26 August 2014

Diari 26 Ogos 2014: Puasa dan Raya II

Selesai solat isyak, saya tiba-tiba teringat akan guru al-quran saya seawal umur 5 tahun. Apa khabar guruku? Saya berkesempatan menziarahi beliau pada hari raya baru-baru ini. 

Saat saya bertanya khabar dia pada emak saya dua hari sebelum hari raya, mak saya terus bertanya, 

"Nak p tengok dia ke? Sekarang keadaannya makin uzur. Esok-esok kita p la."

"Nak nak...nanti kita p ya."

Alhamdulillah, kami bersama-sama menziarahi beliau pada hari raya ke-3. Usai kenduri rumah sepupu yang terletak di sebelah rumahnya, kami melangkah naik ke rumah beliau yang pintunya sudah sedia terbuka. Saya menjenguk melalui pintu depan, kelihatan beliau terbaring di atas tilam di satu sudut penjuru rumah. Cahaya matahari petang yang memancar terang menyebabkan rumah beliau sedikit silau di bias cahaya hijau dan kuning dari cermin jendela kaca yang tertutup.

Saya memberi salam sekali lagi. Kelihatan beberapa orang sepupu saya sedang duduk mengelilingi beliau. Jiran-jiran sekampung pun ada yang turut serta. Penuh di sekeliling beliau. Selesai bersalaman dengan mereka yang datang menziarah, saya mendekati beliau dari hujung kaki. Saya melabuhkan punggung dan bersimpuh di sebelahnya. Tangan beliau sudah tidak boleh bergerak seperti sedia kala. Saya pegang tangannya. Lantas tunduk mencium tangan yang sudah berkedut itu. Saya saat mengangkat muka, saya tahu airmata saya sudah tidak terbendung lagi. Nasib saya baik kerana muka saya sudah berpeluh kepanasan.

Sungguh saya sebak,  tangan tua itu saya pegang kemas. Tiada suara yang keluar. Melihat wajah tua yang sudah berubah, mulutnya sedikit herot, saya hampir teresak. Inilah sosok yang mengajar saya mengenal alif ba dan ta. Inilah wajah yang mengajar baris atas bawah dan hadapan. Inilah suara yang mengajar saya hukum lima. Inilah yang mentasmi' kan saya qunut dan tahayyat. Dari seawal usia, saya belajar mengaji dengan beliau sehingga khatam berkali-kali. Dialah yang membetulkan bacaan al-quran saya. Sampai kini, bacaan saya dipengaruhi cara bacaan beliau. Besarnya jasa beliau pada saya. Tidak mungkin mampu saya balas.

Lama tangan tua itu saya usap. Saya cuba mengawal emosi. Air liur saya telan berkali kali sambil mengusap peluh di muka kononnya. Tiada kata yang terkeluar dari mulut saya. Selepas beberapa lama, saya akhirnya bersuara dengan suara tertahan-tahan, 

" Boleh bangun tak?" Itu sahaja yang mampu saya ajukan pada anak keduanya.

"Tak boleh dah. Makan pun bersuap."

Saya mengusap muka lagi. Allah, besarnya ujian-Mu pada guruku ini. Bertahun terlantar. Di uji Allah dengan pelbagai penyakit.

"Ini Za. Mak kenal tak?" tanya anak beliau.

"Ha? Kenal." Jawab beliau perlahan.

Tiada lagi suara yang keluar dari bibir saya selepas itu. Selebihnya sepupu-sepupu saya dan jiran yang lain sahaja berbicara. Saya membatu di sisi beliau dan diam seribu bahasa. Wajah beliau saya tenung lama. Entah bila saya berpeluang menatap wajah ini. Itu yang terdetik dihati saya.

Ya Allah, kau ampunkan guruku ini, orang yang berbakti padaku selepas ayah dan ibuku. Kau permudahkanlah urusan dunia dan akhirat guruku ya Allah. Ilmu yang diberikan padaku adalah ilmu yang bermanfaat ya Allah ..yang aku manfaatkan setiap hariku. Moga ianya menjadi amal jariah berpanjangan dan pahala yang tidak putus-putus untuknya.

Ya Allah, kau ringankanlah sakitnya, kau senangkanlah perjalanan hidupnya. Sembuhkanlah dia kalau itu terbaik untuknya ya Allah.

Ini doaku untukmu wahai guruku.



Diari diri,













memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment