Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

12 November 2015

Cerita Soleha

Ini cerita beberapa bulan lepas. Saya mencuba untuk menulis. Sesuatu yang ada di hati tapi tidak pernah diuji. Entah apa yang menggerakkan jari saya untuk menulis saya tidak tahu.

Akhirnya, inilah hasilnya.




From: solehahmohd<@gmail.com>
To: Hasliza Hasan <hasliza.hasan@ymail.com>
Sent: Sunday, March 29, 2015 1:15 AM
Subject:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Berjalan si dara di tepi paya
Terhidu wangi bunga kesidang
Dua hati, awak dan saya
Mungkinkah sama lagu berdendang?

Saya terkesima mendengar pantun ini dulu. Pantun yang saya balas hanya dengan senyuman. Pantun yang mengubah hati seorang saya, kak. Tiga tahun saya hidup dengan pantun ini.  Saya pergi seketika mencari bekal dikemudian hari. Dia pula menyimpul janji untuk setia menanti. Terkadang saya leka dibuai rasa tidak bertepi. Ah, saya benar-benar mengharapkan setia seorang jejaka. Tapi rupanya saya menganyam mimpi indah di siang hari. Saya bagai pungguk yang lupakan diri sehingga sekeping poskad itu sampai ke tangan saya di suatu hari.

Burung merpati terbang melayang
Bunga kesidang putih berkembang
Bukan hati saya tak sayang
Lagu didendang iramanya sumbang

Satu rangkap pantun sahaja kak. Satu rangkap pantun yang merobek hati saya. Saya nanar di sana. Imtihan yang makin hampir begitu menyesakkan dada. Saya seolah hilang kompas penunjuk arah. Rasa sakit itu begitu menyeksakan. Saya sedar saya hanya gadis kampung yang tak punya apa-apa, sedangkan dia punya segala. Tuhan!

Kakakku yang baik,

Saya masih ingat pesan yang akak titipkan saat saya teresak di hujung talian.

“Jangan sesekali mencintai makluk lebih daripada kita mencintai yang Khaliq.”

Saya terpempan dengan sebaris kata itu.

Saya memujuk diri, membebat luka di hati. Saya tekad memadamkan nama yang telah bertahun saya ukir di hati saya, yang dalam diam saya doakan kesejahteraannya lima kali sehari. Lantas permohonan itu saya isi. Saya mahu terbang bagai helang membelah awan. Melupakan dia dan mengejar impian yang sudah sekian lama saya pendam bersama angan. Saya mahu memeluk erat Ijazah tertinggi yang sering menyapa dalam igauan malam.

Dan kini saya di sini, menikmati dingin salju, memetik kuntum tulip biru, dan mencipta bahagia yang baharu.

Kak,
Kisah saya kisah biasa-biasa sahaja, kak. Tiada yang istimewa. Saya tahu saya bukan saya yang dahulu lagi. Sesungguhnya hidup dan mati saya kerana Dia. KepadaNya saya serahkan jiwa dan raga, juga cinta. Hanya Dia untukku, kak.
Dan Dia juga untukmu.

Salam sayang sebanyak bintang di langit,
Solehah
memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

24 January 2015

Lengkong






Melihat agar-agar ini, saya terkenang kisah lama. Ini kisah 5 tahun lepas rasanya.

Kisah housemate saya di rumah lama. Siapa lagi kalau bukan  Y. Y yang sudah lama tidak saya temui. Bila kali terakhir saya berjumpanya, saya pun sudah lupa.

Dia pindah ke rumah mertuanya di Putrajaya selepas berkahwin. Datang berjumpa saya sesekali dulu. Semasa mengandung anak sulungnya dia datang ke rumah saya. Rindu rumah lama katanya.

"Kak Aza, Y nak makan lengkong akak buat. Hari tu Y p rumah atuk suami kat Kedah, tapi lengkong nenek dia buat tak sedap, tak sama dengan yang akak buat. Akak buatkan boleh?"

"Lengkong?" Saya bertanya keliru.

"Aah agar-agar tuuu..Y nak makan agar-agar merah je."

"Owh, agar-agar, boleh je. Agar-agar pun ada rasanya."

Berselera sungguh dia makan lengkong yang saya buat.

Sambil menyuap agar-agar, mulutnya terus bercerita.

"Hari tu, saya teringin sangat nak makan ketam, balik kerja sanggup naik bas pergi Alamanda nak beli ketam. Teringin sangat nak makan ketam goreng, kopek kulit ketam, lepas tu pecahkan telur kat atas dia tu..sedapnya."

"Ada ketam eh kat Alamanda tu?'

"Ada, tapi mahal sangat la kak, Y beli 3 ekor je. Tu pun dah berapa harga dia."

"Naper tak ajak husband je, pregnant naik bas, Y ni.." Saya membebel.

"Dia dari Shah Alam kak, sian pulak balik keje penat."

Saya diam.

"Ingat balik rumah nak masak terus je ketam tu, tapi bila cakap dengan mama, mama cakap..'tak payah la masak ketam tu, tunggu hujung minggu bila adik balik'. "

"Pastu cakap apa kat mama?" tanya saya.

"Diam je, Y pujuk hati, dua hari je lagi nak weekend."

Saya diam lagi. Sengaja membiarkan dia meluah rasa yang terbuku di hati.

"Akak tahu apa jadi weekend tu?"

"Tak." Jawab saya spontan. Kami tergelak sama-sama

"Mama masak lemak ketam tu kak, tak tanya Y pun. Terkebil-kebil Y tengok ketam tu dok berenang dalam santan. Sedih kak, Sikit pun Y tak makan ketam tu."

"Ha? Masak lemak?"

"Kak, Y nak makan ketam goreng tu sikit je, sesuap pun jadi la. Teringin sangat."

Gelak saya hilang terus. Tekak saya terus rasa tercekik. Mata saya kedipkan berkali-kali. Saya terdiam. Sedih benar hati saya mendengar kisahnya.

"Dah jumpa ketam ke belum ni? Jom kita p Giant." Ajak saya.

"Dah kak, saya ajak husband balik kampung, mak beli entah berapa kilo. Puas saya makan ketam."

Macam-macam lagi kisah yang diceritakan pada saya. Ini cuma sebahagian sahaja.


#kalau tuan dia baca, jangan marah ya#






memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

26 January 2013

Selamat tinggal chenta

Rumah sewa ini bakal saya tinggalkan tidak lama lagi. Bulan depan saya akan ke rumah sewa baru. Berat pula rasanya hati ini mahu meninggalkan rumah ini. Terlalu banyak kisah hidup saya terukir di sini. Tapi, saya nekad meninggalkan rumah ini. Tidak salah rasanya mencuba sesuatu yang baru kan?.

Saya masih ingat, penghujung Jun 2005 adalah hari pertama saya ke Shah Alam. Rumah inilah yang saya tuju dan seterusnya rumah inilah tempat saya berteduh selama ini.

Saya selesa di sini. Saya juga selesa dengan Qariahnya. Taman ini, dan rumah ini pastinya bukan saja menyimpan kenangan indah buat saya tetapi banyak juga memori yang kurang menyenangkan. Teman-teman lama seperti Mas, Y, Irma, Wanie pastinya tak mungkin saya lupakan. Kalian telah mencorakkan sebahagian kenangan manis saya di rumah ini. Kenangan pahit itu rasanya bertukar manis bila dikenang kembali.

Masih ingatkah kalian saat rumah kita dipecah masuk suatu subuh itu? Jeritan Y rasanya masih tergiang-giang diingatan.

"Kak, ada orang pecah masuk bilik Kak Y!" Suara Irma yang mengigil di corong telefon itu menerjah telinga saya.

Allah! terasa gugur jantungku saat itu. Aku panik. Sungguh! 

Berhari-hari rasanya kami hidup dalam ketakutan. Irmalah yang paling kesian saat itu. Disaat semua orang berada di ofis, dia seorang yang ditinggalkan di rumah.

"Kak, ada orang intai rumah kita la kak, Irma takut ni. Pastu sat lagi Irma ada kelas, macamana lrma nak keluar ni...". Adu Irma pada saya melalui telefon.

Natijahnya, kami semua hampir setiap hari pulang awal. Saya kerah Mas dan Y balik sebelum jam 8 malam. Mereka bertiga mengusung tilam dari tingkat atas dan kami tidur bersama-sama di ruang tamu. Berempat. Kelakar pulak rasanya. Waima, bunyi pagar dibuka di rumah sebelah jam 4.00 pagi pun boleh buat kami semua terjaga. Itu yang mengeratkan hubungan kami sebenarnya.

Kisah Y juga mengundang senyum di bibir saya. Teringat saya saat Y balik dari ofis dan terus mengetuk  pintu bilik saya. Saya baru saja selesai solat maghrib.

"Kak, Y dah balik. Y tumpang bilik akak boleh?". Itu kata yang keluar dari mulutnya.

Saya laju menjawab, "boleh je, masuk la". 

Mukanya pucat. Ditoreh pun rasanya tidak berdarah. Mesti ada apa-apa ni, bisik saya perlahan sambil membuka telekung.

"Naper ni Y?" Tanya saya.

"Kak, Y dengan ofismate kena kacau masa nak balik tadi".

"Ha?" Saya terkejut besar. Saya pegang tangannya, sejuk.

Dan Y pun menceritakan kisah seram itu. Untuk beberapa malam Y tidur dibilik saya.

Banyak lagi suka-duka yang pernah kami lalui di rumah ini. 

Bilik ini banyak menyaksikan turun naik hidup saya. Di bilik inilah saya  meluahkan rasa hati saat saya tertekan dan berduka. Di bilik ini jugalah saya sering memujuk hati sendiri saat saya merajuk dengan awak, merajuk dengan dia. Bilik ini juga saksi saat saya tewas dengan ujian hidup. Ah, saya juga manusia biasa.

Banyak air mata saya tumpah di sini.







memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

01 November 2011

Catatan Jakarta - Bandung Satu


[17 Oktober 2011/ISNIN/Pagi]

Letih.

Badan saya lesu. Pening semalam masih belum hilang. Suasana yang agak panas dalam pesawat KLM KL0809 yang membawa kami dari KLIA ke International Airport Soekarno-Hatta amatlah tidak selesa bagi saya. Tidak sampai lima minit pesawat berlepas meninggalkan KLIA, saya mabuk. Pesawat yang penuh, padat bercampur panas membuat saya pening. Bercampur baur dengan bau makanan menyebabkan saya mual.  Ah, kelakar rasanya. Perjalanan lapan jam yang pernah tempuhi sebelum ini rasanya tidaklah sesukar ini. Teringat saya pada abang ipar yang sudah surrender bila diajak menaiki pesawat. Saya berdoa semoga pesawat ini segera mendarat. Ya allah, janganlah saya sampai muntah hari ini. Sungguh saya malu.
Sekolah Alam Indonesia

*****
Saya tinggalkan saja kisah kami ke sebuah pesentren di Jakarta( lain kali saja saya kisahkan). Hari ini kami ke Sekolah Alam Jakarta yang terletak di Ciganjur. Dengan misi "education by all, education for all", sekolah yang pada saya amat menarik dan rasanya tidak pernah setakat ini ada di Malaysia. Temanya mudah, belajar melalui alam. Sekolah tanpa bilik darjah. Pelajar belajar matematik dibawah teduh pohon kayu di tepi sebuah padang kecil. Di sebelahnya, ada pula sekumpulan pelajar yang bermain bola. Melihat guru-gurunya sama-sama berpeluh berlari membuatkan kami terhibur. Sekolah yang cukup unik bagi saya. Sesiapa saja yang melihatnya pasti akan jatuh cinta.

Kanak-kanak kecil ini begitu seronok membina longkang sendiri

Learning should be fun anytime, anywhere
Riuh rendah belajar Quran di bawah pokok
        





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

28 October 2011

Mak Da & Kak Jah

Usai berbuka puasa dan solat maghrib semalam, saya dikejutkan oleh satu panggilan telefon.

"Ja, kau dah tau dah pasal sedara kau?" Tanya Adilah, sahabat saya.

"Sedara aku yang mana satu? Tak tau apa-apa pun. Tak de lagi sapa-sapa yang cerita kat aku. Kenapa?"

"Sepupu kau, Kak Jah meninggal dunia mahrib tadi."

"Ha? Kak Jah? Bukan mak saudara aku?" Saya terkedu sebentar. "Rasanya mak aku pun belum dengar lagi berita ni."

Kak Jah sepupu saya. Usianya hampir sebaya dengan kakak sulung saya. Anak kepada kakak mak saya yang saya panggil Mak Da. Mak saya anak bongsu dari 12 adik beradik dan mak saya satu-satunya anak berlainan ibu. Kini yang tinggal cuma mereka empat beradik sahaja, Mak Nik, Mak Da dan Mak Su. Lapan sudah tiada dan saya berkesempatan bertemu dengan empat yang lain.

Setiap lebaran, mak saya tidak pernah lupa mengajak kami adik beradik menziarahi Mak Da. Dulu Mak Da selalu bertandang ke rumah kami. Dengar sahaja berita yang Mak atau arwah ayah saya tidak sihat, Mak Da pasti datang menziarah. Dari elok berjalan sehingga berpimpin tangan, beliau berusaha sedaya mungkin untuk datang. Kali terakhir Mak Da singgah ke rumah saya, beliau sudah teramat sukar untuk naik dan turun tangga, sampai terpaksa mengengsot. Itu rasanya dua atau tiga tahun lepas.

Lebaran tahun ini, sebagaimana tahun-tahun lepas, awal-awal lagi mak saya sudah memaklumkan kepada saya dan adik. "Esok selepas solat sunat hari raya, kita ziarah Mak Da, Mak dah lama tak tengok dia". Itu kata mak pada kami.

Salam bersambut. Sayup-sayup kami dengar suara Mak Da menjemput kami naik. Mak Da masih lagi boleh mengecam suara saya dan adik. Air mata saya bergenang melihat Mak Da yang terbaring di atas tilam. Wajah tua yang berkedut itu saya renung dalam. Tangannya saya kucup perlahan. Matanya tertutup rapat. Mulutnya sahaja yang riuh bercerita. Dulu,  beliau masih lagi boleh bergerak dengan mengengsot di dalam rumah. Matanya masih lagi cerah. Kini, nikmat mata Mak Da telah ditarik sedikit demi sedikit. Dulu, Kak Jah hanya perlu meletak lauk pauk di pinggan Mak Da. Bila penglihatan Mak Da makin teruk, Mak Da akan memakan nasi yang di gaul terus lauk pauknya. Kini, penglihatan Mak Da hampir hilang sepenuhnya.

"Kak Jah ke masjid ni, aku bukan demam pun, tu yang Kak Jah tinggalkan aku sekejap ni."

"Aku tak tahu la Kak Jah sempat kemas dapur atau pun tidak. Dia sibuk menjahit baju raya tu. Banyak tempahan orang. Kau pergi la buat air. Cari sendiri makanan kat dapur tu". 

Itu kata-kata Mak Da pada kami.

Kami sudah sedia maklum, Kak Jah, di samping menjaga Mak Da, mengambil tempahan menjahit baju.

"Tadi aku panas, aku tak nak pakai baju, kau cari la baju untuk aku".

Saya pantas mencari baju untuk Mak Da. Adik saya membantu membangunkan Mak Da dan Mak Da berusaha memakai bajunya sendiri. Mak Da duduk sekejap dan adik saya mengurut belakangnya.

" Lenguh ni badan aku ni. Asyik terbaring je ni". Mak Da mengomel lagi.

"Mak Da puasa tak?" Saya bertanya.

"Puasa la Isnin Khamis".

Saya dan mak berbalas pandang. Ingatan Mak Da pun nampaknya sudah bercampur baur.

"Sampaikan salam kami pada Kak Jah, kami terpaksa balik. Lagi pun tiada sesiapa kat rumah". Pesan saya pada Mak Da.

Kami pulang tanpa sempat bertemu Kak Jah.

Dan semalam saya dikejutkan dengan berita yang Kak Jah telah pulang ke rahmatullah. Kak Jah yang baik hati, penyayang, pemurah dan kuat pegangan agamanya dan amat rapat dengan mak saya. Setiap kali bertemu mak saya, pasti Kak Jah akan meninggalkan mak saya dengan tangan berisi . Bukan nilainya yang menjadi ukuran tapi ingatan Kak Jah pada mak saya. Sakitnya cuma sekitar 20 hari. Penyakit lamanya kembali lagi. Tekanan perasaan yang melampau saya rasa menyebabkan Kak Jah sasau. Apapun, itu hanya sebab sahaja. Yang paling penting, masa Kak Jah telah tiba. Siapakah yang mampu berdolak dalik dengan janji Allah?


Kata mak, Mak Da sedikit pun tidak menangis dengan kehilangan Kak Jah. Saat Kak Jah di kafankan, Mak Da di usung ke tempat Kak Jah. 


"Siapa yang akan menjaga aku selepas ini?" Ini mengundang airmata anak-anaknya yang lain.

Saya turut berduka dengan pemergian Kak Jah. Hati saya menangis sedih. Dan tanpa sedar, pipi saya basah dek airmata yang luruh.

Al-fatihah.

memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan

03 October 2011

Sambal machang

Sambal machang, antara yang menjadi kegemaran saya dan sukar di temui di mana-mana sekitar Shah Alam ataupun Kuala Lumpur. Setakat ini yang saya temui ialah kerabu mangga. Terkadang hati tertanya sendiri, sedap ke kerabu mangga ni? Tapi bila di congak-congak, di hitung-hitung, lidah saya lebih menggemari sambal machang. Sedap dengan tekak saya sahaja barangkali. Biarlah, ini kan makanan orang kampung sahaja.

Dulu di belakang rumah saya ada sebatang pokok machang. Ini nama yang dipanggil di kampung saya saja. Bila pohon machang ini berbuah muda, kami akan mengaitnya. Buah yang muda dan masih belum bersabut lagi bijinya sedap kalau di buat jeruk. Kadang-kadang kami akan membuat sambal. Sambal machang, sedap sebab ianya tidak terlalu masam. Ikan, bawang merah, bawang putih dan lada hidup yang semuanya di bakar ditumbuk bersama buah machang yang dicincang halus dan ditambah dengan sedikit garam. Ah, memang enak sekali bila dimakan bersama nasi panas untuk juadah tengahari. Lebih menyelerakan andai di temani sayur lemak terung yang dicampur dengan bayam. Ini sudah cukup untuk kami sekeluarga.

Saya teringin sekali tapi mana mahu dicari buah machang muda di Sham Alam. Bila terpandang sahaja buah pauh di pasar pagi ahad lepas, saya terus membelinya. Pauh muda itu menjadi pengganti buah machang. Dan, itulah hasilnya. Cukup untuk mengubat rindu saya pada sambal machang. Seperti biasa saya akan sakit perut kerana tidak tahan pedas dan masam pauh yang melampau itu.

Hmmm, itulah risikonya.





memadailah Allah sebagai kekasih, Al-Quran sebagai hiburan dan mati sebagai peringatan