10 February 2013

Diari 10 Februari 2013: Antara Dua

Dua minggu lepas, saya berkesempatan mendengar ceramah dari bekas Dekan kami yang tidak asing lagi, Dr Ab Jalil Ghazali @ Dr AJ. Ceramah ini untuk pelajar sebenarnya tetapi persoalan yang dibangkitkan oleh beliau menyebabkan saya lama merenung, berfikir dan sampai kini belum saya temui jawapannya.

KEJAYAAN.

Sepatah perkataan yang cukup membuatkan saya muhasabah diri. Antara soalan yang bermain dilubuk rasa ialah:

Apa itu sebuah kejayaan? 

Adakah saya sudah berjaya?

Kejayaan adalah sesuatu yang subjektif. Mungkin pada seorang pelajar, mendapat CGPA 4.0 dan bergraduat dengan Kelas Pertama adalah sebuah kejayaan padanya. Bila memasuki alam pekerjaan, mendapat pangkat menjadi orang teratas adalah kejayaan. Pada yang bercinta, bersatu dengan lafaz ijab dan kabul adalah kejayaan pada pasangan tersebut. Pada saya seorang pendidik, melihat anak murid saya berjaya adalah kejayaan yang membahagiakan saya sebenarnya. Tapi cukupkah itu buat saya?

Memadaikah?

Perjalanan hidup saya masih jauh. Saya bersyukur kerana beroleh kejayaan pada masa lalu. Cemerlang SPM, menjadi salah seorang pelajar terbaik sekolah, menjejakkan kaki ke menara gading, beroleh Degree dan Master, layak diterima sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dan kini bergelar Pendidik anak bangsa. Sekadar itu saja kejayaan saya pada masa ini.

Tewaskah saya?

Saya berkerja, beroleh gaji. Gaji yang cukup untuk saya meneruskan hidup tanpa menyusahkan siapa-siapa. Bukan banyak, tapi cukup. Cukup untuk saya berkongsi dengan bonda, cukup juga untuk saya bantu adik dan kakak kalau mereka memerlukan. Alhamdulillah! semoga Allah terus memberi saya rasa cukup ini, rezeki yang bermanafaat dan berkat.

Banyak lagi kejayaan yang saya impikan. Banyak lagi kejayaan yang mahu saya raih. Banyak lagi angan-angan yang belum tercapai dek tangan. Kejayaan bukan hanya dalam bidang akademik, tapi hidup saya seluruhnya.

Gagalkah saya?

Mampukah saya mengukir kejayaan lagi?

Dalam akademik?

Dalam hidup?
Sungguh saat ini saya buntu.
Ya Allah, beri saya petunjuk, beri saya jalan, jalan yang terbaik menuju redha-Mu. Agar setiap apa yang saya lakukan hanya kerana-Mu, Lillahi Taala.







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

No comments:

Post a Comment