20 March 2015

Diari 20 Mac 2014: Kelas di Pagi Jumaat

Pagi ini saya ke PPAS. Jadual yang saya terima malam tadi benar-benar mengujakan. Hari ini kelas bersama Ustaz Azim, membincangkan kitab Misbahul Munir. Ini antara kelas yang paling saya suka, yang paling sayang untuk saya tinggalkan, yang menghidupkan semula hati saya. Mempelajari perkara yang sudah tahu, tetapi memberi kesan mendalam dalam jiwa. 

Kata ustaz, iman yang diberi Allah kepada kita adalah tiket untuk kita ke syurga. Tiket yang mahal tetapi percuma sahaja kita perolehi, bukankah itu amat bernilai melebihi dunia dan isinya. Kita hidup bukan untuk 1000 tahun, singgah di sini sekejap sahaja sebelum kembali ke alam abadi. Makanya, jagalah iman di hati dengan ilmu. Ilmu yang wajib kita cari.

Allah yang menciptakan kita. Pasti Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Dia yang mengaturkan alam dengan siang dan malam, panas dan hujan, siapa kita untuk mempersoalkan Dia yang Maha Mengetahui. Kita hamba yang jahil. Buktinya? Alaaa..usah bersusah mengira bintang di langit yang siangnya hilang, muncul bila langit terang di waktu malam. Kira sahaja bulu mata di wajahmu, itu sudah cukup menunjukkan kurangnya ilmu kita. kan?

Usah dipersoalkan hukum Allah. Usah pertikaikan sama ada sesuai atau tidak. Dia dah suruh, buat sahaja. Menafikannya bermakna menafikan ilmu Allah. Seolah-olah kita memperlekehkan tuhan yang menciptakan kita. Hukumnya kafir di sisi Allah. Nauzubillah.

Jaga iman kita bermakna kita menjaga aqidah kita. Itu syarat utama untuk ke syurga Allah.

 




memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment