05 April 2013

Email dari Solehah IV

From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Sunday, February 24, 2013 10:33 PM


....السلام عليكم

Apa khabar kakakku sayang? Akak pindah rupanya. Pasti ada sebab akak pindah kan? Tak pe kak, yang penting akak gembira. 

Pastinya rumah akak yang pertama kali saya tuju kalau saya ke Shah Alam. Bilakah kita boleh ketemu kak? Saya doakan semoga suatu hari nanti, kita boleh bersua muka, bertentang mata, dan berkongsi rasa. 

Kak,

Imtihan kian hampir. Saya makin resah. Tugasan yang diberikan rasanya macam terlalu banyak buat saya. Bila nak mengulangkaji? Bila nak siapkan tugasan? Ah,  terkadang saya mengeluh sendirian. Kadang-kadang saya hilang dalam diri sendiri. Saat saya merasakan motivasi diri kian pudar, saya baca kembali email-email akak, saya geledah semula semua poskad yang akak hantarkan pada saya, saya renung dalam-dalam gambar mak dan ayah, dan saya akui cahaya yang kian sirna menyinar kembali. Saya harus berjuang kak, berjuang untuk mengubah nasib diri, nasib keluarga. Akak kan tahu, saya  budak kampung yang miskin harta, miskin 
wang ringgit, dan tak punya apa-apa. Saya masih ingat pesan keramat itu,

"keluarga kita tak punya harta berjuta, tak ada wang macam jutawan, jauh sekali emas permata, yang boleh kami beri cuma ilmu. Belajarlah bersungguh-sungguh Hah, tu je harta untuk kamu."

Itu pesan yang tak mungkin saya lupa kak. Rasanya baru semalam masuk ke telinga ini. Demi keluarga, demi akak dan demi dia yang setia menanti, saya akan belajar bersungguh-sungguh. Saya tak akan menghampakan kalian semua. Itu janji saya kak.

Kakakku yang baik hati,

Tetiba saya teringatkan dia. Rindukan dia pada saya? Hati bertanya sendirian. Emailnya menyapa saya semalam. Sekadar bertanya khabar dan studi saya saja kak. Selebihnya dia menceritakan perkembangan politik tanahairku yang tercinta. Katanya saat pilihanraya yang kian hampir, banyak benar duit kerajaan lebur, janji di tabur. Media seakan hilang arah, banyak fakta yang di auta. Fitnah menjadi nanah yang akan membawa musnah. Hebat kan kak penangan pilihanraya?

Kak,

Di sini saya kongsikan sedikit isi buku yang saya baca semalam. Penulisnya seakan tahu isi hati saya kak.
Aku hanya memohon kepada Allah agar dia sentiasa dalam lindungan-Nya. Semoga dikuatkan hati dan imannya. Hati dan jiwa bersabar bukan semata-mata untuk menungguku. Tetapi semata-mata untuk beribadah kepada Allah dengan mendapatkan pasangan paling bertakwa yang dia inginkan.

Aku juga selalu berdoa pada Allah untuk menyayanginya. Meluaskan hati dan perasaannya  untuk memaafkan segala dosa dan kesalahan yang pernah menerpa dirinya. Melonggarkan hati untuk selalu memaklumi ketdakmampuan yang datang daripadaku dan daripada orang lain.

Tetapi semuanya memang tidak mudah. Mengangankan seseorang yang sudah melakat di hati , lekatnya seperti gam yang begitu susah sekali untuk ditanggalkan. 

Jika dilepaskan akan meninggalkan luka yang mendalam dan sukar untuk dikeringkan. Jika mengusir perasaan semudah mengusir ayam dari halaman rumah, namamu di hatiku pasti sudah pergi. Seandainya melupakanmu semudah itu, mungkin sudah aku lakukan sejak pertama kali aku mengenalmu.
Saya kagum dengan penulisnya, Burhan Sodiq. Bahasanya indah menyentuh qalbuku yang paling dalam. Bacaan saya terhenti di situ kak, dan saya mengulangnya sekali lagi.  

 Dan lagi.

Titik.



P/s: Ini email Solehah di penghujung February yang lepas. Maaf saya terlambat berkongsi di sini. 






 












memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

01 April 2013

Kata

sepatah kata
mematikan rasa
memusnahkan cinta
menghancurkan jiwa
bagai minyak
menyimbah api
memarakkan rasa benci
yang tidak bertepi
sebaris kata-kata
menyentuh rasa
menyejuk jiwa
bagai salju
menyentuh sukmaku
menyejuk kalbu yang makin kaku
 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

10 February 2013

Diari 10 Februari 2013: Antara Dua

Dua minggu lepas, saya berkesempatan mendengar ceramah dari bekas Dekan kami yang tidak asing lagi, Dr Ab Jalil Ghazali @ Dr AJ. Ceramah ini untuk pelajar sebenarnya tetapi persoalan yang dibangkitkan oleh beliau menyebabkan saya lama merenung, berfikir dan sampai kini belum saya temui jawapannya.

KEJAYAAN.

Sepatah perkataan yang cukup membuatkan saya muhasabah diri. Antara soalan yang bermain dilubuk rasa ialah:

Apa itu sebuah kejayaan? 

Adakah saya sudah berjaya?

Kejayaan adalah sesuatu yang subjektif. Mungkin pada seorang pelajar, mendapat CGPA 4.0 dan bergraduat dengan Kelas Pertama adalah sebuah kejayaan padanya. Bila memasuki alam pekerjaan, mendapat pangkat menjadi orang teratas adalah kejayaan. Pada yang bercinta, bersatu dengan lafaz ijab dan kabul adalah kejayaan pada pasangan tersebut. Pada saya seorang pendidik, melihat anak murid saya berjaya adalah kejayaan yang membahagiakan saya sebenarnya. Tapi cukupkah itu buat saya?

Memadaikah?

Perjalanan hidup saya masih jauh. Saya bersyukur kerana beroleh kejayaan pada masa lalu. Cemerlang SPM, menjadi salah seorang pelajar terbaik sekolah, menjejakkan kaki ke menara gading, beroleh Degree dan Master, layak diterima sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dan kini bergelar Pendidik anak bangsa. Sekadar itu saja kejayaan saya pada masa ini.

Tewaskah saya?

Saya berkerja, beroleh gaji. Gaji yang cukup untuk saya meneruskan hidup tanpa menyusahkan siapa-siapa. Bukan banyak, tapi cukup. Cukup untuk saya berkongsi dengan bonda, cukup juga untuk saya bantu adik dan kakak kalau mereka memerlukan. Alhamdulillah! semoga Allah terus memberi saya rasa cukup ini, rezeki yang bermanafaat dan berkat.

Banyak lagi kejayaan yang saya impikan. Banyak lagi kejayaan yang mahu saya raih. Banyak lagi angan-angan yang belum tercapai dek tangan. Kejayaan bukan hanya dalam bidang akademik, tapi hidup saya seluruhnya.

Gagalkah saya?

Mampukah saya mengukir kejayaan lagi?

Dalam akademik?

Dalam hidup?
Sungguh saat ini saya buntu.
Ya Allah, beri saya petunjuk, beri saya jalan, jalan yang terbaik menuju redha-Mu. Agar setiap apa yang saya lakukan hanya kerana-Mu, Lillahi Taala.







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

09 February 2013

Email buat Solehah II

From: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
To: solehahmohd<@gmail.com> 
Sent: Monday, February 9 , 2013 09:09 PM
Subject:


Salam dik,

Maaf kerana lewat membalas emailmu. Akak pindah. Itu yang menyebabkan rutin harian sedikit berubah. 

Faham je la bila pindah ni, angkat barang dari rumah lama ke rumah baru pun akak dah lelah. Rasanya barang akak sikit je. Boleh caya ke? Tapi bila dah mengemas, buku pun dah berbelas kotak, itu belum lagi kain baju.

Tujuh tahun lebih kat situ, lama kan? Cepatnya masa berlalu. Pejam celik tujuh tahun macam tujuh hari sahaja. Nanti bila balik Malaysia, boleh la singgah rumah akak. Rumah ini dah boleh menerima tetamu. Walau hanya flat, tapi rasanya kami dah cukup selesa. Pemandangannya  depan rumah ni pun cantik. Akak tinggal berdua dengan ofismate akak, Fiza namanya.

Kedua-dua email dah akak baca dan hadam. Allah mencipta rasa dalam hati kita. Dengan rasa itu, kita mengutip pengalaman hidup. Kita pasti diuji. Caranya mungkin berbeza. Banyak lagi yang bakal kita tempuh dihadapan kita. Simpan la rasa itu sebaiknya. Kita hanya hamba pada DIA kan? 

Akak rasa akak ingat lagi lelaki yang Hah ceritakan dulu. Berkawan biar seribu tau, bercinta hanya satu je. Hehe..Akak dah faham apa yang tersirat disebalik yang tersurat. 

Ok ya dik, akak belum habis mengemas lagi ni tau. Hujung minggu ni je rasanya leh mengemas. Barang dah letak merata. Yang di cari semuanya tak jumpa. 

Akak mintak diri dulu.

Bye. 
Mentari terbenam di rumah baru, cantik kan??

  
 

 


 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

31 January 2013

Email dari Solehah III

Belum sempat saya membalas email Solehah, email beliau ini menyusul.

From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Wednesday, January 30, 2013 08:15 PM
Subject: 

Salam,

Akak sibuk sangat ya?? Email saya hari tu mesti akak belum baca kan? Tak pe ya kak, saya email akak..kalau akak buka email akak, mesti berderet-deret email saya kan? Saya menulis sekadar mahu berkongsi rasa dengan akak.

Akak ingat lagi tak dia yang saya kenali hanya melalui alam maya yang rasanya pernah saya ceritakan pada akak satu waktu dulu. Walau kami tidak pernah bertemu, jauh sekali bertentang mata, persahabatan kami cukup baik. Kami akrab. Cukup akrab untuk saya mengenali siapa sebenarnya dia. Akak jangan salah faham, dia saya anggap adik sahaja. Ternyata dia jauh lebih muda dari saya.

Hampir 7 tahun perkenalan kami kak. Setiap liku perjalanan hidupnya saya tahu. Dia pernah bercinta. Cinta dari zaman matrik sampailah si gadis itu ke luar negara. Pulang ke tanahair dengan Ijazah Doktor Perubatan. Kesian dia kak, dia hanyut dalam cinta. Menyintai gadis yang sekadar pada saya mahu mempermainkan hatinya. Setianya kadang-kadang membuatkan saya rasa dia buta kerana cinta. Beribu duit dihabiskan untuk si gadis yang dia cintai. Memperhambakan diri untuk perkara yang sia-sia.

Saya tahu ibu-bapanya berada, golongan professional. Walaupun saya tidak pernah bertanya, saya tahu, dia datang dari keluarga yang senang serba serbi dan dia sendiri pernah membesar di bumi mat saleh. Dia suka berdikari, kerjanya biasa-biasa sahaja, tapi saya tahu dia berhemat bila berbelanja. Duit simpanan saya tahu banyak. Tapi sayang habis begitu saja.

Dia nanar bila mendapat tahu, si gadis yang dicintai punya kekasih baru. Enggang mestilah mencari enggang untuk terbang tinggi kan? Tak mungkin dipandang pipit di pinggir hutan. Setiap kali dia punya masalah, dia akan mencari saya. Saya tahu bagaimana hancurnya hati dia saat itu. Fiil perempuan tu rasanya sukar untuk di maafkan lagi.  Dia kecewa.

Demi mengubat hatinya yang hancur, dia memohon untuk menyambung studinya ke US. 

Katanya pada saya, " Kak, biarlah saya bawa hati saya jauh dari Malaysia, mudah-mudahan saya boleh melupakan dia". Saya diam.

Selama disana, kadang-kadang saja dia menghubungi saya. Tup tup, dia menghantar pesanan ringkas melalui handphone, "Saya ada kat Malaysia, baru je sampai, transit Singapore semalam".

"Naper balik? Cuti?"

"Abang dia cari saya sampai sana. Kacau kedutaan, terpaksa balik la kak. Abang dia tuduh saya yang rosakkan adik dia. Gila."  

Saya terkedu.

Paling sedih bila tempat dia berkerja diambil alih. Biasiswanya di tarik balik dan dia dipanggil pulang ke Malaysia tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Dia hilang pekerjaannya kerana dia bukan anak emas bos.

Selepas pulang ke Malaysia, dia jarang menghubungi saya lagi. Dia sibuk dengan kerja barunya. Sesekali bila dia muncul di alam maya, atau menghubungi saya melalui telefon, nama perempuan itu yang di sebutnya. Ternyata jarak dan masa sukar menghilangkan rasa itu. Dia masih tidak dapat melupakannya. 

Dia pernah memberitahu saya, katanya, " saya ada kawan baru tetapi keluarga sebelah perempuan tak suka saya sebab keturunan."

" Pulak, susah kalau cam tu, jangan buat benda yang bukan-bukan pulak, pujuk famili dia baik-baik." Itu pesan saya pada dia. Dari jauh saya doakan dia bahagia

Dia senyap beberapa bulan. 

Di suatu tengahari, dia menelefon saya, " Kak, saya ada kat area ofis akak ni, jom lunch sama". 

"Ha? Lunch?" 

"Kak, jauh saya datang cari akak, tak kan akak tak nak jumpa. Sekejap pun jadi la. Saya nak kenalkan akak dengan seseorang. Saya tunggu akak kat bawah." Dia terus meletakkan telefon.

Ini pertemuan pertama kami selepas sekian lama berkenalan.

Hurrrmm, buah hati baru rupanya. Peramah. Buah hati pengarang jantung orang, malas la kak saya nak komen banyak-banyak.

Rupa-rupanya buah hatinya tahu siapa saya. Cemburu rupanya. Pesannya pada saya, "Akak jangan cerita lak kisah saya kat dia. Saya dah cakap kat dia, akak tahu semua pasal saya."

Saya tergelak dihujung talian.

Saya berjumpanya untuk kali kedua. Jujurnya saya tidak selesa walau hakikatnya kami bukan berdua. Permintaannya untuk kali ketiga tak dapat saya penuhi atas alasan kerja. Saya tidak berbohong padanya. Sungguh!.  

Selepas itu dia diam tanpa berita. Panggilan saya tak dijawab, sms juga tak berbalas. Jauh di sudut hati, saya tahu dia bahagia. Semoga bahagia itu jadi miliknya, selamanya.

Kak, ini kisah sebelum saya menjejakkan kaki ke sini. Banyak lagi mahu saya ceritakan tentang dia. Lain kali saya sambung lagi ya kak.

Sampai di sini saja untuk kali ini kak.

Sekian. Wasalam
 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

28 January 2013

Email dari Solehah II

Saya kongsikan di sini email Solehah yang dikirimkan kepada saya.
 
From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Sunday, January 27, 2013 11:15 PM
Subject: 

 ....السلام عليكم

Bahagianya saya mendengar suara akak. Terima kasih ya kak sudi menghubungiku di sini walau sebentar cuma. Mesti bil akak melambung bulan ini kan? Banyak yang saya ingin luahkan pada akak sebenarnya tapi rasanya perbualan kita wajar diringkaskan saja. Suara akak yang ceria sudah cukup mengubat rinduku pada tanahair yang kucinta. 

Kakakku yang budiman,

Saya pastinya tidak akan melupakan pesan akak pada saya. Matlamat saya ke sini adalah untuk mencari ilmu. Lillahi Taala. Tiada tujuan lain kak. Studi saya jadi nombor satu dalam hidup saya. Tidak sesekali saya abaikan. Tanggungjawab yang saya galas, akan saya laksanakan sebaik mungkin. Tak mungkin saya mengecewakan hati mak dan ayah.  

Apa khabar dia, kak? Akak tahu kisah saya kan? Akak maklum hati saya kan? Hati saya telah saya tinggalkan di Malaysia. Untuk dia. Dia yang hadir tanpa saya pinta. Dia yang datang mengetuk pintu hati saya tanpa saya minta. Dia yang sentiasa memberi perangsang buat saya. Dalam diam saya menyulam rindu pada dia. Saya masih ingat lagi serangkap pantun yang dikirimkan pada saya awal perkenalan kami. Ia tersimpan kemas dalam ingatan.
Berjalan si dara di tepi paya
Terhidu wangi bunga kesidang
Dua hati, awak dan saya
Mungkinkah sama lagu berdendang?
Pantun itu saya biarkan tidak berbalas. Haruskah saya tolak dia? Saya buntu. Sampai kini saya membiarkan dia tanpa jawapan yang tidak pasti. Tapi rasanya dia boleh menelah hati saya.

Kak,

Dalam diam saya sukakan dia kak. Suka dengan ketulusan hatinya. Dia sentiasa menjaga hubungan kami. Lagipun, tiada janji antara kami. Sekadar bersahabat. Kalaupun saya jatuh cinta, saya tidak mungkin menyintai makhluq lebih dari saya mencintai Khaliq.

Kak,
Dia telah lama saya tinggalkan. Hanya dengan satu janji, janji saya pada diri saya sendiri bahawa saya akan kembali dan saya akan balas pantun itu. Dah genap dua tahun saya tinggalkan dia. Yang menghubungkan kami cuma email semata. Itupun sesekali saja. Katanya dia tidak mahu menganggu fokus saya pada studi. Setiap emailnya yang dihantar pada saya penuh dengan kata semangat. Dalam diam saya tertunggu-tunggu email darinya. Ternanti-nanti suntikan semangat dari dia.  

Sebulan dua ini dia seakan menjauh. Dia tidak menyapa saya sekerap dulu lagi. Saya tidak tahu apa sebab musababnya. Saya menghitung kesilapan sendiri. Gurau saya melampaukah? Atau dia memang sudah bosan melayan karenah saya. Puas saya bermuhasabah tapi saya tidak ketemu jawapannya. 

Kak,

Saya tak pernah melupakan dia walau sesaat. Dia sentiasa ada di hati saya. Dalam diam saya sedar, malah cukup sedar siapa saya. Mungkin dia telah membuat keputusan yang saya tidak layak berjalan seiring dengannya. Saya tahu, dia ibarat bintang, bersinar terang dalam kelam malam. Mahukah dia menyuluh pungguk di celah dahan? Sang punguk ini kuat memasang angan kak. Mencipta mimpi disiang hari. Mana mungkin menjadi realiti? 

Saya rindu dia kak. Apapun, saya redha dengan ketentuan Illahi dan saya doakan kebahagian dia dunia dan akhirat.

Lega sikit rasanya boleh meluahkan rasa ini pada akak. Harap akak tidak bosan membaca email saya. Pada siapa lagi mahu saya curahkan rasa hati kalau tidak pada akak?

Sekian kak. Ada umur jumpa lagi.

Wasalam
Solehah Mohd Soleh 
ini gambar yang saya ciplak dari fb
 





  

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

26 January 2013

Selamat tinggal chenta

Rumah sewa ini bakal saya tinggalkan tidak lama lagi. Bulan depan saya akan ke rumah sewa baru. Berat pula rasanya hati ini mahu meninggalkan rumah ini. Terlalu banyak kisah hidup saya terukir di sini. Tapi, saya nekad meninggalkan rumah ini. Tidak salah rasanya mencuba sesuatu yang baru kan?.

Saya masih ingat, penghujung Jun 2005 adalah hari pertama saya ke Shah Alam. Rumah inilah yang saya tuju dan seterusnya rumah inilah tempat saya berteduh selama ini.

Saya selesa di sini. Saya juga selesa dengan Qariahnya. Taman ini, dan rumah ini pastinya bukan saja menyimpan kenangan indah buat saya tetapi banyak juga memori yang kurang menyenangkan. Teman-teman lama seperti Mas, Y, Irma, Wanie pastinya tak mungkin saya lupakan. Kalian telah mencorakkan sebahagian kenangan manis saya di rumah ini. Kenangan pahit itu rasanya bertukar manis bila dikenang kembali.

Masih ingatkah kalian saat rumah kita dipecah masuk suatu subuh itu? Jeritan Y rasanya masih tergiang-giang diingatan.

"Kak, ada orang pecah masuk bilik Kak Y!" Suara Irma yang mengigil di corong telefon itu menerjah telinga saya.

Allah! terasa gugur jantungku saat itu. Aku panik. Sungguh! 

Berhari-hari rasanya kami hidup dalam ketakutan. Irmalah yang paling kesian saat itu. Disaat semua orang berada di ofis, dia seorang yang ditinggalkan di rumah.

"Kak, ada orang intai rumah kita la kak, Irma takut ni. Pastu sat lagi Irma ada kelas, macamana lrma nak keluar ni...". Adu Irma pada saya melalui telefon.

Natijahnya, kami semua hampir setiap hari pulang awal. Saya kerah Mas dan Y balik sebelum jam 8 malam. Mereka bertiga mengusung tilam dari tingkat atas dan kami tidur bersama-sama di ruang tamu. Berempat. Kelakar pulak rasanya. Waima, bunyi pagar dibuka di rumah sebelah jam 4.00 pagi pun boleh buat kami semua terjaga. Itu yang mengeratkan hubungan kami sebenarnya.

Kisah Y juga mengundang senyum di bibir saya. Teringat saya saat Y balik dari ofis dan terus mengetuk  pintu bilik saya. Saya baru saja selesai solat maghrib.

"Kak, Y dah balik. Y tumpang bilik akak boleh?". Itu kata yang keluar dari mulutnya.

Saya laju menjawab, "boleh je, masuk la". 

Mukanya pucat. Ditoreh pun rasanya tidak berdarah. Mesti ada apa-apa ni, bisik saya perlahan sambil membuka telekung.

"Naper ni Y?" Tanya saya.

"Kak, Y dengan ofismate kena kacau masa nak balik tadi".

"Ha?" Saya terkejut besar. Saya pegang tangannya, sejuk.

Dan Y pun menceritakan kisah seram itu. Untuk beberapa malam Y tidur dibilik saya.

Banyak lagi suka-duka yang pernah kami lalui di rumah ini. 

Bilik ini banyak menyaksikan turun naik hidup saya. Di bilik inilah saya  meluahkan rasa hati saat saya tertekan dan berduka. Di bilik ini jugalah saya sering memujuk hati sendiri saat saya merajuk dengan awak, merajuk dengan dia. Bilik ini juga saksi saat saya tewas dengan ujian hidup. Ah, saya juga manusia biasa.

Banyak air mata saya tumpah di sini.







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

Aku ingin mencintaimu

Bertahun saya ditemani dengan puisi Pak Sapardi Djoko Damano ini. Ianya sungguh indah, meresap ke dalam jiwa dan sudah mengalir dalam sanubari saya.

Hadamkan dalam fikir, renungkan dengan atma, kalian pasti temui maknanya.


Terima kasih Pak untuk puisi yang sungguh memberi erti.




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

23 January 2013

Diari 23 Januari 2013: Baju oren saya

Pilihanraya makin hampir. Bahangnya cukup terasa di serata tanahair. PM menjelajah serata negeri demi untuk tetap teguh berdiri selepas pilihanraya. Bantuan RM100 sedang rancak diedarkan di seluruh sekolah di Malaysia. 

Pastinya beliau tidak lupa tanah kelahiranku, Kelantan. Tujuh projek mega akan dilaksanakan di Kelantan sekiranya BN diberi mandat untuk mengambil alih Kelantan.

Beliau berkata tujuh projek ini akan juga dimasukkan dalam manifesto BN nanti.

“Ambo (saya) sebut tujuh perkara ini dan hanya sebahagian sahaja dari manifesto. Tidak lengkap lagi.

“Ambo hendak simpan. Nanti ambo datang lagi, ambo umum yang lain. Ambo simpan modal,” 

Ini antara yang dijanjikan ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung 3 hari lepas. 


Hanya sekadar baju
Saya kagum. Kagum dengan lautan manusia berbaju oren yang datang meraikan ziarah beliau.

Dan semalam saya terima baju oren ini.

Cantik kan?

Ini baju oren saya yang dihadiahkan oleh dia untuk saya. Kelakar pulak rasanya memiliki baju oren ini.

Terima kasih kerana sanggup bersusah payah mengeposkannya untuk saya. 

Saya amat menghargainya.

Yang pasti saya suka baju ini sebab warnanya oren. Itu sahaja.

TITIK.



P/s: Baju free, tak salah hadiahkan saya satu kan??










memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

21 January 2013

Email buat Solehah I

 
From: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
To: solehahmohd<@gmail.com> 
Sent: Monday, January 21 , 2013 11:12 PM
Subject: Buat adikku yang jauh

Wa 'alaiki salam,

Akak mintak maaf dik, email mu baru kini akak baca. Biasa la, tugas hakiki teramat banyak sekarang ni. Minggu lepas, kami semua terpaksa menyiapkan soalan peperiksaan akhir semester. Dalam masa yang sama, kami berkejaran menjaga exam (invigilation) pertengahan semester. Kini, dihambat dengan kelas dan juga marking. Esok deadline untuk key-in markah exam itu dik. Dan akak masih ada setimbun lagi yang belum bertanda. Hehehe..sekejap lagi akak sambung marking. 

Ni mesti ada benda mustahak kan? Tu yang tetiba je adik akak ni email akak kan? Nanti ada masa, sms akak ya!. Akak boleh je nak call. Bukan selalu pun kan?? 

Opps lupa, akak baik-baik saja, dan makin gemuk pun. (perasan la tu)

Okay la, akak nak sambung marking sekejap. Hakikatnya mata dah ngantuk ni. Penat la dik.

Babai ya!

Salam.
Kak Nor     

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

20 January 2013

Email dari Solehah I

From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Sunday, January 13 , 2013 3:49 PM
Subject: Buat kakakku yang jauh di Malaysia


Assalamualaikum wbt,

Apa khabar? Rindunya saya pada akak. Saya doakan semoga semuanya sihat-sihat belaka. 

Lama rasanya saya tidak mengutus email buat akak. Saya sibuk kak. Maaf banyak-banyak kerana mungkir janji. Banyak yang hendak saya kongsikan dengan akak. Nak call akak rasanya masa kita berbeza. Saat akak dibuai mimpi, saya pulak sibuk berkuliah. 

Ada cerita yang mahu saya kongsikan dengan akak. Perlukan nasihat dan pandangan akak jugak.

Kak, sahabat saya Rina sudah memanggil-manggil nama saya. Kami ada mesyuarat persatuan petang ini. Nanti saya sambung lagi ya kak.

Saya minta diri dulu ya. 

Sekian.




P/s:

Dik, 
Izinkan akak kongsi emailmu di sini ya.



memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

Diari 20 Januari 2013: Saya?

Entah apa mimpinya, saya teringin mencoretkan sepatah dua kata di sini. Blog yang tidak meriah sebab tuan punya blog juga hidupnya mungkin tidak meriah. 

Hakikatnya, hidup saya meriah. Meriah dengan tugas harian yang tidak pernah habis. Melayan karenah anak didik yang pelbagai membuat saya lelah. Mengejar tarikh keramat (deadline) untuk setiap tugasan menjadikan saya sasau sendirian. Seharian di pejabat menyebabkan otak seolah-olah tepu. Tepu walau hanya untuk menukilkan sebaris ayat disini.

Banyak yang bermain di minda sejak akhir-akhir ini. Ramai sudah sahabat yang telah meninggalkan saya sendirian di sini. Demi untuk hidup yang lebih baik, saya dengan rela menyokong keputusan mereka. Dan kini saya bakal kehilangan seorang sahabat lagi. Rasanya dalam masa terdekat, dia juga akan meninggalkan saya. Saya bakal kehilangan sahabat yang cukup baik, memahami dan sungguh mengambil berat.

Saya?

Itu yang selalu saya fikirkan. Saya mungkin boleh berbohong di depan khalayak, ungkapkan saja kalimah tidak kisah tetapi hakikatnya saya teramat kisah. Lama saya termenung sendirian. Berfikir dan terus berfikir.

Sampai bila saya harus di sini?

Harus begini?

Dan..

Hartakah yang saya cari?

Wang ringgitkah yang saya kejar?

Fikir yang terkadang mengundang airmata tanpa di pinta.

Ah, hati, Allah kan ada.














memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

19 January 2013

Diari 19 Januari 2013: Selamat tinggal Tawau

Ini destinasi saya pertama tahun 2013. Bukan bercuti cuma singgah sebentar atas urusan kerja. Yang pasti, saya sudah jatuh cinta dengan orangnya yang baik hati, peramah dan begitu mesra. Saya gembira di sini. Sungguh saya bahagia.

Sayang, saya tidak boleh mengambil banyak gambar kerana saya tertinggal charger. Terpaksa saya menjimatkan bateri handphone saya. 

Selamat tinggal Tawau, ada rezeki, insyaallah saya akan kembali.


5.36pm
Lapangan Terbang Tawau
Sabah






memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan