan enjin kereta menuju PPAS. Entah apa yang ada dalam kotak fikir saya, saya pun tidak tahu. Sebaik saja keluar dari  simpang perumahan seksyen 8, saya sudah nampak lampu isyarat yang berwarna hijau sudah berkelip-kelip. Saya tahu saya tidak mungkin sempat mengejar lampu isyarat tersebut kerana kereta di hadapan bergerak agak perlahan. Saya tidak perlu tergesa-gesa. Hasilnya saya yang paling belakang bila lampu isyarat bertukar merah. 

Selepas beberapa ketika, kereta dihadapan saya bergerak perlahan. Dan saya mengikutnya dari belakang dan terus berhenti di garis putih di lampu isyarat tersebut. Seorang penunggang motosikal dari arah kiri saya lama merenung saya. 

"Apa mamat ni..pandang semacam je?"

Saya perasan beberapa buah kereta di lorong kanan saya bergerak laju. Lorong sebelah saya juga kosong. Opps, baru saya tersedar, lampu isyarat hijau sudah pun berkelip-kelip.

Saya lantas menekan pedal minyak sambil tangan kiri meraup muka yang sudah merah. 

"Allahuakbar, apa aku fikir ni.,patut la mamat ni tengok semacam. "

Saya berhenti semasa lampu isyarat berwarna hijau rupanya. Heran, tidak ada seorang pun pemandu yang sudi membunyikan honnya pada saya. 

Cukuplah dua fiil buruk ini sahaja saya catatkan di sini. 

Setinggi-tinggi penghargaan untuk mereka yang menemani perjalanan 2014 saya terutamanya 

1. Bonda yang risaukan saya semasa saya 4 malam  di wad, kak jah yang menghabiskan siangnya menemani saya, kak yah yang katilnya cuma kerusi dan juga adik saya yang sering terjaga setiap kali saya ke bilik air.

2.  Fiza, teman serumah yang mendengar semua cerita tidak best dari saya

3. Najmiyah yang sering menemani makan tengahari saya di PPAS.

4. Kak Midah yang tidak pernah lupa bertanyakan khabar saya, bimbang saya hanyut di bawa arus.

5. Aza Shanaz yang tidak pernah putus memberi kata semangat.

6. Kak Mahani yang selalu berkongsi rasa dan cerita.

Tidak dilupakan juga dia yang sentiasa ada menemani saya, meminjamkan telinga, memberikan bahunya untuk saya bersandar walau seketika.

Dan awak yang sesekali menceriakan hari saya.

2014,

Ini kisah saya, awak dan dia.. juga mereka.



Selamat datang 2015.


Diari diri,














memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

30 December 2014

30 Disember 2014: Banjir

Di kampung kami, banjir sudah menjadi rutin tahunan. Kadang-kadang datangnya dua atau tiga kali setahun, kalau sekali itu perkara biasa. 

Arwah ayah dulu sudah faham benar makna awan hitam di langit, angin, dan kadang-kadang bintang. Pernah saya di ajar ayah macamana melihat bintang di langit yang ayah saya panggil 'tiko' itu. Ilmu yang beliau pelajari dari arwah atuk saya. Sampai sudah saya tidak boleh menangkap maksud 'tiko' yang ayah saya cuba sampaikan.

Dulu ayah ada membela beberapa ekor lembu. Bila air naik, lembu-lembu ini ayah akan bawa ke kampung sebelah yang tidak dinaiki banjir. Ayah akan berjalan kaki sahaja ke tempat lembunya melalui batas-batas bendang sawah  yang sudah mula dinaiki air. Kampung Lumpur itu saya nampak sayup-sayup dari kampung saya. Bila air sudah merentas kampung, ayah akan menggunakan perahu pula. Malang sekali, perahu ayah tiris di tengah-tengahnya. Biasanya ayah menampalnya dengan tanah liat ataupun ayah guna kain dan diselitkan dengan menggunakan sabit yang sentiasa ada dalam perahunya.

Sekali-sekala, saya akan mengikut ayah memasang pukat di tepi-tepi kebun getah di pinggir kampung. Jarang ayah membawa saya dan adik berjalan menggunakan perahu di tempat air yang dalam. Mak saya kata, "Ayah kau pergi sorang tak pe, dia reti berenang." Pernah juga saya memujuk ayah menunjukkan skill berenangnya kepada kami tapi tidak dilayannya. 

Seawal jam 9 pagi, ayah akan menyauk 'terendak' dan plastik yang digunakan sebagai ganti baju hujan diikat dilehernya untuk mengelakkan tempias hujan. Ayah akan berdiri dihujung perahu dan galah panjang ditangannya digunakan untuk menongkah perahu. Ayah akan mencari rumput untuk bekal lembu-lembunya. Baliknya bila matahari sudah condong di dada langit. Kerap juga saya bertanya dimana beliau mendapat rumpur-rumput lembunya, beliau hanya menjawab, 

"kalu oyat pun tak tahu, bukan rajin gi pun koktu."

Pernah sekali sambil makan ubi rebus beramai-ramai bersama kami, beliau bercerita, 

"Hari tu gi ccerut rumput dale alor tu, nyelam dua kali lonjok baru sapa atah."

"Alor mano?" Kakak saya bertanya.

"Alor kube jjulok tu je."

Kakak saya terdiam.

Dan saya tahu tempat itu bahaya.

Opss, ini cerita dongeng sahaja

Kampung Lumpur kini sudah hilang dari pandangan saya.
Lesap.

Batas bendang sawah tempat saya berangan di waktu petang juga sudah tiada.
Lenyap.

Padang tempat mak mencari kulat  padang juga tiada.
Hilang.

Hati saya?
Kosong.

#malas dah nak tulis#

Diari diri,
 





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

27 December 2014

Diari 27 Disember 2014: Emas

"Eh za, awak tak suka ke barang kemas? Tak nak beli ke?" Itu soalan yang masuk ke telinga saya. Saya tersengeh bagai kera sumbang. Soalan yang buat saya terkedu. 

"Beli la .." Sambung dia lagi. 

"Nanti-nanti lah, saya bukan minat sangat pun. Mahal tu, mana mampu."

Saya mahu tergelak. Miskin ya saya?

Saya dipandang pelik apabila tidak ada barang emas bersalut di badan rupanya. Lagi saya pelik bila ada sahabat yang boleh bertanya begitu. 

Ya, badan saya tidak bersalut emas. Tidak ada rantai berjuntai bertahta berlian. Tidak ada juga gelang emas dan permata yang tebalnya seinci. Yang ada cuma gelang silver RM10 yang yang saja saya pakai sebelum saya campak dalam bekas sampah. Jari saya cuma tersarung sebentuk cincin belah rotan kepunyaan bonda.

Benar, manusia memandang luaran semata. Apa yang ada di depan mata itulah yang membawa makna padanya. Badan yang bersalut emas, mempunyai kereta besar, mendiami banglo besar makanya mereka itu orang kaya. Kalau yang selekeh, konklusinya dia tidak punya apa-apa.

Betapa mudah kita menghukum.

Saya bersyukur dengan apa yang yang ada, cukup dengan apa yang ada. 

Semoga Allah melindungi kita semua dari penyakit hati. 


Bonda punya..hehe




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

10 December 2014

Nota untuk Diri VI: Al-Haliim

caligraphy

(Yang Maha Lemah Lembut, Yang Maha Penyantun)


Dalil
















Kenapa manusia boleh hilang rasa ehsan (halim) dari dalam dirinya

1. terlalu tamak dalam mengumpul harta

2. kesukaan kepada benda-benda syahwat dan kelazatan dunia. Ia merangkumi
  mata (suka tidur) perut (makan) dan apa yang ada di bawah perut (syahwat)

3. buruk pada perkataan( suka mengucapkan benda-benda yang buruk)

4. meringan-ringankan solat (solat adalah untuk mengingati allah bukan untuk memahirkan diri)

5. berkawan dengan orang-orang yang jahat

6. buruk akhlaknya (buruk akhlak pada allah, buruk akhlak pada diri sendiri (jangan biarkan diri tak terjaga), dan juga buruk akhlak pada manusia)

7. melupakan dosa-dosa yang lepas

8. suka menyebut kebaikkan yang dulu untuk berbangga atau menunjuk-nunjuk.

9. melihat benda-benda dunia pada orang yang di atasnya, dan melihat benda-benda agama pada orang yang dibawahnya

10. lupakan mati



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

09 December 2014

Nota untuk Diri V: Menuntut Ilmu


7 tanda ilmu yang berkat

1. Ilmu yang berkat menenangkan jiwa orang yang belajar.
2. Ilmu yang berkat membahagiakan hidup dengan keberkatan ilmu yang dipelajari.
3. Ilmu yang berkat akan diberi ingatan yang kuat.
4. Ilmu yang berkat akan menjadi penunjuk jalan/ pembimbing
5. Ilmu yang berkat akan mendatangkan ketaatan kepada Allah dalam hidup.
6  Ilmu yang berkat akan memberi kemanfaatan.
7. Ilmu yang berkat akan memberi keselamatan.

4 niat untuk menuntut ilmu

1. Kerana Allah
2. Mencari redha Allah
3. Menunaikan kefardhuan yang ditentukan Allah
4. Menghilangkan kejahilan

Ilmu terbahagi kepada 2:

1. Ilmu fardhu 'ain
    ilmu yang wajib dituntut untuk keperluan hidup manusia di dunia untuk mencapai                                 kebahagian di akhirat)

2. Ilmu fardhu kifayah

10 ilmu yang diajar oleh junjungan besar nabi kita:

1. Tarbiyatul aqidah
2. Tarbiyatul akhlaq
3. Tarbiyatul ibadah
4. Tarbiyatul ilmiyah
5. Tarbiyatul jasadiyyah
6. Tarbiyatul ijtimaiyyah
7. Tarbiyatul siyasiyyah
8. Tarbiyatul iqtisodiyyah
9. Tarbiyatul jihadiyyah
10. Tarbiyatul jamaliyyah


*Asas utama ialah akidah dan akhlaq. Selama 11 tahun nabi di Mekah untuk membetulkan akidah dan akhlaq. Solat hanya diwajibkan pada tahun ke 12.

*tarbiyah anak dengan ilmu akidah dari umur 2-4 tahun, ilmu akhlaq dari umur 4-7 tahun, ilmu ibadah dari umur 7-10 tahun dan ilmu lain dari umur 10 tahun ke atas.

*Pesan Luqmanul Hakim

Surah Luqman: 13









7 kerjasama untuk menyatukan masyarakat

1. adilnya pemimpin
2. ilmu para ulama
3. rajinnya pekerja
4. bantuan dari orang yang kaya
5. jihad para pejuang
6. ibadah ahli ibadat
7. doa dari orang fakir dan miskin




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

07 December 2014

Rindu

rindu 
bertamu bagai angin menderu
menyapa wajah menyentuh rasa

rindu 
menyapa bagai rintik hujan
menjamah pipi membelai jiwa

namun
rindu ini
kian hilang
bagai angin yang berlalu
bagai hujan yang sudah berhenti

rindu ini
nokhtahnya di sini




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

03 December 2014

Nota untuk Diri IV

Nota 1

Bersegeralah memohon keampunan dari Dia yang Maha Pengampun atas segala dosa yang kita lakukan (Al-Baqarah:35)

Nabi Adam dan Hawa berdoa selama 300 tahun memohon keampunan kerana telah melanggar perintah Allah. 

Orang yang melanggar perintah Allah tergolong dari kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri.

Nabi Adam dan Hawa berdoa " رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

[الأعراف :23]

Mohonlah agar kita tidak mati dalam mensyirikkan allah kerana ini adalah dosa yang tidak akan diampun olehNya (An-Nisa': 48 dan juga 116)

Nota 2

Berdoalah dengan kalimah yang baik kerana Allah suka kepada hambanya yang banyak berdoa. Berdoalah sebanyak-banyaknya kerana Allah boleh mengkabulkan semua permintaan hambanya.

Sebaik-baik doa ialah dengan menggunakan lafaz yang terdapat di dalam al-quran seperti 

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

[البقرة :128]

Apabila berdoa, yakinlah Allah akan memustajabkan doa hambanya. Kalau 'bila' yang yang menjadi persoalannya, bila akan dikabulkan doa kita, maka itu adalah hak Allah.

Mungkin Allah tidak mengabulkan pada waktu yang kita mahu tetapi allah akan memberikan pada waktu yang terbaik kerana Dia lebih tahu bila saat yang sesuai untuk hambanya. 

Yakinlah.

Ya allah, kau anugerahkanlah aku syurga firdausmu, agar aku dapat bersama-sama dengan kekasihmu dan  rasul-rasulmu. Tiada yang sukar di sisiMu ya Allah. Amin ya Rabb.







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

28 November 2014

Puisi untuk Dia III

Lemparkan saja rasa luka yang membalut hatimu
Hambat saja rasa duka yang menjentik kalbumu
Buang saja rasa pilu yang tiba-tiba datang menjengukmu
Kuatkan hatimu menempuh hari-hari hidupmu
Teguhkan semangatmu mengharung kejamnya dunia
Jangan sesekali goyang hanya kerana derasnya ribut melanda
Usah akur dengan siulan bisa yang berbisik di telingamu
Senyumlah 
Meski gerimis di hatimu
Terbias menjadi kaca di kolam matamu
lantas bertukar menjadi mutiara jernih 
yang mengalir membasahi pipi mulusmu.








#maafkan saja#














memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

27 November 2014

Diari 27 November 2014: Hilang

Dalam kegusaran mengejar tarikh mati yang sudah tidak terkejar, dan berkejar menghabiskan silibus untuk kelas part time di sana, jadual saya sedikit tidak terurus minggu lepas.

Jumaat lepas, saya berjanji untuk membuat extra kelas jam 5. Entah di mana silapnya, saya tercicir attendance sheet dalam perjalanan ke kelas. Cuai agaknya. Jenuh saya mencari dan menjejak balik kertas sehelai itu. Ia hilang sekelip mata. 

Untuk claim, saya perlu sertakan attendance sheet tersebut. Mood saya terus hilang. Itu kerja saya selama 3 minggu. Adus hasliza, mengapa boleh cuai ni..saya mengeluh sendirian. Puas termenung, saya beristighfar panjang. Mungkin ada salah saya yang saya tidak sedar.

Kata ustaz di suatu pagi .."pergantungan kita yang sebenar-benarnya kepada Allah apabila kita tidak lagi bergantung kepada makhluq. Bila kita telah menyerahkan urusan kita pada Allah, usah gusar dan berkeluh kesah, usah lagi berfikir dan termenung panjang..itulah tawakal."

Akhirnya saya lega. Ya, Claim tu bukanlah banyak mana pun,  cukup sekadar membayar hutang kereta sebulan. Kalau dah bukan rezeki saya, tak pe lah.

Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan Allah. 

Terkadang saya sering lupa, lupa yang manusia juga ciptaan Allah. Mengapa tidak bergantung sahaja kepada Dia yang menciptakan manusia itu? Yang memberikan rezeki hanya Dia yang bersifat Ar Razaq, bukan makhluq. Mereka hanya perantaraan dari Allah sahaja. 

Musa: naper hp awk canggih sgt ni..
Bercakap memang mudah, melaksanakan teramat payah. 

Hari ini hari terakhir saya bertemu mereka. Mereka yang selalu bertanya soalan yang kadang-kadang membuat saya geram.

"Kalau nak cari saya, datang la library PPAS tu, saya ada hampir setiap hari kat situ."

"Ya ke? Madam buat apa kat situ?"

"Ha? Owhh, saya selalu p mengail kat tasik tu..cari ikan kaloi."

Geram.

Dan kami gelak beramai-ramai.

Mereka yang jarang ponteng kelas dan jarang lewat, itu perangai mereka yang saya puji dalam diam.

Kata mereka, " Madam ni kelakar la."

Ya eh???








Diari diri,


memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

17 November 2014

Diari 17 November 2014: Bos saya

Sudah 2 hujung minggu saya di sini, cuba menyiapkan kerja-kerja yang diberikan oleh bos saya ini. Bos saya ini sungguh baik. Saya tidak perlu mencarinya setiap hari. Beliau memberikan saya kebebasan penuh untuk saya menguruskan masa saya sendiri. Kalau saya bertemu beliau, 20 minit rasanya sudah terlalu lama. Semuanya formal.

Kami berkomunikasi melalu e-mail sahaja. Itu pun mungkin sebulan sekali dan ayatnya sebaris sahaja. Kerana e-mail sebaris itulah juga saya kelam kabut. Email sebaris itu jugalah buat hidup saya tak keruan.

Saya tahu beliau tidak akan meninggikan suara, tidak akan marah, tidak pernah sekali pun memperli saya walau pun hakikatnya saya sendiri tidak berpuas hati dengan hasil kerja saya sendiri.

Respon beliau pantas kalau saya menghantar email. Tidak pernah email saya terperap sampai sehari. Malah saya sering terkedu bila beliau membalas email saya dalam masa tidak sampai sejam.

Hati saya berdetik,

 'bukan ke dia sentiasa sibuk..sempat pula dia membalas email saya secepat ini'. 

Nasib baik email tidak mempunyai 'double blue tick' macam applikasi whatapps. Kalau tidak, pasti beliau dapat mengesan yang saya sudah membaca email beliau dan tidak membalasnya. Bukan saya tidak membalasnya, tapi mengambil masa untuk menyusun kata sebab kerja yang diberikan tidak siap-siap.

Bos yang sorang ini banyak membantu, memberi tunjuk ajar dan nasihat. Semoga Allah menganugerahkan beliau kesihatan berpanjangan, diampunkan segala dosa-dosa beliau dan sentiasa berada dalam limpah rahmat illahi.

Beliau ada dalam setiap doa saya.

Diari diri,





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

14 November 2014

Nota untuk Diri III:Sembelihah; Solat Jama' Semasa Hujan; Nazar

Secara ringkas, kesimpulan dari kuliyyah yang disampaikan oleh Ybhg Ust Dato Dr Nik Zawawi Salleh hari ini.

Nota 1

Menyembelih binatang yang halal dimakan adalah ketetapan Nas dan bukan 'ilah

Contoh lain-haramnya arak dan babi kerana nas bukan 'ilah,

Syarat sah sembelihan:

a) Islam
b) Putus halqum

Putus urat mareh hanya sunat.

Sekiranya putus halqum dan binatang sembelihan masih hidup, boleh diputuskan urat mareh dan ini tidak dikira sembelih 2 kali.


Nota 2

Sunat untuk kita menjama'kan solat semasa hujan (lebatnya mestilah membasahi baju) sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut;

a) Solat tersebut didirikan di masjid
b) Mestiah secara berjamaah
c) Jama' taqdim
d) Tidak boleh qosar

Contohnya sekiranya kita sedang solat magrib berjemaah di masjid, dan tiba-tiba hujan turun, imam boleh memaklumkan kepada makmum bahawa solat isya' akan ditunaikan terus secara jama' taqdim. Sekiranya hujan berhenti ketika sedang solat isya', solat tersebut masih lagi sah. Yang penting solat telah melepasi satu rukun (ada pendapat yang mengatakan mesti melepasi 2 rukun)


Nota 3

Asal hukum bernazar itu makruh. Sesetengah pendapat mengatakan harus.

Sedekah atau sembelih binatang kerana kesyukuran adalah lebih afdol daripada bernazar.

Elakkan diri dari bernazar kerana banyaknya masyaqah/halangan/kesusahan untuk kita menunaikannya. 


#ppas




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

13 November 2014

Diari 13 November 2014: Menghimpun Kenangan I


Hari ini kami di sini. 

Mengubah tempat dan suasana. Menghirup udara berbeza. Memanjat bukit yang boleh tahan tingginya. 

Sesekali bertukar empuknya kerusi dan luasnya meja. Ternyata meja di sini lebih sempit tapi ruangnya luas dari tempat biasa. Luas tanpa manusia bermakna luas juga pandangan mata. Jiwa bebas berbicara tanpa ada suara-suara sumbang yang masuk ke telinga.






#ptunabdulrazak.


Diari diri,

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

12 November 2014

Nota untuk Diri II:Ilmu

Kata hikmah yang dipetik dari Ustaz Zulkifli Ahmad hari ini.

"Belajar menambahkan ilmu, berkomunikasi menambah idea."

Short and precise.

Ini menyedarkan diri agar tidak hanyut sendirian. Carilah sahabat agar kita tidak karam dilautan fikir yang tidak sudah. 

Benar kata seorang sahabat, perjalanan di hadapan memerlukan teman bicara penunjuk jalan, agar resah dan gusar boleh dikongsi oleh yang sama merasa. 

Yang paling utama boleh sama-sama mencambah idea. Semoga perjalanan yang sukar menjadi mudah dan bersama-sama sampai ke garis penamat dengan jayanya.



#ppas








memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

11 November 2014

Aku?


Merenung 
Luas laut terbentang
Menginsafi hebat ciptaan
Begitu aturan tuhan
Nun jauh
Perahu teroleng dilambung ombak
Nelayan yang tidak pernah gentar
Pada dalamnya laut 
Pada masin airnya
Juga pada ombak yang membadai
Aku juga bagai nelayan
Teroleng dilambung ombak hidup
Mengayuh sampan di daratan
Mencari bintang buat penunjuk jalan
Aku di sini..
Akur dengan ketentuan




#Shah Alam


memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

05 November 2014

Nota untuk Diri I: Ruwaibidhoh

Berkesempatan untuk menghadiri kuliyyah yang disampaikan oleh Ybhg Al-Fadhil Ust Syed Mohd Norhisyam Al Idrus

Mengupas golongan Ruwaibidhoh berdasarkan kepada hadis;


Print screen dari internet.

#ppas
memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

31 October 2014

Diari 31 Oktober 2014: Kata Beliau

Ini saya ambil dari Fb Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Saya amat mengkagumi sosok ini.  


Cinta itu membebaskan, bukan membelenggu.
Jika kau membelenggu... kau bukan mencintainya tetapi mencintai dirimu!

 




Diari diri,




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

30 October 2014

Puisi untuk Dia II

Tolong jangan cemburu
Pada apa yang saya tiada
Kerana saya sejujurnya tidak punya apa-apa
Berbanding awak yang punya segala

Tolong jangan cemburu
Pada saya yang tak punya siapa-siapa
Di sini seorang diri
Tanpa teman meluah rasa

Tolong jangan cemburu
Pada saya yang tidak punya harta
Yang ada hanya sekadarnya sahaja
Buat bekal sebelum ajal tiba

Tolong jangan cemburu
Pada saya yang tidak punya wang berjuta
Cukup untuk makan seadanya sahaja
Jimat berbelanja agar tidak merempat di mana-mana

Tolong jangan cemburu
Itu saja yang saya mohon


Now:I do not intend to compete

Once I decide to compete, I will make sure that I WIN





#Sahabat

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

Diari 30 Oktober 2014: Menjahit

Sejujurnya saya tidak pernah memegang mesin jahit. Jarum yang menikam kain menakutkan saya. Kepala saya sering membayangkan yang bukan -bukan sahaja bila melihat mesin jahit.

Keinginan untuk belajar itu ada, tapi sering dicantas oleh orang disekeliling saya. Tidak ada seorang pun yang memberi galakan kepada saya untuk belajar menjahit.

Minat?

Entah, saya tidak pasti samada saya minat menjahit atau tidak. 

Selepas beberapa bulan bertangguh, saya membuat keputusan untuk mencuba atau lebih tepat mencabar diri saya sendiri.

Alhamdullilah, saya bertemu dengan seseorang yang sudi mengajar saya walaupun saya tidak punya asas langsung menjahit. 

Cikgu saya hebat orangnya. Menjahit katanya untuk suka-suka dan kerana minat semata. Berkelulusan Civil Engeneering dari Aukland, punya syarikat konsultasi sendiri membuatkan saya kagum dengan beliau. Suami beliau cuma pemandu, tapi pemandu kapal terbang yang sering terbang merentas benua.

Makanya saya faham, beliau menjahit bukan bermatlamatkan duit semata, tapi demi minat yang mendalam. 

Terima kasih Puan Elly kerana bersabar dengan karenah saya sepanjang 2 hari di satu hujung minggu. Terima kasih atas ilmu, tips, dan segala kata nasihat. 

Semoga ianya menjadi ilmu yang bermanafaat dan pahala berterusan untuk beliau.

Inilah hasilnya.

Baju kurung pahang hasil tangan saya sendiri yang berjaya saya siapkan dalam masa 2 hari.

Alhamdulliah.

Walaupun jahitannya senget-senget, saya bangga dengan diri saya sendiri.


Baju kurung pahang saya
Diari diri,






memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

28 October 2014

Puisi Untuk Dia

Dia
Selalu hadir saat hati hampir melupakan

Dia
Sering datang bila ingatan sedikit terpadam

Dia
Selalu mencuit rasa yang telah hilang

Dia
Sering menggugah jiwa yang kian tenang

Walau Dia
Hampir dilupakan dari ingatan

Walau Dia
Sedikit terpadam dalam fikiran

Walau Dia
Mencuit rasa yang telah hilang

Walau Dia
Menggugah jiwa yang makin tenang

Tetapi..

Hadirnya
Memberi cahaya pada jiwa
Membawa bahagia untuk seketika
Walaupun parut lama
Menanah semula



#PPAS Shah Alam


memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

24 October 2014

Diari 24 Oktober 2014: Denggi

Ini sejarah pada saya. 

Gara-gara terkena gigitan nyamuk aedis yang jahat itu, saya terbaring di Wad Puteri Hospital Sultanah Zainab II Kota Bharu selama 4 hari 4 malam. Demam sejak petang hari raya aidiladha melarat bersama sakit kepala yang berdenyut-denyut. Pada mulanya, saya sangkakan saya demam biasa sahaja. Manalah saya tahu sakit seluruh badan saya itu adalah tanda-tanda virus itu sudah membiak dalam setiap pembuluh darah saya dan menyerang sel-sel darah saya.

Saya ke Klinik Kesihatan Wakaf Baru, Tumpat selepas mendapat khabar housemate saya juga di syaki membela virus sama dalam badannnya. Memandangkan anak buah saya bertugas di situ dan kami tiba saat jarum jam di angka 6, saya tidak perlu menunggu lama. Belum sempat anak buah saya sampai, saya sudah terbaring di katil dengan drip di tangan sementara menunggu keputusan ujian darah. Tekanan darah saya menurun. Selepas 1 jam dan 900cc NS masuk ke dalam badan saya, tekanan darah saya masih lagi turun. Hasilnya, saya diusung ke dalam ambulan dan dihantar terus ke Hospita Kota Bharu.

Selama 4 malam, dengan kedua-dua belah tangan berbranula untuk drip yang saya sudah tidak terbilang botolnya, saya terdampar dikatil dengan pergerakan yang begitu terbatas. Betapa besarnya kuasa Allah yang mencipta makhluk kecil yang bersayap itu. Kita manusia yang berakal kalah dek seekor nyamuk yang menggigit.

Lengan saya lebam disuntik jarum 3 kali sehari. Saya yang takut darah sudah hilang rasa. Di hidang nasi keras untuk orang demam yang sememangnya sudah tiada selera makan mematikan terus selera yang sedikit terbuka. Minum air daun betik memang mujarab dengan izin Allah, tapi pahitnya hanya Dia sahaja yang tahu. Mahu menghabiskan 3 teguk pun dahi saya sudah berkerut-kerut. Buah kiwi memang sedap dan bagus untuk menaikkan platlet darah, Hari-hari di jamu dengan buah kiwi menyebabkan tekak jadi jamu juga.

Kaki saya kejang, saya tidak boleh berdiri lama. Untuk solat, saya tidak mampu menghabiskan Alfatihah ketika berdiri. Saya hanya mampu menunaikan solat sambil duduk di kerusi.

Ya Allah, ini peringatan dari Allah buat diri saya yang sering lupa agar sentiasa memanafaatkan sebaiknya masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Mungkin juga Allah mahu saya merehatkan badan saya buat seketika. Apa pun, saya redha dengan ketentuanNya.



Diari diri,
 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

24 September 2014

Diari 24 September 2014: Cahaya

Setelah berhari-hari memerah otak, membelek buku, membaca artikel untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh bos saya, baru dua hari lepas saya mandapat idea bagaimana mahu menulisnya.

Tarikh akhir tugasan ini makin hampir. Sebelum balik beraya awal bulan Oktober, tugasan ini wajib saya siapkan. Kalau tidak, harus saya kena sekeh dengan bos. Malu benar kalau tugasan begini saya sudah kecundang. 

Alhamdullah, akhirnya saya sudah nampak cahaya untuk tugasan yang satu ini.

Moga Allah permudahkan segala urusan dunia dan akhirat saya. 

Amin.
Diari diri,


memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

15 September 2014

Diari 15 September 2014: Duit

Rutin saya seperti hari-hari lain 3 bulan ini. Sebelum ke PPAS, saya singgah di KWSP seawal pukul 9.00 pagi. Hanya sekadar untuk menyerahkan surat dari Bank untuk sedikit pengeluaran duit KWSP.

"Puan, puan bawak nombor akaun simpanan?"

"KWSP akan masukkan duit ke akaun saya ya, bukan terus ke Bank ini."? Saya dengan pantas bertanya.

"Untuk ansuran bulanan, KWSP akan masukkan ke akaun puan."

Tidak sampai 10 minit, nombor giliran saya dipanggil. Kata pegawai bertugas, "Kami akan masukkan duit mengikut ansuran bulanan sebagaimana yang tercatat dalam surat bank ini ke dalam akaun puan bermula bulan hadapan."

Alhamdulillah.

Saya lega. Untuk 36 bulan seterusnya, saya tidak perlu berfikir lagi tentang ansuran bulanan aset yang satu ini. Moga-moga ada jalan untuk saya  selepas 36 bulan akan datang.

Duit lagi kan?

Walau duit bukan segalanya dalam hidup, kita tidak mungkin menafikan kebergantungan kita pada pada helai kertas kelabu, biru, hijau dan merah itu.

Duit akan menentukan di mana kita berdiri.

Duit penentu bahagia atau derita.

Betapa banyak rumahtangga runtuh kerana duit yang melimpah.

Tidak kurang juga suami isteri bercerai kerana kurangnya duit,

Ah, kerana duit kita bahagia, kerana duit juga kita boleh merana.

Saya tertanya sendiri. Duitkah yang saya cara dalam hidup ini. Tanpa duit pasti saya tidak boleh melangkah walau setapak pun.

Entah, rasanya buat masa sekarang, duit tidak boleh membeli hati saya. Duit tidak mampu mengisi ruang hati saya.

Yang saya perlukan sekarang bukan duit semata.

Ya allah, moga allah permudahkan perjalanan hidup saya yang makin singkat. Moga hasrat dan cita-cita saya tercapai sebelum saya menutup mata.

Pada Dia saya serahkan segala.

Tiba-tiba saya teringat lagu ini..

Menikmati teh tarik sorang-sorang
Sendiri
Menempuh hidup
Tiada berayah tiada beribu

Sendiri
Aku berjalan
Tiada harta menjadi bekalan ku

Belum pernahku kesali hidupku
Lahir ke dunia pun begitu
Suka dukaku tanggung sendiri
Dengan ketabahan hati
Mana saudara manakah teman-teman
Di saat ku memerlukan
Kepalsuanmu makin menjadi nyata
Kemesraan sementara

Sendiri
Ada waktunya
Memberi ketenangan di jiwa



Aah, macam best la pulak lagu ni..


Diari diri,










memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

12 September 2014

Diari 12 September 2014: Telegram

Selepas menghadiri kursus selama 2 hari yang menelan kos sebanyak RM800 di salah satu agensi kerajaan di Bangi beberapa bulan lepas, saya mula membuat carian di facebook. 
Kata penceramah, "di fb ada group yang boleh u all join untuk berkongsi info".

Ya, saya akui, saya memperolehi banyak maklumat baru di situ. Seperti biasa, saya cuma silent reader, membaca tanpa pernah mengutarakan komen, pendapat dan sebagainya.

Minggu lepas pula, saya terbaca cetusan idea dari salah seorang warga group tersebut untuk membuka satu whatsapps group atau pun telegram.

Dalam hati saya berbisik, "Telegram pulak.. apa benda la diorang ni.."

Bermulalah era telegram dalam hp saya. Saya muat turun aplikasi tersebut hanya semata-mata mahu mengikuti perbincangan mereka secara langsung.

Banyak ilmu baru yang saya pelajari. Mereka adalah golongan practitioner yang berada dalam industri dan mempraktikkan ilmu yang mereka pelajari di dalam kelas. Buat pertama kalinya, saya merasa sayalah orang yang paling bodoh sekali dalam group tersebut. Ilmu saya 0 dalam bidang ini. Mereka terdiri dari kakitangan kerajaan yang sudah berpuluh tahun bekerja, terlibat secara langsung dalam pengurusan, pemantauan dan juga perlaksaan. Kagum bila setiap seksyen, dan segala regulations berada dalam kepala, malah boleh memberikan ulasan terperinci beserta contoh yang lengkap.

Sesetengah dari mereka mempunyai tahap pendidikan Diploma ataupun mereka mengikuti mana-mana kursus-kursus yang disahkan oleh kerajaan sahaja tetapi ilmu mereka penuh didada. Sungguh saya kagum. Paling mengembirakan saya, bila soalan-soalan bodoh saya mereka jawab dengan ikhlas. Berkongsi ilmu tanpa memperlekehkan saya yang tidak tahu apa-apa. Jargon-jargon yang mereka gunakan tak pernah saya jumpa dalam buku teks. Saya tebalkan muka bertanya. Saya tidak malu untuk mengakui bahawa saya telah mencatat semua jargon-jargon yang mereka sebutkan. Kelakar pun ada. 

Betapa masih banyak lagi ilmu yang Allah yang perlu saya terokai. 

Ya, saya mahu pandai seperti mereka semua. Saya teringin masuk kelas belajar dan mendalami ilmu ini. 

Sambung master? Wahhhh!!!!

Saya berangan sendiri. 

Mudah-mudahan ini bukan angan kosong semata. InsyaAllah..


Diari diri,










memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

05 September 2014

Sungguh

Sungguh
Saya menyulam rasa dari lubuk hati yang paling dalam

Sungguh
Dia humbankan jauh ke gaung dalam tanpa kesan

Sungguh
Saya mengukirnya dengan doa dan harapan

Sungguh
Dia campakkan jauh tanpa belas dan kasihan.










memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

26 August 2014

Diari 26 Ogos 2014: Puasa dan Raya II

Selesai solat isyak, saya tiba-tiba teringat akan guru al-quran saya seawal umur 5 tahun. Apa khabar guruku? Saya berkesempatan menziarahi beliau pada hari raya baru-baru ini. 

Saat saya bertanya khabar dia pada emak saya dua hari sebelum hari raya, mak saya terus bertanya, 

"Nak p tengok dia ke? Sekarang keadaannya makin uzur. Esok-esok kita p la."

"Nak nak...nanti kita p ya."

Alhamdulillah, kami bersama-sama menziarahi beliau pada hari raya ke-3. Usai kenduri rumah sepupu yang terletak di sebelah rumahnya, kami melangkah naik ke rumah beliau yang pintunya sudah sedia terbuka. Saya menjenguk melalui pintu depan, kelihatan beliau terbaring di atas tilam di satu sudut penjuru rumah. Cahaya matahari petang yang memancar terang menyebabkan rumah beliau sedikit silau di bias cahaya hijau dan kuning dari cermin jendela kaca yang tertutup.

Saya memberi salam sekali lagi. Kelihatan beberapa orang sepupu saya sedang duduk mengelilingi beliau. Jiran-jiran sekampung pun ada yang turut serta. Penuh di sekeliling beliau. Selesai bersalaman dengan mereka yang datang menziarah, saya mendekati beliau dari hujung kaki. Saya melabuhkan punggung dan bersimpuh di sebelahnya. Tangan beliau sudah tidak boleh bergerak seperti sedia kala. Saya pegang tangannya. Lantas tunduk mencium tangan yang sudah berkedut itu. Saya saat mengangkat muka, saya tahu airmata saya sudah tidak terbendung lagi. Nasib saya baik kerana muka saya sudah berpeluh kepanasan.

Sungguh saya sebak,  tangan tua itu saya pegang kemas. Tiada suara yang keluar. Melihat wajah tua yang sudah berubah, mulutnya sedikit herot, saya hampir teresak. Inilah sosok yang mengajar saya mengenal alif ba dan ta. Inilah wajah yang mengajar baris atas bawah dan hadapan. Inilah suara yang mengajar saya hukum lima. Inilah yang mentasmi' kan saya qunut dan tahayyat. Dari seawal usia, saya belajar mengaji dengan beliau sehingga khatam berkali-kali. Dialah yang membetulkan bacaan al-quran saya. Sampai kini, bacaan saya dipengaruhi cara bacaan beliau. Besarnya jasa beliau pada saya. Tidak mungkin mampu saya balas.

Lama tangan tua itu saya usap. Saya cuba mengawal emosi. Air liur saya telan berkali kali sambil mengusap peluh di muka kononnya. Tiada kata yang terkeluar dari mulut saya. Selepas beberapa lama, saya akhirnya bersuara dengan suara tertahan-tahan, 

" Boleh bangun tak?" Itu sahaja yang mampu saya ajukan pada anak keduanya.

"Tak boleh dah. Makan pun bersuap."

Saya mengusap muka lagi. Allah, besarnya ujian-Mu pada guruku ini. Bertahun terlantar. Di uji Allah dengan pelbagai penyakit.

"Ini Za. Mak kenal tak?" tanya anak beliau.

"Ha? Kenal." Jawab beliau perlahan.

Tiada lagi suara yang keluar dari bibir saya selepas itu. Selebihnya sepupu-sepupu saya dan jiran yang lain sahaja berbicara. Saya membatu di sisi beliau dan diam seribu bahasa. Wajah beliau saya tenung lama. Entah bila saya berpeluang menatap wajah ini. Itu yang terdetik dihati saya.

Ya Allah, kau ampunkan guruku ini, orang yang berbakti padaku selepas ayah dan ibuku. Kau permudahkanlah urusan dunia dan akhirat guruku ya Allah. Ilmu yang diberikan padaku adalah ilmu yang bermanfaat ya Allah ..yang aku manfaatkan setiap hariku. Moga ianya menjadi amal jariah berpanjangan dan pahala yang tidak putus-putus untuknya.

Ya Allah, kau ringankanlah sakitnya, kau senangkanlah perjalanan hidupnya. Sembuhkanlah dia kalau itu terbaik untuknya ya Allah.

Ini doaku untukmu wahai guruku.



Diari diri,













memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

22 August 2014

Diari 22 Ogos 2014: Sahabat lama

Secara tidak sengaja saya berjumpa ramai sahabat lama semalam. Sungguh ia mengujakan. Silaturrahim yang putus bersambung kembali. Bertanya khabar, berkongsi cerita memang saat yang sungguh indah. 

Namun, sebagai sahabat, rasanya kita harus peka dengan rasa sahabat yang lain. Berjumpa dengan yang celupar dan mulut tempayan kadang-kadang boleh mengguris rasa. Bercakap biar bertapis. Walau sudah dijangka tapi hati sedikit tersentuh.

Lantas, warna ceria gembira bertukar hambar.  

Saya bosan. Sungguh. 


Diari diri,




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

13 August 2014

Diari Puasa dan Raya 2014 I

Isnin 28 Julai, saya sudah berada dalam perjalanan balik ke kampung untuk berhari raya. Isnin petang, kami adik beradik berbuka puasa beramai-ramai di rumah bonda di kampung. Ini acara tahunan. Bila di hitung, anak buah saya di Putrajaya, Najah dan keluarga, akan bertolak balik pada hari khamis. Dia hilang dari senarai, selain Amy dan Nadia yang juga akan balik pada hari khamis dari asrama masing-masing. Meriah walau belum cukup korum. Opps, abang ipar saya pun tidak ada.

"Petang ni nak makn kueh apa?" Itu soalan adik saya saat kami berada di Lubok Jong dalam perjalanan balik.

"Nak beli akok". Itu jawapan saya.

"Sapa nk makan? Semalam beli tak de orang makan pun."

"Saya la." 

"Kat depan tu ada akok yang sedap". 

Lantas, kami berhenti di hadapan sebuah gerai di Lubok Jong. 

"Satu cukup?" 

"Dua la." Saya yang tamak laju je menjawab. Tapi permintaan saya yang ini ditolak. Adik saya beli satu je.

"Habiskan yang ni dulu. Esok beli lain kalau tak cukup."

Nampak tak menarik tapi sedap..:)

Bau akok yang panas-panas cukup mengoda saya. 

Ini kueh yang saya beli hampir setiap hari sepanjang keberadaan saya di kampung. Pelbagai versi akok yang saya beli. Yang pasti semua sedap.

Selasa, rabu dan khamis, kami berbuka puasa berdua sahaja, saya dan mak. Masak simple-simple sahaja tapi saya berselera sekali. Kalau di Shah Alam berbuka tak makan nasi, kat rumah, sepinggan macam tak cukup. 

"Balik raya ke ni?". Itu soalan yang terlepas dari mulut mak saudara saya.

"Awalnya balik." Sepupu-sepupu saya pulak menyampuk.

"Lamanya kak za cuti." Saya sengeh.

Khamis malam, anak buah saya yang sampai dari Putrajaya bertanya,

"Esok, jom berbuka ramai-ramai".

Untuk kali ini, semua anak cucu mak saya ada. Kami bertahlil untuk arwah ayah sebelum berbuka. Menu? Saya hanya menanak nasi dua periuk sahaja. Semua lauk pauk di tanggung beres. Itu pun rutin biasa. Yang datang akan mengangkut semua periuk belanga yang berisi lauk pauk yang hanya tinggal untuk dihidangkan sahaja. Semua licin. Saya takjub sekali. Alhamdulillah.

Sabtu 2 Ogos 2014, seperti biasa, 2 hari sebelum raya, hari untuk kami membuat tapai. Opps, saya lupa mengambil gambar tapai. Dulu, semasa arwah ayah masih ada, ini menu wajib kami. Ayah saya penggemar tapai. Setiap tahun, raya kami tidak sah tanpa tapai. Tapai mak saya sure la manis. 

Selain tapai, ketupat juga antara menu wajib kami.

"Tak payah la buat ketupat tahun ni. Tak larat nk buat." itu kata mak saya mula-mula saya balik.

"Kalau nak buat jugak, buat 2 kilo je. Kalau dua kilo, ok. lebih, tak nak." itu kata saya. 

Inilah ketupat kami tahun ini.

Ketupat palas
Diari diri,









memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

16 July 2014

Diari 16 Julai 2014: Hari lahir saya

18 Ramadhan 1435 bersamaan 16 Julai 2014.

Ini tarikh ulangtahun kelahiran saya. 

Saya dilahirkan di kampung Jejawi, kampung yang terpencil tidak berapa jauh dari Sungai Golok. Dilahirkan dalam keluarga yang cukup dhaif. Anak seorang petani kampung yang kerjanya kais pagi makn pagi, dan kais petang makan petang.

Mengimbau kembali zaman kanak-kanak saya yang serba tidak ada, terkadang saya hiba sendirian. Saya anak ketiga dari empat orang adik beradik. Kakak saya yang sulung berumur 19 tahun ketika saya dilahirkan. Saya banyak menghabiskan masa bersama kakak sulung saya. Pendek kata, dialah yang membesarkan saya. Mak saya sibuk ke bendang demi mencari rezeki buat kami adik beradik. Masih segar di ingatan, saya meraung sepetang kerana ditinggalkan kakak. Opps, itu pun sebab ada sepupu yang jahat mengusik. Kakak saya inilah yang menjaga saya siang dan malam, waima masa saya demam dialah yang tidak tidur semalaman kerana menjaga saya. Saya menangis sampai hilang suara semasa kakak saya bernikah. Seingat saya umur saya 5 tahun ketika itu. Selepas itu, sayalah yang sering mengekor dia ke rumah mak mertuanya.

Saya menangis mahu ke sekolah semasa saya berumur 6 tahun. Tidak tahan dengan rengekan saya, ayah terpaksa membawa saya ke sekolah dengan basikal tua yang tempat duduknya berpalang kayu. Basikal itu jugalah yang ayah saya gunakan untuk membawa rumput yang disabit untuk lembu ternakan kami. Hasilnya, berhari-hari saya diejek oleh kawan-kawan sekampung.

Semasa saya darjah satu, saya beroleh anak saudara saya yang pertama. Selang 3 bulan kemudian, adik saya lahir. Bermula lagi episod baru dalam hidup saya. Kakak saya yang kedua sudah ke sekolah menengah. Kami tiga beradik sering mengikut mak dan ayah ke bendang. 

Penghujung bulan oktober dan awal november, kerja-kerja awal menanam padi bermula. Saya ikut membantu mak mencabut anak-anak semaian padi di petak semaian bersama kakak. Seperti biasa, kerja saya tidak kemas, hasil kerja budak darjah satu. Saya dimarah mak kerana mencabut 5 6 pokok anak padi serentak. Akhirnya, saya disuruh menjaga adik di batas padi berdekatan. Ayah seperti biasa tidak pernah lupa membawa pelepah kelapa untuk kami berteduh. Kakak saya sering dipuji kerana kerjanya cepat dan kemas. Anak-anak padi yang tingginya paras lutut di cabut dari tapak semaian. Selepas dicabut, anak-anak padi tadi diikat secekak-cekak dengan menggunakan tali. Tugas kemudian diambil alih oleh ayah untuk menanamnya di petak sawah. Selut dan lintah sudah menjadi kawan paling akrab. Biasanya mak akan membawa abu yang diletakkan dalam tempurung kelapa untuk mematikan lintah-lintah yang merayap ke betis kami. Bekal kami pastinya pulut yang digaul dengan kelapa dan berlaukkan ikan kering. Sampai sekarang, itu jadi makanan kegemaran saya.

Puas mencabut anak-anak padi, kami mengikut ayah mengagau ikan di bendang. Ayah pasti dapat membezakan yang mana lubang ikan dan yang mana lubang ular. Pasti ikan haruan sebesar betis dan ikan puyu yang masih melompat hidup itu jadi lauk makan tengahari kami. 

Dulu, di belakang rumah saya, terbentang bendang yang luas saujana mata memandang. Padi yang menghijau itulah yang memberi ketenangan buat kami. Di waktu petang, saya sering menelaah buku di batas-batas padi iti. Semasa musim menuai, kami adik beradik akan turun ke bendang lagi. Berbekalkan sabit sebilah seorang, kami mencerut pokok-pokok padi yang buahnya kuning emas itu. Kami punggah dan longgokkan berhampiran tong yang digunakan untuk menceraikan padi tersebut dari tangkainya. Tugas membanting padi-padi tersebut pastinya terletak dibahu abang ipar kesayangan saya itu. Dia akan bergilir-gilir dengan ayah. Penuh satu tong, padi kemudiannya akan dimasukkan ke dalam guni. Esoknya mak akan menjemur padi tersebut hingga kering. Tugas mengayak, menampi semuanya mak yang setelkan. Saya dan kakak memang tidak penah lulus dua tugas ini. Padi yang berisi kami tampi dan terbuang bersama dengan padi yang hampa. Hurrm..apa lagi, kami kena bebel la jawabnya.

Saya masih terbau-bau wanginya beras baru yang kami tanak semasa musim menuai ini. Wanginya sungguh menusuk hidung. Tambahan pula bila kami memasak menggunakan dapur kayu. Tugas menghidupkan api biasanya diserahkan pada saya. Mak mengajar saya menghidupkan api hanya dengan memakai daun kelapa kering sahaja. Darjah dua saya sudah lulus menanak nasi. Terer kan?

Ini sebahagian kisah dongeng hidup saya. 

Selamat hari lahir Hasliza. Moga kau tidak akan lupa tempat asal kau bermula walau ditanah mana kau pijak.

Sungguh saya tidak pernah akan lupa dan terlupa.


Diari diri, 











  



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

02 July 2014

Andai ini ramadhan terakhirku

Tuhan
sesungguhnya
engkau jualah yang mengetahui segalanya
engkau jualah yang mengatur segalanya
engkau jualah yang menemukan aku dengan ramadhan tahun ini

Wahai Tuhanku
dihari-hari ramadhan ini
kau kuatkanlah hatiku
usah biarkan aku terjebak dalam dosa
dosa-dosa yang akan mengurangkan pahala puasaku

Wahai Tuhanku
dimalam-malam ramadhan ini
kau kuatkanlah hatiku
usah biarkan aku diulit lena yang panjang
agar dapat aku sujud padamu di saat orang lain masih bermimpi

Wahai Tuhanku
andai ini ramadhan terakhirku
aku mohon padamu
kau terimalah puasaku
kau terimalah sujudku
kau terimalah segala amal kebaikkanku
yang sedikit ini

Tuhanku
kau ampunkanlah dosaku
dosa ayah ibuku
dosa guru-guruku
dosa sahabat-sahabatku
dosa semua orang-orang yang kucintai
dosa anak muridku
jangan kau biarkan mereka lalai
kau bimbinglah mereka menuju jalanMu ya Allah
Ya Allah kau ampunkanlah dosa seluruh muslimin dan muslimat

Tuhan,
Andai ini ramadhan terakhirku.



#hasliza#hasan#
memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

27 June 2014

Diari 27 Jun 2014: Ramadhan 1435h

Hari ini jumaat terakhir syaaban tahun ini. Ini bermakna penghulu segala bulan akan menjengah kita lagi. 

Ramadhan.

Ia bulan rahmat, bulan pengampunan dan bulan dimana pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Ia bukan bulan untuk kita berlapar dan dahaga kerana puasa semata. Ia bulan melatih diri melawan nafsu.

Dan semoga kita beroleh takwa.

Jom kita jadikan bulan ramadhan sebagai permulaan untuk menjadi lebih baik. Muhasabah diri seketika.
Kita sentiasa berusaha untuk mendapat A dalam exam. Mengapa tidak kita berusaha untuk mendapat A juga dalam puasa. Pasti kita tidak mahu puasa kita menjadi sia-sia..

Penat-penat berpuasa, solat jangan dilupa. Bangun bersahur tapi terlepas subuh, tidak ada untungnya jugak.

Siang hari berpuasa, malam pula ke panggung wayang, amatlah canggung rasanya. Saat semua orang berlumba-lumba mengumpul pahala berganda, kita? 

Kita berlumba-lumba ke masjid, surau untuk solat sunat terawih. Itu pun tidak salah. Dalam masa yang sama solat 5 waktu, jangan kita abaikan. Jom sama-sama kita berusaha untuk solat di awal waktu. Antara yang sunat dan yang wajib, pasti wajib yang wajib kita diutamakan. 

"Kalau puasa tapi tak solat macamana pulak?" Saya pernah ditanya soalan ini lama dulu.

"Solat tiang agama. Kalau tanpa tiang, puasa mahu disandarkan kemana? Kalau puasa tak solat agak-agak dapat apa?". Soal saya balik.

Kalau sebelum ini, facebook jadi sahabat karib, jom kita jadikan Al-Quran teman paling akrab. Dah alang-alang bangun sahur, apa kata luangkan masa sekejap untuk solat tahajud. 10 minit je pun, bukan lama. Sikit pun amalan kita, kalau istiqamah, itu lebih baik di sisi Allah. 

Kalau dulu dalam kereta, sambil-sambil drive kita asyik dok dengar lagu yang entah apa-apa, rasanya lagi elok kita mengaji sorang-sorang. Tak perlu bukan Al-Quran beria. Baca surah Al-Ikhlas ni pun dah cukup. Tak kan tak ingat kan? Ulang dan ulang lagi sehingga sampai ke destinasi. Bukankah sekali membaca surah pendek ini seperti membaca 1/3 Al-Quran.



Bulan puasa juga bukan bulan pesta makan. Jangan diikutkan sangat nafsu bila ke bazar ramadan. Berpada-padalah dengan perut sendiri. Jangan  membazir. Kalau rasa duit banyak sangat yang lebih, beli banyak-banyak, sedekahkan kat masjid. 

Ah, tarikh mati kita makin dekat. Mungkin esok, mungkin lusa. Bila dan dimana, hanya Allah yang tahu. Kalau ditakdirkan kita mati, biarlah kita mati saat Allah paling redha dengan kita. 

P/s:  Semoga ini bukan ramadhan saya yang terakhir.


Diari diri,




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan