16 July 2014

Diari 16 Julai 2014: Hari lahir saya

18 Ramadhan 1435 bersamaan 16 Julai 2014.

Ini tarikh ulangtahun kelahiran saya. 

Saya dilahirkan di kampung Jejawi, kampung yang terpencil tidak berapa jauh dari Sungai Golok. Dilahirkan dalam keluarga yang cukup dhaif. Anak seorang petani kampung yang kerjanya kais pagi makn pagi, dan kais petang makan petang.

Mengimbau kembali zaman kanak-kanak saya yang serba tidak ada, terkadang saya hiba sendirian. Saya anak ketiga dari empat orang adik beradik. Kakak saya yang sulung berumur 19 tahun ketika saya dilahirkan. Saya banyak menghabiskan masa bersama kakak sulung saya. Pendek kata, dialah yang membesarkan saya. Mak saya sibuk ke bendang demi mencari rezeki buat kami adik beradik. Masih segar di ingatan, saya meraung sepetang kerana ditinggalkan kakak. Opps, itu pun sebab ada sepupu yang jahat mengusik. Kakak saya inilah yang menjaga saya siang dan malam, waima masa saya demam dialah yang tidak tidur semalaman kerana menjaga saya. Saya menangis sampai hilang suara semasa kakak saya bernikah. Seingat saya umur saya 5 tahun ketika itu. Selepas itu, sayalah yang sering mengekor dia ke rumah mak mertuanya.

Saya menangis mahu ke sekolah semasa saya berumur 6 tahun. Tidak tahan dengan rengekan saya, ayah terpaksa membawa saya ke sekolah dengan basikal tua yang tempat duduknya berpalang kayu. Basikal itu jugalah yang ayah saya gunakan untuk membawa rumput yang disabit untuk lembu ternakan kami. Hasilnya, berhari-hari saya diejek oleh kawan-kawan sekampung.

Semasa saya darjah satu, saya beroleh anak saudara saya yang pertama. Selang 3 bulan kemudian, adik saya lahir. Bermula lagi episod baru dalam hidup saya. Kakak saya yang kedua sudah ke sekolah menengah. Kami tiga beradik sering mengikut mak dan ayah ke bendang. 

Penghujung bulan oktober dan awal november, kerja-kerja awal menanam padi bermula. Saya ikut membantu mak mencabut anak-anak semaian padi di petak semaian bersama kakak. Seperti biasa, kerja saya tidak kemas, hasil kerja budak darjah satu. Saya dimarah mak kerana mencabut 5 6 pokok anak padi serentak. Akhirnya, saya disuruh menjaga adik di batas padi berdekatan. Ayah seperti biasa tidak pernah lupa membawa pelepah kelapa untuk kami berteduh. Kakak saya sering dipuji kerana kerjanya cepat dan kemas. Anak-anak padi yang tingginya paras lutut di cabut dari tapak semaian. Selepas dicabut, anak-anak padi tadi diikat secekak-cekak dengan menggunakan tali. Tugas kemudian diambil alih oleh ayah untuk menanamnya di petak sawah. Selut dan lintah sudah menjadi kawan paling akrab. Biasanya mak akan membawa abu yang diletakkan dalam tempurung kelapa untuk mematikan lintah-lintah yang merayap ke betis kami. Bekal kami pastinya pulut yang digaul dengan kelapa dan berlaukkan ikan kering. Sampai sekarang, itu jadi makanan kegemaran saya.

Puas mencabut anak-anak padi, kami mengikut ayah mengagau ikan di bendang. Ayah pasti dapat membezakan yang mana lubang ikan dan yang mana lubang ular. Pasti ikan haruan sebesar betis dan ikan puyu yang masih melompat hidup itu jadi lauk makan tengahari kami. 

Dulu, di belakang rumah saya, terbentang bendang yang luas saujana mata memandang. Padi yang menghijau itulah yang memberi ketenangan buat kami. Di waktu petang, saya sering menelaah buku di batas-batas padi iti. Semasa musim menuai, kami adik beradik akan turun ke bendang lagi. Berbekalkan sabit sebilah seorang, kami mencerut pokok-pokok padi yang buahnya kuning emas itu. Kami punggah dan longgokkan berhampiran tong yang digunakan untuk menceraikan padi tersebut dari tangkainya. Tugas membanting padi-padi tersebut pastinya terletak dibahu abang ipar kesayangan saya itu. Dia akan bergilir-gilir dengan ayah. Penuh satu tong, padi kemudiannya akan dimasukkan ke dalam guni. Esoknya mak akan menjemur padi tersebut hingga kering. Tugas mengayak, menampi semuanya mak yang setelkan. Saya dan kakak memang tidak penah lulus dua tugas ini. Padi yang berisi kami tampi dan terbuang bersama dengan padi yang hampa. Hurrm..apa lagi, kami kena bebel la jawabnya.

Saya masih terbau-bau wanginya beras baru yang kami tanak semasa musim menuai ini. Wanginya sungguh menusuk hidung. Tambahan pula bila kami memasak menggunakan dapur kayu. Tugas menghidupkan api biasanya diserahkan pada saya. Mak mengajar saya menghidupkan api hanya dengan memakai daun kelapa kering sahaja. Darjah dua saya sudah lulus menanak nasi. Terer kan?

Ini sebahagian kisah dongeng hidup saya. 

Selamat hari lahir Hasliza. Moga kau tidak akan lupa tempat asal kau bermula walau ditanah mana kau pijak.

Sungguh saya tidak pernah akan lupa dan terlupa.


Diari diri, 











  



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

02 July 2014

Andai ini ramadhan terakhirku

Tuhan
sesungguhnya
engkau jualah yang mengetahui segalanya
engkau jualah yang mengatur segalanya
engkau jualah yang menemukan aku dengan ramadhan tahun ini

Wahai Tuhanku
dihari-hari ramadhan ini
kau kuatkanlah hatiku
usah biarkan aku terjebak dalam dosa
dosa-dosa yang akan mengurangkan pahala puasaku

Wahai Tuhanku
dimalam-malam ramadhan ini
kau kuatkanlah hatiku
usah biarkan aku diulit lena yang panjang
agar dapat aku sujud padamu di saat orang lain masih bermimpi

Wahai Tuhanku
andai ini ramadhan terakhirku
aku mohon padamu
kau terimalah puasaku
kau terimalah sujudku
kau terimalah segala amal kebaikkanku
yang sedikit ini

Tuhanku
kau ampunkanlah dosaku
dosa ayah ibuku
dosa guru-guruku
dosa sahabat-sahabatku
dosa semua orang-orang yang kucintai
dosa anak muridku
jangan kau biarkan mereka lalai
kau bimbinglah mereka menuju jalanMu ya Allah
Ya Allah kau ampunkanlah dosa seluruh muslimin dan muslimat

Tuhan,
Andai ini ramadhan terakhirku.



#hasliza#hasan#
memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan