31 May 2014

Diari 30 May 2014: Pause Sekejap

Alhamdulillah.

Saya berjaya menghabiskan kerja sebagaimana yang saya rancang dalam kepala. Sempat balik kampung menghabiskan cuti yang berbaki selama 4 hari dan bertungkus lumus menyiapkan marking untuk skrip 70 orang itu.

Semalam, khamis, saya bertungkus lumus mengkeyinkan markah dan menyiapkan segala report yang perlu diserahkan untuk menyuarat peringkat jabatan untuk pengesahan keputusan exam. Syukur pada Dia, keputusan exam mereka membahagiakan saya.

Hari ini sekerat hari di hari jumaat, saya mengemas. Mengemas dengan sesungguhnya. Kertas pink saya susun dan ikat untuk disimpan ditempat yang sepatutnya. Banyak juga kertas yang saya simpan untuk re-cycle. Saya tahu esok-esok, saya pasti memerlukan kertas-kertas itu. Selebihnya saya buang sahaja. Saya kepenatan. Petang tadi pula, saya semak semula fail yang bakal saya tinggalkan, memastikan semua dokumen lengkap dan saya tidak menyusahkan mereka. Hampir saya terlupa key in kan GeMS untuk 2 program yang saya laksanakan. Semuanya beres. Kak Midah cuma perlu initiatekan sahaja nanti. Nota kecil telah saya tinggalkan untuk dimeja kerja beliau.

Frame besar tu hadiah dari pelajar BLC. Belon gold?

Ini meja kerja saya selama ini. Kosong. Tanpa kertas bertimbun, tanpa file yang berderet, tanpa skrip exam yang menyemak menuntut perhatian segera. Pasti saya juga akan merindui pemandangan indah ini. Sebelum memulakan kerja, pemandangan inilah yang saya tatap setiap pagi dari dinding kaca tingkat 10. Indah sekali.

Stadium Melawati dan Stadium Shah Alam

Lega.

Itu sahaja yang mampu saya lafazkan. Saya lega bagai diangkat batu besar dari bahu ini. Saya lega kerana dapat melupakan sekejap tekanan kerja. Saya lega kerana saya boleh lari sebentar dari suasana itu. Beban kerja bagai tidak tertanggung lagi. Ramai yang mengeluh sekarang. 

Ah, mereka yang di atas, terkadang lupa melihat kita, rumput di bumi yang hampir kering, layu dan tidak bermaya. Wajah-wajah mereka kian pucat, tiada lagi gelak tawa. Yang ada hanya mulut-mulut yang mengomel penat, tak larat dan macam-macam lagi.

Semester depan yang menanti, workload makin banyak. Sepanjang saya di sini, saya rasa workload semester depan sungguh-sungguh mencabar kekuatan mental. Saya secara peribadi tidak pernah menerima workload sebanyak itu sebelum ini. Harapnya kekuatan mental memberi kekuatan juga kepada fizikal untuk melunaskan tugas hakiki.

Tugas hakiki yang saya maksudkan ialah persiapan mengajar, pembinaan soalan dan jawapan untuk peperiksaan pertengahan semester dan akhir, kuiz dan assignment, kemudiannya diteruskan lagi dengan menanda semua itu, rasanya itu sudah cukup melelahkan. Kalau pelajar mencecah 200 orang, 4 subjek berbeza, harus bagaimana mahu menghadapinya? Di tambah dengan kerja sampingan yang datang tanpa henti dan memerlukan perhatian segera kadang-kadang menyesakkan dada. Mahu saya senaraikan satu persatu, tapi rasanya tidak perlu. Yang faham cuma sesiapa yang pernah melaluinya sahaja.

Belum sempat duduk dan bertenang melepaskan lelah selepas kelas, ada pula pelajar yang bertandang tanpa diundang. Jujurnya, sukar untuk tersengeh melayan karenah mereka saat perancangan kerja sudah tersusun cantik dalam kepala. Saya lebih suka mereka sms, call, whatsapps atau apa saja asal jangan datang ke ofis. Saya malas mempamerkan muka tidak ceria pada mereka. Mulut pula kadang-kadang mengeluarkan kata-kata yang tak sepatutnya. Sebarang persoalan yang timbul, boleh dibincangkan dalam kelas terus. Manfaatnya tersebar keseluruh kelas, bukan hanya seorang individu. Jangan menyibuk datang ke ofis hanya sekadar untuk bertanya format assignment yang sudah dimaklumkan berkali-kali atau sekadar mahu menyerahkan MC. 

Itu realiti yang bakal dihadapi oleh sahabat-sahabat saya pada 9 Jun nanti untuk selama 4 bulan lagi. Yang tidak mampu bertahan, mereka akan pergi mencari cabaran baru. Saya bersimpati tapi apakan daya, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau begini la gayanya dan tahun depan corak 'pemerintahan dinasti' masih lagi tidak berubah, saya harus mempertimbangkan semula niat saya.

Hakikatnya, saya wajib kembali demi sebuah janji yang sudah diberi untuk melepaskan diri. 

Ah, Hasliza masih punya banyak waktu untuk berfikir. 

P/s: Stadium dekat je kan? tapi percaya tak saya tak pernah menonton bola secara live walau stadium Shah Alam cuma sejengkal je dari rumah saya di Seksyen 13 dulu. Tak kan nk p tgk Sime Draby v PKNS lak ya..hahahaa..jom!jom! sapa nk teman saya tengok bola?



Diari diri,






memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

23 May 2014

Diari 14 May 2014: Hari Guru

Hari ini 14 May, hari terakhir kelas saya bersama mereka.

Kuiz yang terakhir, pesanan terakhir dan semester ini akan berakhir 2 minggu lagi.

"Kelas dah habis ya miss", Shiera bertanya.

"Dah, you all boleh balik, saya nak settelkan markah ni sekejap". Sengaja saya habiskan kelas awal dari biasa.

Kemudian mereka semuanya bangun, borak-borak dan akhirnya berkerumun di meja saya. Penuh mengelilingi saya. 

"Eh, you all balik la, saya nak masukkan markah ni je".

"Alaa miss, bagi la kami tengok markah". Ada suara yang saya tak dapat kenal pasti tuannya. 

Dan mereka berborak merentas kepala saya yang sedang duduk tercongok di dalam kerumunan itu. Ah, saya menggaru kepala yang tidak gatal.

"Tepi, tepi". Suara Zhahir dan Shiera yang menyergah dari belakang kawan-kawannya mengejutkan saya. 

"Surprise!!!"

Dua biji kek muncul di hadapan saya. Saya terkedu seketika. 

"Selamat Hari Guru, Selamat Hari Guru, Selamat Hari Guru miss". Inilah bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh mereka. Terharunya saya.

Seterusnya, biarlah gambar-gambar ini bercerita.

Bukan main lagi Afiq gelak

Saya jadi makin kecil di kalangan mereka

Belon menceriakan suasana 

Saya eh kena potong?hehe

Agak-agak apa yang mereka gelakkan tu..

Kek yang sedap..:)

Terima kasih untuk gambar kenangan ini. Dah siap frame dah

Terima kasih kerana menghadiahkan kenangan indah untuk saya tahun ini. Tidak mungkin saya lupakan wajah-wajah kalian yang secara tidak langsung telah meringankan beban di bahu saya.

Saya doakan kalian berjaya dunia akhirat dan kejayaan kalian merupakan hadiah paling bermakna buat saya. Nikmatilah alam kampus yang membahagiakan ini kerana kalian tidak mungkin menikmati bahagia yang serupa di alam pekerjaan nanti.

Semoga sedikit ilmu yang saya titipkan dalam tempoh 8 minggu ini memberi manfaat untuk kalian. Moga ianya juga menjadi ilmu bermanfaat yang akan membantu saya di sana.

"Mengenali kalian hanya sekejap, dan dalam sekejap itu juga saya mengenali kalian".












memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

15 May 2014

Keliru

Sungguh saya keliru
Pada rasa yang tiba-tiba ada
Saat saya hampir lupa segala

Sungguh saya keliru
Pada hati yang tiba-tiba berkocak
Saat saya hampir berjaya menghilangkan jejak

Cerita semalam
Yang telah hampir padam
Usah dibiarkan menjadi penghalang
Sebuah perjalanan panjang..








memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

14 May 2014

Diari 10 May 2014: Hadiah

Saya ke MPH SACC mall sabtu lepas.

Ia semata-mata mahu melunaskan janji saya pada pelajar saya. Saya telah berjanji secara tidak sengaja menerusi whatsapps,

"Sapa yang dapat markah 90 ke atas untuk mid sem exam, saya bagi hadiah". 

Aizat, pelajar saya mendapat markah 90 lebih. Saya tersengeh sorang. Alhamdulillah. 

Janji walau pun tanpa sengaja wajib saya penuhi. Lama saya berfikir, hadiah apa yang boleh saya belikan untuk beliau. 

Belanja makan? Kenyangnya cuma sekejap sahaja. Ia tidak memberi impak besar. Sungguh saya jarang membeli hadiah untuk orang lain. Makanya saya tidak tau memilih apa yang terbaik. 

"Buku je lah", bisik saya sendirian.

Lama saya berpusing-pusing di dalam MPH. Buku apa yang sesuai untuk beliau. Apa yang saya minat belum tentu beliau suka. Rasanya selepas dua tiga kali pusing, mata saya terpandang buku ini yang berbalut kemas
dalam plastik.

"Tolong buka boleh dik? Akak nak tengok isinya".

Saya belek sepintas lalu. Melihat kandungannya sudah membuatkan hati saya terpaut. Lantas saya membelinya.

Cerita Cinta Ahmad Ammar.

Ini cerita cinta luar biasa. 

Ini cerita cinta yang mengundang airmata.

Ini cerita cinta jejaka syurga.

Ini juga cerita cinta seorang pemuda  istimewa.

Ini cerita cinta yang wajib dibaca setiap kita.

Beliau tidak dikenali semasa hayatnya, tetapi namanya harum mewangi selepas matinya. 

Kuburnya jauh merentas laut dan benua. Nun jauh di Turki, di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn bersama-sama sahabat nabi Ayub Al-Ansari dan lain-lain.

Sempat saya titipkan pesan ini pada pelajar saya itu..

Dan ini yang membuatkan hati saya terpaut. Sungguh saya jatuh hati. 


Aizat, semoga bermanfaat.



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

13 May 2014

Bunga -bunga Cameron Highland

Telah saya bisikkan
Pada kuntum-kuntum lavender
Kembanglah kau sayang
Singgahku di sini sebentar cuma


Sempat juga saya titipkan
Pada kembang mekar bunga matahari
Teruslah bersinar kasih
Hadirku disini sekejap cuma


Saya juga sempat berpesan
Pada ros merah, pink, oren dan putih
Wangilah kau cinta
Ku cium harummu seketika cuma


                        




Terima kasih pada semua bunga indah
Kerana memberiku kenangan terindah
Walau sekejap cuma
Ianya tetap memberi warna













memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

Diari 29 April 2014: Fun Day for myself

"This in one woman show!!"

Saya tergelak besar. Ini tugasan ke-2 yang saya berikan untuk mereka.

"Miss boleh la buli kami, bila lagi kan". Itu kata Omar, pelajar saya yang sopan dan nakal.

Explorace-itu yang terhasil selepas puas berfikir. Semester pendek yang pendek. Lagi pendek bila peperiksaan pertengahan semester diadakan pada minggu ke-5. Selepas 2 minggu, mereka akan menduduki peperiksaan akhir pula.

Jenuh saya mahu menguruskannya seorang diri. Lagi haru biru bila bukan mereka yang di buli, saya pulak yang kena buli. Tak jadi nak marah, saya pulak yang tergelak.

Tugasan pertama untuk Yap dan kawan-kawan

Nazrina dan kawan-kawan di library

Group Zhahir dan Rooben

Group Sheira

Hai Rasyidi! Sengeh aje

Macam panas je..buat apa tu?

"Omar, ni macama kena dera je.."

Lorr!! seriousnya Afiq, tension eh..

Kalian menceriakan hari saya

Ini saja yang saya mampu lakukan seorang diri. Terima kasih untuk Shiera, Naz dan Wan Zharief yang membantu. Terima kasih untuk semua yang menjayakan tugas kecil ini.

Itu cerita semalam.

Pagi ini, jam 845 pagi, kami dikejutkan dengan satu whatsapps. "Salam semua, pagi ni QAC officer akan semak Teaching dan Assessment Portfolio...."

Saya tersengeh. Dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu. Tak agak-agak diorang ni.

Kami kena invigilate juga pagi ni bermula jam 10.

"Bila nak touch up file ni?". Ramai yang mengeluh.

Biar je.

Peace!!

Diari diri,













memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan