31 January 2013

Email dari Solehah III

Belum sempat saya membalas email Solehah, email beliau ini menyusul.

From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Wednesday, January 30, 2013 08:15 PM
Subject: 

Salam,

Akak sibuk sangat ya?? Email saya hari tu mesti akak belum baca kan? Tak pe ya kak, saya email akak..kalau akak buka email akak, mesti berderet-deret email saya kan? Saya menulis sekadar mahu berkongsi rasa dengan akak.

Akak ingat lagi tak dia yang saya kenali hanya melalui alam maya yang rasanya pernah saya ceritakan pada akak satu waktu dulu. Walau kami tidak pernah bertemu, jauh sekali bertentang mata, persahabatan kami cukup baik. Kami akrab. Cukup akrab untuk saya mengenali siapa sebenarnya dia. Akak jangan salah faham, dia saya anggap adik sahaja. Ternyata dia jauh lebih muda dari saya.

Hampir 7 tahun perkenalan kami kak. Setiap liku perjalanan hidupnya saya tahu. Dia pernah bercinta. Cinta dari zaman matrik sampailah si gadis itu ke luar negara. Pulang ke tanahair dengan Ijazah Doktor Perubatan. Kesian dia kak, dia hanyut dalam cinta. Menyintai gadis yang sekadar pada saya mahu mempermainkan hatinya. Setianya kadang-kadang membuatkan saya rasa dia buta kerana cinta. Beribu duit dihabiskan untuk si gadis yang dia cintai. Memperhambakan diri untuk perkara yang sia-sia.

Saya tahu ibu-bapanya berada, golongan professional. Walaupun saya tidak pernah bertanya, saya tahu, dia datang dari keluarga yang senang serba serbi dan dia sendiri pernah membesar di bumi mat saleh. Dia suka berdikari, kerjanya biasa-biasa sahaja, tapi saya tahu dia berhemat bila berbelanja. Duit simpanan saya tahu banyak. Tapi sayang habis begitu saja.

Dia nanar bila mendapat tahu, si gadis yang dicintai punya kekasih baru. Enggang mestilah mencari enggang untuk terbang tinggi kan? Tak mungkin dipandang pipit di pinggir hutan. Setiap kali dia punya masalah, dia akan mencari saya. Saya tahu bagaimana hancurnya hati dia saat itu. Fiil perempuan tu rasanya sukar untuk di maafkan lagi.  Dia kecewa.

Demi mengubat hatinya yang hancur, dia memohon untuk menyambung studinya ke US. 

Katanya pada saya, " Kak, biarlah saya bawa hati saya jauh dari Malaysia, mudah-mudahan saya boleh melupakan dia". Saya diam.

Selama disana, kadang-kadang saja dia menghubungi saya. Tup tup, dia menghantar pesanan ringkas melalui handphone, "Saya ada kat Malaysia, baru je sampai, transit Singapore semalam".

"Naper balik? Cuti?"

"Abang dia cari saya sampai sana. Kacau kedutaan, terpaksa balik la kak. Abang dia tuduh saya yang rosakkan adik dia. Gila."  

Saya terkedu.

Paling sedih bila tempat dia berkerja diambil alih. Biasiswanya di tarik balik dan dia dipanggil pulang ke Malaysia tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Dia hilang pekerjaannya kerana dia bukan anak emas bos.

Selepas pulang ke Malaysia, dia jarang menghubungi saya lagi. Dia sibuk dengan kerja barunya. Sesekali bila dia muncul di alam maya, atau menghubungi saya melalui telefon, nama perempuan itu yang di sebutnya. Ternyata jarak dan masa sukar menghilangkan rasa itu. Dia masih tidak dapat melupakannya. 

Dia pernah memberitahu saya, katanya, " saya ada kawan baru tetapi keluarga sebelah perempuan tak suka saya sebab keturunan."

" Pulak, susah kalau cam tu, jangan buat benda yang bukan-bukan pulak, pujuk famili dia baik-baik." Itu pesan saya pada dia. Dari jauh saya doakan dia bahagia

Dia senyap beberapa bulan. 

Di suatu tengahari, dia menelefon saya, " Kak, saya ada kat area ofis akak ni, jom lunch sama". 

"Ha? Lunch?" 

"Kak, jauh saya datang cari akak, tak kan akak tak nak jumpa. Sekejap pun jadi la. Saya nak kenalkan akak dengan seseorang. Saya tunggu akak kat bawah." Dia terus meletakkan telefon.

Ini pertemuan pertama kami selepas sekian lama berkenalan.

Hurrrmm, buah hati baru rupanya. Peramah. Buah hati pengarang jantung orang, malas la kak saya nak komen banyak-banyak.

Rupa-rupanya buah hatinya tahu siapa saya. Cemburu rupanya. Pesannya pada saya, "Akak jangan cerita lak kisah saya kat dia. Saya dah cakap kat dia, akak tahu semua pasal saya."

Saya tergelak dihujung talian.

Saya berjumpanya untuk kali kedua. Jujurnya saya tidak selesa walau hakikatnya kami bukan berdua. Permintaannya untuk kali ketiga tak dapat saya penuhi atas alasan kerja. Saya tidak berbohong padanya. Sungguh!.  

Selepas itu dia diam tanpa berita. Panggilan saya tak dijawab, sms juga tak berbalas. Jauh di sudut hati, saya tahu dia bahagia. Semoga bahagia itu jadi miliknya, selamanya.

Kak, ini kisah sebelum saya menjejakkan kaki ke sini. Banyak lagi mahu saya ceritakan tentang dia. Lain kali saya sambung lagi ya kak.

Sampai di sini saja untuk kali ini kak.

Sekian. Wasalam
 

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment