28 October 2011

Mak Da & Kak Jah

Usai berbuka puasa dan solat maghrib semalam, saya dikejutkan oleh satu panggilan telefon.

"Ja, kau dah tau dah pasal sedara kau?" Tanya Adilah, sahabat saya.

"Sedara aku yang mana satu? Tak tau apa-apa pun. Tak de lagi sapa-sapa yang cerita kat aku. Kenapa?"

"Sepupu kau, Kak Jah meninggal dunia mahrib tadi."

"Ha? Kak Jah? Bukan mak saudara aku?" Saya terkedu sebentar. "Rasanya mak aku pun belum dengar lagi berita ni."

Kak Jah sepupu saya. Usianya hampir sebaya dengan kakak sulung saya. Anak kepada kakak mak saya yang saya panggil Mak Da. Mak saya anak bongsu dari 12 adik beradik dan mak saya satu-satunya anak berlainan ibu. Kini yang tinggal cuma mereka empat beradik sahaja, Mak Nik, Mak Da dan Mak Su. Lapan sudah tiada dan saya berkesempatan bertemu dengan empat yang lain.

Setiap lebaran, mak saya tidak pernah lupa mengajak kami adik beradik menziarahi Mak Da. Dulu Mak Da selalu bertandang ke rumah kami. Dengar sahaja berita yang Mak atau arwah ayah saya tidak sihat, Mak Da pasti datang menziarah. Dari elok berjalan sehingga berpimpin tangan, beliau berusaha sedaya mungkin untuk datang. Kali terakhir Mak Da singgah ke rumah saya, beliau sudah teramat sukar untuk naik dan turun tangga, sampai terpaksa mengengsot. Itu rasanya dua atau tiga tahun lepas.

Lebaran tahun ini, sebagaimana tahun-tahun lepas, awal-awal lagi mak saya sudah memaklumkan kepada saya dan adik. "Esok selepas solat sunat hari raya, kita ziarah Mak Da, Mak dah lama tak tengok dia". Itu kata mak pada kami.

Salam bersambut. Sayup-sayup kami dengar suara Mak Da menjemput kami naik. Mak Da masih lagi boleh mengecam suara saya dan adik. Air mata saya bergenang melihat Mak Da yang terbaring di atas tilam. Wajah tua yang berkedut itu saya renung dalam. Tangannya saya kucup perlahan. Matanya tertutup rapat. Mulutnya sahaja yang riuh bercerita. Dulu,  beliau masih lagi boleh bergerak dengan mengengsot di dalam rumah. Matanya masih lagi cerah. Kini, nikmat mata Mak Da telah ditarik sedikit demi sedikit. Dulu, Kak Jah hanya perlu meletak lauk pauk di pinggan Mak Da. Bila penglihatan Mak Da makin teruk, Mak Da akan memakan nasi yang di gaul terus lauk pauknya. Kini, penglihatan Mak Da hampir hilang sepenuhnya.

"Kak Jah ke masjid ni, aku bukan demam pun, tu yang Kak Jah tinggalkan aku sekejap ni."

"Aku tak tahu la Kak Jah sempat kemas dapur atau pun tidak. Dia sibuk menjahit baju raya tu. Banyak tempahan orang. Kau pergi la buat air. Cari sendiri makanan kat dapur tu". 

Itu kata-kata Mak Da pada kami.

Kami sudah sedia maklum, Kak Jah, di samping menjaga Mak Da, mengambil tempahan menjahit baju.

"Tadi aku panas, aku tak nak pakai baju, kau cari la baju untuk aku".

Saya pantas mencari baju untuk Mak Da. Adik saya membantu membangunkan Mak Da dan Mak Da berusaha memakai bajunya sendiri. Mak Da duduk sekejap dan adik saya mengurut belakangnya.

" Lenguh ni badan aku ni. Asyik terbaring je ni". Mak Da mengomel lagi.

"Mak Da puasa tak?" Saya bertanya.

"Puasa la Isnin Khamis".

Saya dan mak berbalas pandang. Ingatan Mak Da pun nampaknya sudah bercampur baur.

"Sampaikan salam kami pada Kak Jah, kami terpaksa balik. Lagi pun tiada sesiapa kat rumah". Pesan saya pada Mak Da.

Kami pulang tanpa sempat bertemu Kak Jah.

Dan semalam saya dikejutkan dengan berita yang Kak Jah telah pulang ke rahmatullah. Kak Jah yang baik hati, penyayang, pemurah dan kuat pegangan agamanya dan amat rapat dengan mak saya. Setiap kali bertemu mak saya, pasti Kak Jah akan meninggalkan mak saya dengan tangan berisi . Bukan nilainya yang menjadi ukuran tapi ingatan Kak Jah pada mak saya. Sakitnya cuma sekitar 20 hari. Penyakit lamanya kembali lagi. Tekanan perasaan yang melampau saya rasa menyebabkan Kak Jah sasau. Apapun, itu hanya sebab sahaja. Yang paling penting, masa Kak Jah telah tiba. Siapakah yang mampu berdolak dalik dengan janji Allah?


Kata mak, Mak Da sedikit pun tidak menangis dengan kehilangan Kak Jah. Saat Kak Jah di kafankan, Mak Da di usung ke tempat Kak Jah. 


"Siapa yang akan menjaga aku selepas ini?" Ini mengundang airmata anak-anaknya yang lain.

Saya turut berduka dengan pemergian Kak Jah. Hati saya menangis sedih. Dan tanpa sedar, pipi saya basah dek airmata yang luruh.

Al-fatihah.

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment