03 October 2011

Sambal machang

Sambal machang, antara yang menjadi kegemaran saya dan sukar di temui di mana-mana sekitar Shah Alam ataupun Kuala Lumpur. Setakat ini yang saya temui ialah kerabu mangga. Terkadang hati tertanya sendiri, sedap ke kerabu mangga ni? Tapi bila di congak-congak, di hitung-hitung, lidah saya lebih menggemari sambal machang. Sedap dengan tekak saya sahaja barangkali. Biarlah, ini kan makanan orang kampung sahaja.

Dulu di belakang rumah saya ada sebatang pokok machang. Ini nama yang dipanggil di kampung saya saja. Bila pohon machang ini berbuah muda, kami akan mengaitnya. Buah yang muda dan masih belum bersabut lagi bijinya sedap kalau di buat jeruk. Kadang-kadang kami akan membuat sambal. Sambal machang, sedap sebab ianya tidak terlalu masam. Ikan, bawang merah, bawang putih dan lada hidup yang semuanya di bakar ditumbuk bersama buah machang yang dicincang halus dan ditambah dengan sedikit garam. Ah, memang enak sekali bila dimakan bersama nasi panas untuk juadah tengahari. Lebih menyelerakan andai di temani sayur lemak terung yang dicampur dengan bayam. Ini sudah cukup untuk kami sekeluarga.

Saya teringin sekali tapi mana mahu dicari buah machang muda di Sham Alam. Bila terpandang sahaja buah pauh di pasar pagi ahad lepas, saya terus membelinya. Pauh muda itu menjadi pengganti buah machang. Dan, itulah hasilnya. Cukup untuk mengubat rindu saya pada sambal machang. Seperti biasa saya akan sakit perut kerana tidak tahan pedas dan masam pauh yang melampau itu.

Hmmm, itulah risikonya.





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment