10 September 2015

Diari 10 September 2015: Sahabat

Ini cerita seorang sahabat yang tidak perlu saya sebutkan namanya di sini. Ini cerita luka. Ini cerita derita isteri bila cinta dikhianati.

Saya tidak mampu untuk memberi nasihat, tidak juga berani memberi pendapat kerana derita itu hanya dia seorang yang menanggung. Hatinya pasti dicincang-cincang, dicurah cuka dan dipanggang di atas bara. Saya hanya mampu meminjamkan telinga sekali sekala, menyokong dan memberi kata semangat sekadar mampu.

Dia sahabat baik saya masa remaja. Teman meluah segala rasa. Entah mengapa kami renggang apabila kami ke matrik walaupun di tempat sama. Salah saya rasanya. Saya bukan sengaja memisahkan persahabatan yang terjalin tetapi mungkin saat itu saya keliru. Biarlah. Itu cerita lama.

Alhamdulillah, dia antara sahabat saya yang awal bertemu jodoh. Kisah cinta mereka juga saya tidak pernah saya tanya. Yang pasti saya gembira melihat sahabat saya tersenyum riang semasa hari pernikahan mereka. Pernah sekali dia menziarahi saya bersama suaminya di suatu hari raya. Mereka bahagia sekali.

Kami terputus hubungan. Bertahun lamanya. Kami kemudiannya bertemu di facebook, dan persahabatan kami terjalin semula. Tup tup saya mendapat berita yang suaminya mempunyai girlfriend baru. Selepas mempunyai tiga orang anak, suaminya mencipta masalah. Luahan rasanya pada saya begitu menyentuh hati saya. Sedih.

Dia membenarkan suaminya menikahi perempuan itu. Bahkan turut membantu menguruskan pernikahan kedua suaminya.

"Aku buat semua ni bukan untuk dia, aku buat untuk agama aku Za." Luahnya di whatapps.

Diberi betis, peha pula yang dia mahu. Perempuan itu makin tamak. Cuba memujuk suaminya untuk menjual rumah yang dia anak beranak diami sekarang, menggunakan ilmu hitam yang entah apa-apa.

Dia dipukul oleh suaminya hanya kerana menyebut minah kilang kepada isteri barunya. Gegendang telinganya pecah dan dia pengsan di balai polis semasa membuat report. Mata saya berkaca mendengar ceritanya di hujung talian.

Terbaru rumahnya dimasuki ular di suatu tengah malam.

"Buat pertama kali saya rasa ini bukan ular." Itu kata pegawai bomba yang datang menangkap ular tersebut.

Rumahnya rumah teres yang letaknya di tengah-tengah. Tiada potensi habitat ular yang boleh membiak di kawasan perumahannya. Hairan bin ajaib.

Tabahlah engkau sahabat. Moga derita hari ini yang kau tanggung segera berakhir. Aku hanya mampu mendoakan kau dari jauh.

Ada harta berharga yang allah amanahkan pada kau untuk menjaganya. Ada tiga permata yang allah titipkan buat kau. Moga kalian saling menjaga. Hingga hujung nyawa.






memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment