26 April 2014

Diari April 2014: Berpesta di PWTC

Ini acara tahunan. 

Saya biasanya mewajibkan diri untuk ke pesta ini. Pesta ini sahaja yang saya tunggu-tunggu setiap tahun. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Seperti biasa, walau perasaan malas menghasut diri, saya gagahkan juga kaki ini. Antara sabtu dan ahad, saya memilih sabtu, dengan harapan esok saya boleh berehat secukupnya. 

Seawal 9.05 pagi, saya sudah tercongok menunggu komuter. Wah, bukan main ramai lagi orang di stesen komuter Batu Tiga ini. Ini mesti semua nak ke PWTC, bisik saya sendirian. Memang tepat telahan saya, jam 10.20 pagi, PWTC sudah dibanjiri manusia. Bas sudah berderet di tepi jalan bertentangan dengan The Mall yang menghala ke Hentian Putra. Matlamat saya hari ini hanya untuk menghabiskan RM200 baucer buku yang saya simpan sekian lama. Akan saya gunakan sebaiknya memandangkan gaji belum masuk. Saya bukan mencari novel hari ini. Saya mencari buku akademik yang saya idamkan berbulan-bulan. Saya terus ke Dewan Tun Razak 3 di Aras 3.

"Akak, anak umur berapa?" itu suara yang menyapa saat saya melintas booth Grolier dan mata melilau mencari booth ITBM dan Dewan Bahasa. Pantas saya mengeleng. Saya terus melangkah.

"Kak, umur anak akak berapa?". Sapa seorang lagi promoter. Saya geleng kepala lagi.

Saya ke ITBM semata-mata mahu menjenguk Sofa Putih. Sofa Putih kosong. Saya sedikit kecewa. Ingatkan ada penulis pujaan hati sedang berbicara.  Staff ITBM pula sedang menjerit-jerit, "happy hour! happy hour! 40 percent diskaun". Saya tersengeh sendirian. Saya ingatkan Jakel dan kedai tudung Seksyen 7 di Shah Alam je ada happy hour

Saya keluar dari booth ITBM tanpa membeli apa-apa. Dengan tangan memegang peta lantai PWTC yang saya capai di pintu masuk tadi, mata saya ligat mencari DBP. Matlamat saya hanya satu, mencari buku sifu saya. Melihat buku itu di rak, saya lega. Alhamdulillah. Sudah lama saya mengidamkannya. Bukan mahal mana pun, RM20 sahaja. Memandangkan baucer tidak boleh dipulangkan bakinya, saya mencapai satu antologi cerpen berunsurkan islam dan sebungkus Dewan Masyarakat Januari-Disember 2013 yang berharga RM10. Bila nak baca, saya pun tak tahu. Bag galas di bahu sudah terasa berat. 

Berat pun angkat jugak

"Kak, ada anak tak?". Satu suara bertanya pada saya.

"Ada, anak tekak. Anak kucing kat rumah." Itu jawapan yang hanya bergema dalam kepala. 

"Tak de, terima kasih." Itu pula jawapan yang keluar dari mulut saya.

Saya bergegas mencari MPWS pula. Buku Dr Othman Talib yang saya buru. Saya menjejak kembali email yang dihantar MPWS. Yes! memang di Aras 3. Saya tawaf mencari booth 3006-3007. Rupa-rupanya ia terletak di luar pintu masuk Aras 3. Tangan terus mencapai buku yang saya mahukan dan saya juga terpaksa mencukupkan RM50 lagi. Buku Dr OT ini harganya RM40. 

"Mug ni berapa dik?" 

"RM15 kak, kalau akak beli lebih dari RM100, akak dapat free mug tu".

Saya mencongak dalam kepala. Ada lagi buku lain yang saya idamkan.

"Tak pe la dik, akak ambik buku ni dan mug. Akak topup lagi RM5, boleh?

Mug yang saya pegang itu buat saya tersengeh. 

Beg makin berat. Saya melangkah ke tangga bergerak menuju ke Aras 4. Saya mahu ke booth McGraw Hill pula. Aras 4 sedikit lengang. Kebanyakannya buku akademik ada di sini. Saya singgah di Lexis Nexis dan membelek buku beberapa buku undang-undang. Buku yang saya cari tiada.

Kaki saya sudah lenguh. Beban di bahu  makin memberat. Buku yang saya cari tidak nampak di mana-mana. Sebenarnya saya mencari di satu rak sahaja. Saya sudah malas mencarinya. 

"I am looking for Ismail Bahari's book." Saya menyapa seorang petugas yang sibuk bersembang. 

Ada depan mata saya rupanya. Sehelai baucer lagi terbang di sini. Saya top-up RM0.30 sahaja di sini.

Saya keluar dari Dewan Merdeka Aras 4 dan mencari tempat duduk. Rata-rata penuh. Tiada ruang untuk saya melepaskan lelah. Pelajar-pelajar sekolah menengah memenuhi ruang. Mereka duduk di lantai dan makan bekal mereka. Itu pandangan biasa setiap kali PWTC berpesta.
 
Melihat gelagat pelajar yang ralit dengan buku

Jam sudah 12.30 tengahari. Saya melilau ke beberapa buat booth lagi. Singgah di Indieke dan sempat memegang karya terbaru Faisal Tehrani, Bagaimana Anyss Naik ke Langit. Buku kecil itu tidak ada dalam senarai budget saya kali ini. Mahu menggunakan baucer saya terpaksa mencukupkan RM50 lagi, sedangkan tiada lagi buku lain yang memikat hati saya.

Saya bertemu Galeri Ilmu. Ah, saya memang mengidamkan buku Prof Kamil dan Puan Roza. Dua buah buku ini saya kebas di sini. Alaaa..tak cukup RM50 jugak, Lantas, buku Ustaz Pahrol pula saya capai. Saya top-up RM10 di sini. Saya terus mencari pintu keluar. Penulis yang sedang berbicara berhubung kewangan itu terpaksa saya abaikan. Saya sudah tidak larat menahan telinga sambil berdiri. 

Balik. Itu sahaja yang saya ingat. Tangan sudah lenguh dan perut menjerit mintak di isi. Jam 2.00 petang saya sudah berada di dalam komuter menuju Batu Tiga. Kereta saya parkirkan di sana pagi tadi.

Alhamdulillah, semua yang saya nak saya dapat hari ini. Opps, jangan simpan dalam kotak nanti. 

Baca tau! 

Tahniah untuk saya kerana telah berjaya menghabiskan RM200 baucer buku. Sehelai lagi? Nanti la, saya sudah ada perancangan untuk menghabiskannya. 


Diari diri, 











memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment