21 November 2011

Diari 21 November 2011: Terganggu

Sakit ini mencucuk-cucuk belakang tengkuk saya, pedih bagai di hiris pisau tajam. Muka saya monyok menahan sakit. Kepala pula berdenyut-denyut. Darah panas senang sekali menyirap ke muka. Syaitan begitu galak menyiram api amarah dalam jiwa saya. Saya cukup sedar itu. Terkadang dahi saya berkerut-kerut menahan lenguh yang menindih bahu saya. Untuk seketika, airmata saya bergenang. Ya allah, kau tolonglah kami. Sesungguhnya tiada lagi tempat untuk kami memohon pertolongan melainkan hanya dari-Mu. Hati ini merintih sedih.

Sampai bila harus kami bertahan? Itu yang bermain di fikiran kami.

Sabtu lepas, kami membuat temujanji dengan seorang ustaz di sebuah surau di Shah Alam. Ustaz ini saya kenal kerana saya pernah mengikuti kuliah maghrib beliau di surau di taman tempat tinggal saya ini. Qiyammullail beliau pernah saya ikuti di suatu ramadhan dulu. Kak Ros, AJK surau muslimat bermurah hati memberikan saya nombor telepon beliau. Selepas bertangguh dan bertahan sekian lama, kami berdua membuat keputusan untuk berjumpa ustaz tersebut. Beliau membaca ayat-ayat ruqyah pada air mineral yang kami beli dengan penuh tartil. 

Usai bacaan ruqyah dan doa yang panjang yang kami aminkan bersama, beliau berpaling dan berkata, " Ini gambaran yang saya dapat. Ada benda yang keluar masuk di bilik tersebut yang kita kenali sebagai Al-aini Wusta. Dia menggangu kerja-kerja kalian, membuatkan kalian tertekan walau hanya dengan perkara-perkara kecil." Kami mengangguk faham. Itulah yang kami alami sebenarnya.

Mulut saya laju bertanya," Ada benda lain lagi tak ustaz?". Beliau hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Sukar menelah maksud senyum yang terukir di wajah beliau yang jernih itu. Rasanya beliau ustaz ke-6 yang kami jumpa untuk urusan yang satu ini.

Mulut terpaksa kami kunci kemas-kemas. Kami telah dipesan berkali-kali agar tidak berkata apa-apa. Takut ianya makin merusuh dan kami makin parah. Banyak yang menghairankan kami sebenarnya. Kalau diceritakan, pastinya tidak ada telinga yang mahu percaya. Yang mengalaminya sahaja yang tahu betapa sakitnya kami dan betapa takjubnya kami dengan apa yang terjadi di sekeliling kami.

Teringat saya pada satu fail kami yang tiba-tiba hilang. Fail yang terletak cantik diatas salah satu rak kami tiba-tiba lesap.  Kami berempat terkesima seketika. Kami pasti failnya ada di situ sebelumnya. Tiga hari kami mencarinya di serata ceruk. Kami betul-betul panik sebenarnya. Di mana harus di cari ganti semua borang-borang yang bercop asli itu?

Kami pulang di petang khamis itu dengan solusi kami yang tersendiri. Biarlah, lupakan semua. Kami akan berusaha untuk melengkapkan kembali fail tersebut.

Kata salah seorang ustaz di sebuah perubatan islam di Bangi, "Fail tersebut masih ada, tak keluar pun dari bilik tu,  nanti cari lagi, insyaallah jumpa".

" Sebenarnya ada orang nak kenakan awak, tapi disebabkan awak kuat, terkena anak awak". Sambung ustaz itu lagi. sahabat saya sebenarnya ke sana kerana anaknya menangis tanpa henti semalaman.

Ya, fail itu kami jumpa terletak cantik ditempat biasa. Takjubkan? Buat kesekian kalinya, kami terkesima lagi. Mulut terkunci lagi. Hilang segala kata. Saya beristigfar panjang. Ya allah, angkara siapakah ini?

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kami dan menjauhkan kami dari sihir dan syaitan durjana. Jagalah kami wahai Tuhan yang Maha Menjaga. Dan padaMu jua kami serahkan segala-galanya.



P/s: Bila hati yang tidak tenang..:(

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment