31 December 2014

31 Disember 2014: Akhirnya

2014 akan menutup tirainya malam ini. Berlabuh dengan pelbagai kisah suka duka untuk kita. Rasanya terlalu banyak kisah duka buat negara tercinta.

Benar sekali kata Imam Al-Ghazali, yang paling jauh ialah masa yang telah berlalu meninggalkan kita. Walau sederas mana pun kita mengejar, ia tetap berlalu pergi meninggalkan kita bersama jejak-jejak semalam.

Buat saya secara peribadi, hidup saya biasa-biasa sahaja. Tiada banyak kenangan indah tahun 2014 rasanya. Cuma saya rasakan saya makin kuat berangan. Berangan eh? Bukan berfikir ke..atau saya makin pelupa.

Minggu lepas saya sendirian di rumah. Fiza ke JB atas urusan keluarga. Dalam perjalanan balik, saya memasang angan untuk memasak malam itu. Menu apa ya? Saya mencari menu yang paling mudah dan cepat.

"Goreng kuey teow je la, 10 minit dah boleh siap." Bisik saya sendirian.

Singgah di kedai runcit seksyen 8, saya membeli daun kucai, tauge, bebola ikan, telur dan sudah pasti kuey teow sebungkus. Cukup la untuk makan malam saya.

Malam itu, saya dengan penuh yakin menjerang kuali, menumis segala rencah yang perlu, dan hanya menunggu untuk masukkan kuey teow sahaja dalam kuali. Saya mengeledah plastik yang saya jinjit naik tadi mencari kuey teow. Kuey teownya tidak ada. 

"Rasanya sudah saya ambil di kedai tadi." Hurrm, saya terlupa atau tertinggal di rak semasa saya mengambil telur.

"Habis rencah yang sedang mendidih tu nak letak apa? Nak tukar jadi nasi goreng, pasti tak sedap." Saya merungut sendirian.

Aduh, macamana boleh saya lupa ni. Perut yang berkeroncong sudah minta di isi. Saya sudah nyanyuk rupanya. 

**
Sikap suka berangan saya juga makin ketara.

Di suatu pagi dua bulan yang lepas, saya seperti biasa menghidupkan enjin kereta menuju PPAS. Entah apa yang ada dalam kotak fikir saya, saya pun tidak tahu. Sebaik saja keluar dari  simpang perumahan seksyen 8, saya sudah nampak lampu isyarat yang berwarna hijau sudah berkelip-kelip. Saya tahu saya tidak mungkin sempat mengejar lampu isyarat tersebut kerana kereta di hadapan bergerak agak perlahan. Saya tidak perlu tergesa-gesa. Hasilnya saya yang paling belakang bila lampu isyarat bertukar merah. 

Selepas beberapa ketika, kereta dihadapan saya bergerak perlahan. Dan saya mengikutnya dari belakang dan terus berhenti di garis putih di lampu isyarat tersebut. Seorang penunggang motosikal dari arah kiri saya lama merenung saya. 

"Apa mamat ni..pandang semacam je?"

Saya perasan beberapa buah kereta di lorong kanan saya bergerak laju. Lorong sebelah saya juga kosong. Opps, baru saya tersedar, lampu isyarat hijau sudah pun berkelip-kelip.

Saya lantas menekan pedal minyak sambil tangan kiri meraup muka yang sudah merah. 

"Allahuakbar, apa aku fikir ni.,patut la mamat ni tengok semacam. "

Saya berhenti semasa lampu isyarat berwarna hijau rupanya. Heran, tidak ada seorang pun pemandu yang sudi membunyikan honnya pada saya. 

Cukuplah dua fiil buruk ini sahaja saya catatkan di sini. 

Setinggi-tinggi penghargaan untuk mereka yang menemani perjalanan 2014 saya terutamanya 

1. Bonda yang risaukan saya semasa saya 4 malam  di wad, kak jah yang menghabiskan siangnya menemani saya, kak yah yang katilnya cuma kerusi dan juga adik saya yang sering terjaga setiap kali saya ke bilik air.

2.  Fiza, teman serumah yang mendengar semua cerita tidak best dari saya

3. Najmiyah yang sering menemani makan tengahari saya di PPAS.

4. Kak Midah yang tidak pernah lupa bertanyakan khabar saya, bimbang saya hanyut di bawa arus.

5. Aza Shanaz yang tidak pernah putus memberi kata semangat.

6. Kak Mahani yang selalu berkongsi rasa dan cerita.

Tidak dilupakan juga dia yang sentiasa ada menemani saya, meminjamkan telinga, memberikan bahunya untuk saya bersandar walau seketika.

Dan awak yang sesekali menceriakan hari saya.

2014,

Ini kisah saya, awak dan dia.. juga mereka.



Selamat datang 2015.


Diari diri,














memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment